
Ibu kepada pengacara dan pelakon jelita, Noor Neelofa Mohd Noor baru-baru ini kelihatan telah diraikan oleh keluarga dan sahabat handai sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-53.
Walaupun sudah menjengah ke usia 53 tahun tetapi kelibat Datin Noor Kartini Noor Mohamed ini nyata lebih muda daripada usia yang sebenar. Wanita yang mempunyai sembilan orang anak ini sentiasa tampil menawan dan mempunyai sejumlah 268 ribu pengikut di laman Instagram.
Rupa-rupanya minum air putih adalah rahsia kejelitaan wanita yang mesra disapa Datin Tini ini yang juga isteri kepada Dato’ Abdul Halim Khan.
“Sebenarnya, tiada sebarang petua yang saya amalkan. Saya hanya amalkan beberapa tip ringkas. Amalan penjagaan diri saya sungguh mudah. Setiap kali bangun tidur, saya akan terus menikmati secawan air putih.
“Saya pernah membaca satu artikel mengenai kebaikan minum air putih untuk penjagaan diri. Jadi saya mengamalkan untuk minum air putih sewaktu bangun tidur, sebelum mandi dan selepas mandi,” kata Datin Noor Kartini yang memiliki darah keturunan Pakistan-Arab.
Datin Noor Kartini juga mengamalkan sikap positif dalam kehidupan seharian. Tambahnya, “Saya tidak menyimpan sebarang perkara negatif di dalam hati. Saya anggap cerita negatif sebagai satu perkara yang tidak mustahak selain mahu sentiasa kekal positif.
Selain itu, bercakap mengenai elemen kecergasan, saya juga mengamalkan senaman ringan seperti pilates dan yoga. Saya juga sering berjalan-jalan di sekitar taman selama 30 minit untuk kekal aktif,” terang anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini.
Sumber: Astro Awani
Foto: Instagram @noorkartini & @noornabila
Tun Hasmah DEDAH RAHSIA Kuat Ingatan, Boleh Baca Not Muzik Walaupun Tak Nampak!

Rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu kedua di Malaysia itu bertambah apabila melihatkan kesihatan Tun Hasmah yang tidak banyak terjejas kecuali penglihatan. Pada usia 95 tahun, beliau juga masih mempunyai memori yang bagus.
Pelbagai peristiwa bersejarah termasuk nama dan tarikh-tarikh penting masih tidak luput dari ingatan Tun Hasmah. Beliau bercerita seperti seorang diari yang bergerak. Ingatannya begitu kuat, mungkin ada rahsia yang diamalkan Tun Hasmah?
Jawab beliau, “Yang pertama sekali tu, kita kena buat sesuatu berulang-ulang, khasnya pemikiran. Selalu saya berdoa, ‘Waraskanlah pemikiran hamba’ sebab ini penting. Kalau kita tak berulang-ulang buat sesuatu tu, kita lupa.
Khasnya sekarang ni saya tak nampak. Jadi saya kena hafal untuk masukkan dalam memori. Contohnya lagu-lagu. Kalau lagu-lagu yang saya ingat, bolehlah saya ingat tapi kalau yang baru, kenalah kita dengar lagu tu berkali-kali supaya otak kita tu meresap,” dedah Tun Hasmah sambil mengakui bermain muzik dapat menajamkan fikiran.
MAHIR GESEK BIOLA
Mendengar alunan gesekan biola ‘The Moon Represents My Heart’ ini begitu syahdu rasanya. Mungkin kerana melihat wajah bonda Tun Hasmah, wanita tertua yang bermain biola pada usia bakal mencecah 95.
Bercerita kepada Nona, rupa-rupanya banyak sejarah di sebalik kemahiran beliau menggesek biola. Kemahiran muzik pun salah satu cara bijak untuk kuatkan ingatan.
Cerita Tun Hasmah, “Saya mula bermain biola pada usia 16 tahun. Masa tu zaman Jepun tiga tahun je. Disebabkan tidak bersekolah dan tiada apa yang boleh dibuat, ayah suruh saya main biola dan kakak-kakak main piano.
Lepas British masuk balik, saya terus sambung pengajian di Singapura. Sejak itu saya tak pernah main biola, dan biola itu pun dah dicuri dari rumah mak.
