Sembah setinggi-tinggi ucapan Selamat Hari Keputeraan buat Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyambut ulang tahun keputeraan pada 11 November lalu bersamaan 16 Rabiul Akhir 1444 Hijrah.
IKLAN
Semoga YAM Tengku Puteri Iman beserta seluruh ahli keluarga dikurniakan keberkatan, keafiatan dan kebahagiaan yang berterusan di samping keluarga tercinta. Tanggal 11 November 2022 juga genap 30 tahun usia Tengku Puteri Iman Afzan.
Mengenali figura ini, Tengku Puteri Iman Afzan merupakan satu nama yang tidak asing lagi dalam memperjuangkan isu kesihatan mental di Malaysia. Buktinya, apabila beliau komited terhadap penubuhan Green Ribbon Group yang berperanan dalam meningkatkan kesedaran berkaitan kesihatan mental.
Pertubuhan yang dibangunkan bersama rakan Tengku Puteri Iman ini tidak menawarkan perkhidmatan dalam bentuk perubatan, sebaliknya memberikan kesedaran dengan mendidik dan mengajak komuniti untuk memainkan peranan dalam penjagaan kesihatan mental mereka.
Berbekalkan nasihat dan teladan daripada Paduka Ayahanda, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Puteri Iman Afzan berazam untuk membawa perubahan positif dalam landskap kesihatan mental Malaysia.
IKLAN
Tengku Puteri Iman Afzan ditauliah di Majlis Ekonomi dan Sosial (ECOSOC) PBB di New York. Pelantikannya turut disokong Presiden WFMH, Setiausaha Agung, Presiden Dipilih dan Naib Presiden Serantau untuk Amerika Utara dan Caribbean.
IKLAN
Beliau pernah dilantik sebagai Penaung Antarabangsa Hari Kesihatan Mental Sedunia dari 10 Oktober 2020 hingga 10 Oktober 2021.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Berita pemergian penyanyi Amerika kelahiran Hong Kong yang cukup popular suatu ketika dahulu dengan lagu Do You Want My Love dan Before I Fall In Love, Coco Lee yang meninggal dunia secara mengejut akibat kemurungan pada usia 48 tahun pada Rabu lepas nyata menggemparkan satu dunia.
Coco Lee dilihat telah meninggalkan legasi dan karya yang cukup memberikan inspirasi serta menyentuh hati ramai orang. Di sebalik kejayaannya dalam industri muzik, tak semua tahu keinginan dan impian Coco Lee sebelum menghembuskan nafas terakhir adalah untuk menjadi seorang ibu dan isteri yang baik.
Coco telah berkahwin dengan hartawan Kanada, Bruce Rockowitz selama 12 tahun, tetapi pasangan itu diduga dengan masalah untuk mendapatkan anak. Dengan jarak usia sebanyak 18 tahun, Bruce mempunyai dua anak dari hasil perkahwinannya sebelum ini.
Bruce juga didapati telah curang dengan Coco Lee dan menyalahkannya atas apa yang terjadi dan anak-anak tirinya juga dilihat semakin menjauhkan diri darinya. Akibat dari kemurungan, Coco Lee pernah kehilangan berat badan dan hanya seberat 42 kg berikutan kesihatan fizikalnya yang semakin merosot.
Coco Lee yang bermaustautin di Los Angeles bersama suaminya, dikhabarkan telah menjalani sembilan proses Persenyawaan Dalam Vitro (IVF) dengan harapan untuk hamil. Dalam satu temubual, Coco Lee pernah mendedahkan pengalaman peritnya menjalani proses berkenaan.
“Prosesnya sangat sukar. Saya cukup mengagumi wanita yang terpaksa melalui cabaran ini. Anda perlu mengambil suntikan selama 10 hingga 14 hari, tetapi saya terpaksa mengambilnya selama tiga minggu kerana badan saya tidak bertindak balas. Saya terpaksa mengambil lebih banyak suntikan berbanding wanita lain, dan ia sangat menyakitkan.”
Coco Lee turut berhadapan dengan cabaran untuk kembali sihat selepas menjalani pembedahan major memperbaiki kecacatan sejak lahir yang dihadapinya di bahagian pelvis dan kaki yang membelenggunya selama bertahun-tahun.
