Orangnya masih bertenaga dan kekal jelita walaupun di usia 54 tahun. Terkenal, sukses serta tidak pernah kalah dalam berfesyen itu antara kelebihan yang ada pada wanita berdarah campuran Melayu-Pakistan ini.
Datin Dr. Kamsiah G. Haider atau lebih mesra disapa sebagai Dr. Kam merupakan pemilik kepada Klinik Pergigian Dr Kam yang terletak di Taman Tun Dr Ismail.
Beliau seorang yang sangat menitikberatkan soal kecantikan dan kesihatan. Bagi Dr. Kam apabila tubuh kekal sihat dan cergas secara tidak langsung dapat menyerlahkan kecantikan asli seorang wanita.
“Semasa usia mencecah 30 tahun, saya sudah mula menjaga makan. Saya sudah mula memilih makanan yang lebih seimbang serta menyihatkan. Antara menu sihat kegemaran saya ialah sup, steak serta buah-buahan.
Sebagai motivasi diri agar tidak makan sewenang-wenangnya saya mengamalkan cara ini. Selalunya saya akan ambil gambar-gambar makanan yang menarik. Saya akan tatap sampai puas hati.
Secara tidak langsung saya akan merasa kenyang dengan sendirinya. Suami turut menggalakkan pengambilan makanan sihat kerana beliau seorang yang mementingkan kesihatan. Saya juga mengamalkan meminum air kosong secukupnya setiap hari.
Dari segi penjagaan kecantikan pula, cukup sekadar saya konsisten dengan rutin mencuci wajah dan pemakaian krim mata setiap hari. Sejujurnya, saya tidak pernah memakai krim malam. Sebagai seorang doktor, perlu cukup tidur sekurang-kurangnya tujuh ke lapan jam sehari. Jika tidak ia akan menjejaskan prestasi kerja.
Begitu juga dengan soal penampilan yang sangat penting buat saya antaranya sentiasa mengikuti perkembangan fesyen terkini. Sekurang-kurangnya dapatlah saya mengetahui trend terkini sesuai dengan usia dan imej. Saya juga seorang pencinta beg tangan berjenama Chanel,” bual Dr. Kam yang juga meminati seni dekorasi kediaman.
Dr. Kam merupakan pengamal klinikal prostodontik selama 29 tahun. Beliau merupakan graduan Bachelor of Dental Surgery (BDS) dari Universiti Malaya, dan Master of Dental Science (MDSc) dari University of Dundee, UK.
Selain prostodontik, Dr. Kam turut mempunyai perakuan kelayakan ortodontik di samping mengendalikan pelbagai prosedur pergigian estetik.
“Bukan mudah sebenarnya apabila bergelar isteri dan ibu pada masa yang sama harus memikul tanggungjawab yang besar kepada masyarakat. Suami dan anak-anak menjadi kekuatan buat saya. Untuk berjaya dalam lapangan kerjaya perlu ada minat yang tinggi di samping berusaha untuk melakukan yang terbaik.
Sebolehnya jauhkan daripada rasa tertekan kerana ia boleh menjejaskan prestasi. Kerjaya saya sentiasa bertemu dengan masyarakat yang pelbagai karenah. Saya perlu sentiasa tenang, tersenyum dan tidak mudah mengikut emosi,” kongsi Dr. Kam yang turut berkebolehan dalam sukan lasak. Beliau pernah meraih kemenangan dalam sukan berkuda dan tersenarai dalam The Malaysia Book of Records. Amy Mohd
This website uses cookies.