Selepas saya balik semula ke tanah air, bekerja, berkahwin, pindah ke Alor Setar dan ada famili semua, saya tak usik sikit pun biola. Cuma sesekali saya main keyboard bila ada masa.


Apabila Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau kena jelajah satu negara untuk terangkan tentang Kod Raja-Raja. Ketika di Melaka, mereka beri sebuah biola kepada beliau kerana ingatkan Tun pandai main biola. Tapi biola tu cuma dibawa pulang dan disimpan di pejabatnya.
Begitu juga artis Wah Idris pun pernah beri saya sebuah gitar, siap dengan tanda tangannya… pun saya simpan. Dapat trompet, simpan.
Sehinggalah pada tahun 2012, Petronas Philharmonic Orchestra (MPO) datang kepada saya yang pada masa tu Penaung MPO. Mereka nak adakan sebuah konsert kebajikan.
Masa tu saya boleh menyanyi koir je. Tapi Tun cakap pada saya, buatlah yang ganjil sikit dan orang tak pernah nampak. Saya pun fikir.
Jadi okay, BIOLA!
Bayangkan jarak 70 tahun, baru saya mula balik (main biola) sampai sekarang.
Bahu dan tengkuk saya ni pun baru rasa sakit-sakit. Doktor tak bagi saya main biola seketika.
Setiap hari Selasa, guru muzik akan datang mengajar di rumah saya. Winnie, guru saya, dia seorang yang tegas. Saya pernah cakap, ‘Winnie, pelajar baru ni dah tua.’ Dia tanya saya balik, ‘How old?’ dan saya jawab, 86. Dia pun diam tapi setuju mahu mengajar saya,” cerita Tun Hasmah.
Tidak hanya terkenal sebagai isteri pemimpin negara dan doktor perubatan, bonda Tun Hasmah terus meniupkan inspirasi kepada generasi wanita moden seperti kita semua agar lebih bijak memberi masa untuk menjaga diri sendiri.
Dari hobinya yang suka menulis, bermain muzik dan mengambil tahu perihal isu semasa, beliau jelas melambangkan sisi Nona Superwoman yang sebenar… She’s truly a living legend.
Bijak Dan Berkuasa! Kenali 10 Wanita Paling Berpengaruh Di Dunia!

dunia sedang menyaksikan bagaimana acuan tradisional tentang orang yang akan mempengaruhi kita sedang diubah. Hari ini, wanita merupakan golongan yang penting dalam membuat keputusan di dunia.
Ungkapan peribahasa tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia sebenarnya ialah satu realiti yang tidak boleh disangkal. Datang dari pelbagai latar belakang, wanita-wanita ini mempunyai naluri yang kuat dan menjadi orang yang berpegaruh di kawasan masing-masing.
Memandangkan sumbangan besar yang dibuat oleh wanita-wanita ini, senarai di bawah ini dianggap sama sekali tidak mengikut tahap pengaruh dan kepentingan mereka:
1. Hillary Rodham Clinton
Beliau ialah Setiausaha Negara Amerika Syarikat sekarang. Walaupun beliau telah kalah dalam pencalonan sebagai presiden Parti Demokrat pada tahun 2008 kepada Barack Obama, beliau terus menjadi wanita yang paling berpengaruh pada abad ini.
Beliau telah membawa pelbagai inisiatif dan kempen politik termasuk kejayaan program kepimipinan dalam pembaharuan sistem pendidikan di Arkansas. Beliau berkhidmat sebagai Wanita Pertama Amerika Syarikat selama 10 tahun sepanjang suaminya Bill Clinton berkhidmat sebagai Presiden.
Beliau kemudiannya menjadi Senator wanita pertama mewakili New York pada tahun 2000. Beliau dipilih semula ke jawatan yang sama pada tahun 2006. Dalam pilihanraya presiden tahun 2008, beliau memenangi lebih banyak perwakilan berbanding wanita-wnaita lain dalam sejarah Amerika Syarikat.
Walaupun kalah kepada Barack Obama, beliau merupakan bekas Wanita Pertama yang pernah berkhidmat dalam cabinet presiden. Beliau berada di kedudukan yang tinggi sebagai ahli kabinet hari ini dengan sokongan beliau yang padu terhadap pengukuhan hubungan diplomatik, dan kemahiran berpidato yang ketara.