Pembedahan selama dua jam itu memaksa Coco untuk belajar berjalan semula. “Saya dilahirkan dengan kecacatan pada kaki kiri saya. Semasa saya membesar dan sedang cuba untuk berjalan, ibu saya menyedari ada sesuatu yang tidak kena dan menghantar saya ke hospital untuk pembedahan sewaktu saya berusia dua tahun. Malangnya pembedahan itu tidak berjaya,” tulisnya dalam satu hantaran di media sosialnya.
Selain itu, penerbit dan komposer kelahiran Korea Selatan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Jae Chong turut mendedahkan Coco Lee turut bertarung dengan penyakit kanser payudara beberapa bulan sebelum meninggal dunia.
Mendedahkan perkara itu menerusi laman Instagram (IG) Jae berkata Coco melawan derita kanser payudara tanpa pengetahuan ramai kerana enggan membuatkan peminat dan keluarga terdekatnya risau.
Dalam satu catatan di media sosial, kakaknya Nancy Lee berkata, penyanyi popular itu yang mengalami masalah kemurungan, menghembuskan nafas terakhir selepas tiga hari berada dalam keadaan koma.
“Dengan kesedihan yang mendalam, kami di sini untuk menyampaikan berita paling menyedihkan. Coco bertarung dengan masalah kemurungan selama beberapa tahun tetapi keadaannya merosot secara drastik sejak beberapa bulan lalu.
“Walaupun Coco mendapatkan bantuan profesional dan melakukan yang terbaik untuk melawan kemurungan, malangnya dia tidak berjaya.
“Pada 2 Julai, dia cuba membunuh diri di rumah dan dihantar ke hospital. Walaupun pasukan perubatan berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan, Coco meninggal dunia pada 5 Julai 2023,” tulis Nancy. Rest in peace Coco!
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Dari seorang gadis biasa dan bintang program realiti TV, kini Sofia Kristina Hellqvist merupakan ahli keluarga diraja Sweden! Semuanya bermula ketika Sofia bertemu putera kacak Sweden iaitu Carl Philip of Sweden semasa beliau mengusahakan sebuah pusat kesihatan yoga di Manhattan.
Mengintai latar belakang Princess of Sweden dan Duchess of Varmland ini, Sofia dilahirkan di Stockholm pada tahun 1984 dan bergiat aktif dalam bidang peragaan. Beliau juga merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik perempuan. Meskipun pernah melanjutkan pengajian dalam jurusan Perhubungan Antarabangsa dan Perakaunan di dua institut berbeza di Sweden dan Amerika, namun puteri diraja berusia 36 tahun ini tidak pernah bekerja dalam bidang yang dipelajari.
Sebaliknya, Princess Sofia lebih selesa bekerja sebagai pelayan restoran, pembantu jualan dan model. Semasa menjadi model, wajah cantik Princess Sofia telah banyak menghiasi banyak majalah di negara kelahirannya. Bersandarkan kepada kecantikan dan tubuh menawan yang dimiliki, Princess Sofia juga dilaporkan menyertai pelbagai pertandingan ratu cantik termasuk pernah menjadi juara Miss Slitz 2004.
Rentetan daripada gelaran ratu cantik tersebut, beliau mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan dan menyertai sebuah program realiti ‘Paradise Hotel’ di salah satu saluran televisyen Sweden.
Bertitik tolak daripada program realiti ini, kelibatnya mula mencuri tumpuan ramai sehingga meraih populariti luar biasa. Princess Sofia kemudian berhijrah ke New York dan membuka sebuah pusat kesihatan yoga di Manhattan. Di sinilah beliau bertemu Carl Philip of Sweden dan masing-masing dikatakan jatuh cinta pada pandang pertama.
Carl Philip mengambil langkah permulaan untuk memenangi hati Sofia dengan mengajak jelitawan tersebut menyaksikan perlumbaan go kart. Hubungan mereka dikatakan semakin serius pada Ogos 2010. Tanggal 27 Jun 2014, pasangan kekasih ini mengumumkan berita pertunangan mereka.