2. Benazir Bhutto
Benazir Bhutto merupakan anak perempuan bekas Perdana Menteri Pakistan, mendiang Zulfiqar Ali Bhutto. Bapanya seorang pemimpin yang diraikan rakyat Pakistan tetapi telah dihukum gantung. Benazir Bhutto mula muncul di arena politik global apabila beliau mengambil alih tampuk parti nasional bapanya (Parti Rakyat Pakistan).
Dalam perjuangan yang berterusan sepanjang hidupnya, beliau telah menganjur dan menggerak sokongan untuk kaumnya dan akhirnya beliau menjadi perempuan pertama untuk menyandang jawatan Perdana Menteri Republik Islam itu sebanyak dua kali.
Dibuang dalam lewat tahun 1990, beliau kembali berjuang di landskap politik Pakistan yang huru-hara untuk menggerak semula rakyat jelata. Walau bagaimanapun, beliau terbunuh dalam serangan pengganas pada tahun 2007 ketika melawat sekumpulan besar penyokongnya di Rawalpindi.
Ini telah menyebabkan kejutan di seluruh alam politik global yang menganggap beliau sebagai seorang ahli politik legenda dan seorang pemimpin yang mengutamakan hubungan diplomatik dan sentiasa berusaha untuk menegakkan demokrasi dan memperkasakan wanita.
3. Sonia Gandhi
Beliau adalah anak kepada Presiden Kongres Kebangsaan India yang merupakan parti politik paling popular di India. Bapanya dilahirkan di Itali. Parti tersebut dipengerusikan selama 55 tahun oleh ahli-ahli keluarga Nehru.
Sonia Gandhi terlibat dalam bidang politik selepas kematian suaminya, mendiang Rajiv Gandhi iaitu bekas Perdana Menteri India. Beliau terkenal dari segi kedudukan dan pengaruh dalam politik India yang merupakan satu pencapaian yang hebat untuk mewakili parti kepada penduduk pelbagai agama dan budaya.
Beliau telah dua kali dicalonkan oleh majalah dunia seperti Forbes dan Times sebagai salah seorang wanita yang paling berpengaruh tahun ini.
4. Condoleezza Rice

Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat ini merupakan seorang profesor, diplomat, penulis dan juga berkhidmat sebagai pakar keselamatan Negara. Peranan beliau di kalangan orang-orang yang berpengaruh dalam bidang membuat dasar amatlah kuat.
Beliau adalah Setiausaha Negara perempuan yang pertama yang berbangsa Afrika-Amerika dan pernah berkhidmat sebagai Penasihat Keselamatan Kebangsaan di bawah pemerintahan George W. Bush.
Penekanan beliau untuk menyokong kerajaan di seluruh dunia yang dipilih secara demokrasi dan usaha untuk keamanan di Timur Tengah, yang dikenali sebagai Dasar Transformasi telah dihalang oleh golongan penyokong kerajaan Amerika di pelbagai kerajaan autoritarian seperti Mesir dan Arab Saudi.
Semasa memegang jawatan sebagai Penasihat Keselamatan Negara kepada Presiden Bush, beliau menerima kritikan ke atas dasar peperangan di Iraq dan Afghanistan. Beliau kini telah kembali ke Universiti Stanford sebagai seorang profesor dalam bidang Sains Politik.
Beliau terus mempengaruhi minda dan dasar-dasar bukan sahaja pelajar tetapi ramai pembuat dasar yang datang dan merujuk kepada beliau mengenai pelbagai isu keselamatan nasional.
5. Oprah Winfrey
Seorang penggerak, mogul media, dan penerbit majalah yang mencapai kemasyhuran melalui program bicarawara Oprah di saluran telivisyen. Memenangi pelbagai anugerah dan beliau membincangkan segala isu dari hal peribadi kepada isu-isu sosial.
Beliau sangat terkenal sebagai individu yang boleh mengajukan kepada orang ramai pelbagai soalan dan pendapat politik dengan cara yang amat berhemah dan bertanggungjawab.
Disenaraikan sebagai salah seorang individu yang berbangsa Afrika-Amerika terkaya dan telah berkali-kali menyandang gelaran individu berbangsa Afrika-Amerika yang paling berpengaruh oleh beberapa sumber. Beliau telah merevolusikan suatu bentuk komunikasi dan pengakuan yang lebih mesra melalui media.
Setelah lebih satu dekad bersiaran, rancangan bicarawaranya masih terus popular dan mempunyai pengaruh yang agak besar melalui aktiviti-aktiviti amalnya dan pengaruh dalam lingkungan politik termasuk berkempen untuk Presiden Barack Obama.
6. Permaisuri Rania dari Jordan
Beliau telah dikurniakan dengan kecantikan dan dikenali sebagai salah seorang wanita yang paling cantik di dunia. Beliau juga menjadi salah seorang wanita paling berpengaruh di dunia Arab.
Sebagai isteri kepada Raja Jordan, Permaisuri Rania adalah seorang aktivis yang mempopular pendidikan untuk semua dan telah terlibat dalam inisiatif untuk memperkasa wanita dan meningkatkan golongan celik huruf.
Usaha-usaha beliau untuk melibatkan diri dengan belia dan menyatukan perjuangan agama Islam dan negara beliau, melalui media seperti saluran YouTube sendiri, telah membuat beliau sangat popular bukan sahaja kepada belia di negara-negara Islam tetapi juga di seluruh dunia. Beliau juga berperanan sebagai ikon fesyen dengan cara tersendiri.
7. Shirin Ebadi
Peguam Iran yang telah dianugerahkan Anugerah Nobel Keamanan untuk meneruskan perjuangan keadilan dan hak asasi manusia di negara itu. Beliau terkenal sebagai salah seorang individu yang sentiasa berjuang menentang Rejim Islam untuk mengekalkan serpihan yang tinggal dalam sistem keadilan di Iran selepas Revolusi 1979.
Dalam buku beliau menulis penglibatan dan perjuangan menentang pihak berkuasa untuk melindungi kanak-kanak dan wanita yang didera, dan penglibatan beliau melawan kes-kes terhadap kerajaan.
Beliau telah berkorban untuk mengenepikan keselamatan peribadinya demi semangat nasionalisme dan ini telah meletakkan beliau di tengah-tengah masa depan Iran seperti yang disebut oleh ramai orang. Beliau memenangi Hadiah Nobel Keamanan sebagai penghargaan.
8. Christiane Amanpour

Kesediaan beliau melaporkan isu-isu dari tempat yang paling berbahaya dan yang paling kontroversi telah melonjakkan Christiane Amanpour untuk menyandang jawatan Ketua Perunding CNN Antarabangsa.
Pujian yang kritikal dan meluas diberi atas ulasan keras beliau terhadap isu politik di Timur Tengah. Analisis kajian semula terhadap proses damai yang dibuat oleh beliau menerima tentangan hebat. Sejak memulakan kerjaya dengan CNN, beliau diiktiraf untuk membuat laporan dari pelbagai zon perang termasuk Bosnia.
Selain itu, beliau juga dilanda kontroversi yang berkaitan dengan wawancara beliau dengan tokoh-tokoh seperti Yasir Arafat dan tokoh politik utama dari negara Iran. Iran merupakan negara asal yang beliau tinggalkan semasa kecil bersama keluarga.
9. Indira Nooyi
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PepsiCo , Indira Nooyi telah memenangi pencalonan yang berulang-ulang dalam senarai Wanita Paling Berkuasa di dunia. Beliau bertanggungjawab untuk menaplikasi kemahiran perniagaan beliau kepada penubuhan jenama seperti Taco Bell dan KFC.
Antara lain, Indira Nooyi telah membawa kepada peningkatan yang ketara dalam margin keuntungan syarikat itu. Merupakan bangsa India asli yang pertama menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat.
10. Cristina Fernandez De Kirchner
Presiden wanita pertama Argentina, Kirchner memimpin dan menguruskan negara itu dengan cara luar biasa dan menarik semasa pergolakan politik dan ekonomi . Beliau berjaya mengurus dan membawa Argentina ke tahap ledakan ekonomi.