Episod ala kisah dongeng rakyat biasa menjadi puteri kayangan tercetus pada 13 Jun 2015 apabila Princess Sofia secara rasmi menjadi isteri Prince Carl dalam majlis perkahwinan gilang-gemilang yang berlangsung di Chapel of Stockholm’s Royal Palace.
Gaun perkahwinan Princess Sofia direka khas oleh pereka Sweden, Ida Sjostedt. Istimewanya gaun indah berlengan panjang dan rekaan leher V berkenaan diperbuat daripada silk crepe dan sulaman tangan. Mahkota yang dipakai pula merupakan pemberian hadiah daripada Raja dan Permaisuri Sweden.
Dek kerana kehidupan lama Princess Sofia, ada segelintir pihak memberi persepsi buruk terhadapnya dan menganggap beliau tidak layak menjadi puteri diraja. Berbeza pula bagi Carl Philip of Sweden yang digambarkan seorang putera raja sempurna, kacak, ramah dan berpendidikan tinggi. Malah putera kedua King Carl Gustav XVI dan Queen Silvia of Sweden ini juga sangat disenangi keluarga diraja Sweden.
Bagaimana pun kecantikan Sofia Hellqvist dan kebaikannya bersama Carl Philip of Sweden lama-kelamaan diterima baik rakyat jelata. Dia kini mendapat gelaran Her Royal Highness Princess Sofia of Sweden dan Duchess of Varmland.
Kehidupan Princess Sofia berubah sepenuhnya pada 19 April 2016 apabila beliau bergelar ibu. Putera sulung mereka dilahirkan nama Alexander Erik Bertil. Setahun kemudian, pada 31 Ogos 2017… perkahwinan mereka tambah meriah dengan kehadiran cahaya mata kedua iaitu Gabriel Carl Walther.
Dikurniakan suami penyayang, anak-anak comel dan disayangi rakyat… membuatkan Princess Sofia teruja dan mahu terus memberikan sumbangan terbaik kepada masyarakat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Gadis bernama Suhana Khan ini ternyata mewarisi kecantikan dan bakat kedua-dua ibu bapanya. Menginjak usia 20 tahun dan masih bergelar pelajar, namun setiap kali kelibatnya muncul di khalayak pasti ada ‘mata-mata’ yang memerhati. Begitulah kehidupan yang dilalui Suhana yang merupakan satu-satunya anak perempuan kepada Raja Bollywood, Shah Rukh Khan. Belum pun menceburi bidang seni di India, tapi pancaran dunia glamor sudah mula menyinari kehidupannya.
Bersandarkan populariti bapa dan daya penarik ibu Gauri Khan… Suhana telah dipilih menghiasi kulit depan majalah terkemuka India iaitu Vogue India edisi Ogos 2018. Bagi anak gadis yang muda sepertinya dan tidak pernah terlibat dengan sebarang filem mahupun drama, ia tentunya satu penghormatan besar. Untung Suhana!
Timbul juga ramalan bahawa gadis cantik ini adalah pelapis kepada bintang terkenal seperti Aishwarya Rai dan kemunculannya kelak bakal menggegarkan industri perfileman Bollywood. Apa yang pasti, Suhana sudah mula menjadi buruan penerbit filem tersohor dan syarikat produksi. Namun segala-galanya terletak kepada keputusan Shah Rukh Khan dan isteri.
Khabarnya, rakan karib Shah Rukh Khan yang juga penerbit filem Kahan Johar antara yang sedang mengintai bakat Suhana selain beberapa penerbit filem lain termasuk Sanjay Leela Bhansali dan Sujoy Ghosh. Nampaknya, kalau Suhana berhasrat untuk menceburi bidang seni kelak tempatnya sudah pun tersedia!
Selain Suhana, perkahwinan hampir tiga dekad Shah Rukh Khan dan Gauri turut dikurniakan dua lagi cahaya mata lelaki iaitu Aryan Khan dan AbRam Khan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Siapa tak kenal dengan usahawan kosmetik terkemuka yang berasal dari pantai timur, Hasmiza Othman, atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida yang sinonim dengan...