Pada masa itu, Argentina mencatat rekod ekonomi yang paling pesat berkembang. Walaupun begitu, kerajaan beliau menerima kritikan tegar kerana tidak menangani isu rasuah dan tidak meguruskan masalah pengangguran dan kemiskinan.
Dia masih terus menjadi seorang tokoh politik dalam liga tersendiri dan telah membuat sumbangan yang patut dipuji dengan dasar awam Argentina.
Hampir 30 Tahun Bergelar Isteri Shah Rukh Khan, GAURI Tetap Mahu Dikenali Kerana Dirinya Sendiri!

Bertuahnya wanita bernama Gauri Khan. Mana tidaknya, bukan saja mempunyai suami yang setia, penyayang, kacak, terkenal dan tiga orang anak yang cantik serta comel. Bahkan ibu glamor ini juga seorang usahawan yang memiliki empayar niaganya sendiri dalam bidang hiasan dalaman. Hebat!
Nama Shah Rukh Khan bukan lagi asing dalam kalangan rakyat negara ini dan boleh dikatakan terkenal di seluruh dunia. Kehebatan lelaki berwajah manis ini beraksi di pentas lakonan nyata berjaya mencipta aura tersendiri dan beri kesan mendalam kepada para penonton.
Tapi di sebalik bakat besar dan kesenangan yang dimiliki aktor tersebut, ada seorang wanita yang teguh berdiri di belakangnya dan setia memberi sepenuh sokongan terhadap suami tercinta iaitu Gauri Khan.
Meskipun sering menerima tempias populariti suami… namun Gauri enggan terlalu bergantung kepada kejayaan Shah Rukh Khan semata-mata. Sebaliknya, wanita berusia 48 tahun ini tetap mahu berdikari dan menjana pendapatan hasil usaha dirinya sendiri.
Dilahirkan pada 8 Oktober 1970 di New Delhi, India… Gauri atau nama sebenarnya Gauri Chibber dikatakan mula mengenali Shah Rukh Khan pada tahun 1984.
Perhubungan mereka pada mulanya mendapat tentangan daripada keluarga masing-masing namun pasangan romantis ini nekad melangsungkan perkahwinan pada 25 Oktober 1991, selepas tujuh tahun mengenali hati budi. Waktu itu, Shah Rukh Khan baru ‘bertatih’ dalam industri perfileman India.
Kini, hasil perkahwinan selama hampir tiga dekad… mereka dikurniakan tiga anak iaitu Aryan Khan (22 tahun), Suhana Khan (20 tahun) dan AbRam Khan (7 tahun). Paling menarik perhatian, biarpun sudah berstatus isteri dan ibu tapi Gauri masih cantik bergaya. Malah pereka fesyen popular India, Satya Paul turut memuji cita rasa fesyen suri hati Shah Rukh Khan ini.
Tidak sekadar memiliki rupa paras cantik, Gauri sebenarnya graduan Lady Shri Ram College dan pernah mengikuti kursus pendek seni reka fesyen selama enam bulan di Delhi. Kursus fesyen tersebut barangkali diambil memandangkan bapa Gauri adalah pengusaha pakaian.

Gauri juga bukan calang-calang wanita kerana dia juga bertindak selaku penerbit filem dan membina syarikat produksi, Red Chilies Entertainment bersama suami tercinta.
Terbiasa dengan rutin harian yang sibuk, Gauri turut meluaskan empayar dengan mengusahakan Gauri Khan Designs… sebuah syarikat hiasan dalaman yang menawarkan perkhidmatan rundingan untuk rekaan ruang bangunan mewah, kediaman, pejabat, restoran termasuk hotel dengan penataan dekorasi serba glamor serta klasik.
View this post on InstagramA post shared by Gauri Khan (@gaurikhan) on
Antara personaliti yang pernah menjadi kliennya ialah isteri lelaki terkaya Asia, Nita Ambani, Aishwarya Rai, Kajol, dan beberapa selebriti Bollywood lain. Pandai Gauri mengurus dan membahagikan masa untuk keluarga juga kerjaya. Selain dapat penuhi impian sendiri, penglibatan Gauri dalam perniagaan turut membantu menambah pendapatan keluarga.
Kredit foto: Instagram Gauri Khan