Dalam sibuk menguruskan perniagaan dan kerjaya seni, Noor Neelofa Mohd Noor masih punya masa untuk berbakti kepada masyarakat. Tidak berniat menunjuk-nunjuk kerja amal yang disertainya jauh sekali meraih pujian atas keprihatinan yang ditunjukkan, selebriti cantik ini nyata mempunyai hati yang cukup murni. Hmm.. patutlah rezeki Neelofa semakin mencurah-curah, ‘Tangan yang memberi itu lebih baik daripada yang menerima.’
Mula bergerak aktif melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat bersama para peminat sekitar tahun 2017, Pengasas Naelofar Hijab ini dilihat kerap turun padang membela nasib pelbagai pihak. Meskipun kehidupan Neelofa acap kali disinari dengan kilauan dunia glamor… namun dia sedikit pun tak kekok berkunjung ke kampung untuk membantu golongan emas dan kanak-kanak.
Bahkan baru-baru ini, kelibat Neelofa tiba di Kuala Selangor di samping beberapa staf Chatime serta para peminatnya untuk menjayakan program amal tersebut. Menerusi aktiviti murni itu, bantuan seperti barangan keperluan dan basikal diberikan kepada keluarga serta kanak-kanak kurang bernasib baik.
https://www.instagram.com/p/BtHtLWDF1ba/
Neelofa yang hanya memakai selendang, blaus labuh berwarna hitam serta berkasut sukan tampak berbeza daripada penampilan mewah dan stylonya selama ini. Walaupun penat, namun terpancar jelas wajah gembira pengacara ini di samping masyarakat.
Sebelum ini Neelofa pernah turun padang membersihkan pusat perlindungan kucing di S.I Home Shelter, menceriakan kanak-kanak di Hospital Kuala Lumpur dan macam-macam lagi. Terbaru, keprihatian Neelofa terhadap kebajikan masyarakat sekali lagi mencuri tumpuan apabila perbualannya bersama Nur Heliza Helmi bertebaran luas di media sosial apabila dia turut mahu membantu umat Islam di Syria yang sedang menderita menghadapi musim cuaca sejuk melampau.
Tahniah Neelofa kerana menjadi teladan baik dan inspirasi kepada anak muda masa kini untuk menyebarkan aura positif. Moga segala usaha dan jasa baik Neelofa diberkati Allah SWT.
Positif Terima Ujian Kanser, Semangat & Sisi Ceria ELYANA Cetus Inspirasi!
Sejujurnya ramai yang meluahkan rasa kagum melihat semangat luar biasa Elyana dalam mengharungi kanser limfoma yang dialami. Meskipun berdepan kesakitan yang teramat sangat namun penyanyi ini sering tampil positif dan ceria di hadapan khalayak. Tidak dinafikan ada suara nakal yang mengatakan dia sengaja mereka-reka cerita mengenai penyakit yang dihidap namun Elyana dalam satu program temubual menjelaskan perkara tersebut bukan satu hal yang boleh dibuat main atau dipersenda.
Memetik kenyataan Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, keadaan kesihatannya hari ini semakin merosot dan membuatkan dia cepat berasa penat. “Terus terang saya katakan di depan kamera saya akan nampak ok, macam ni. Saya takkan tunjuk yang saya sakit sekalipun sampai bila-bila. Saya takkan tipu sakit. Ia bukan benda main-main. Apa pun orang kata, saya minta maaf awal-awal, saya takkan tunjuk yang saya sakit.”
Ujar Elyana lagi, “Saya seorang penghibur jadi saya nak hiburkan orang. Saya tak nak simpati. Yang saya perlu ialah doa anda. Itu saja. Di belakang kamera, saya memang struggle sangat. Macam pesakit kanser lain juga… saya sakit sepanjang masa.
Waktu ini memang kanser saya berada di tahap agak kritikal tapi saya cuba teruskan hidup dengan positif dan buat macam biasa. Saya positifkan diri dan kalau doktor kata saya perlu jalani kimoterapi lagi, saya akan buat. Di rumah sekarang ini pun, saya tak banyak pergerakan sangat sebab saya cepat penat.”
Biarpun cuba menyembunyikan perasaan sebenar, air mata Elyana tak mampu lagi dibendung dan akhirnya gugur. Meniti usia 34 tahun, Elyana yang sudah 21 tahun bertapak dalam industri muzik disifatkan seorang pejuang kanser yang kuat! Mengimbas kembali detik awal dia menghidap kanser, Elyana berkata dunianya waktu itu gelap dan bagai hilang arah.
“Awal dulu memang ada simptom kanser. Saya batuk setiap hari, sakit kepala dan ada benjolan di leher yang makin membesar. Keluarga saya tak ada sejarah kanser sebab itu pada awalnya saya anggap ia sekadar migran. Lama-kelamaan, saya sendiri terdetik ia bukan penyakit biasa-biasa dan pergi ke hospital. Doktor buat biopsi dan barulah saya tahu saya hidap kanser limfoma stage dua.
Dunia saya waktu itu gelap. Hanya Allah yang tahu perasaan saya dan tiada ucapan yang keluar dari mulut saya. Rasa macam dunia saya hancur. Sebelum kahwin memang saya nak sangat ada anak. Bila dapat anak, tiba-tiba sakit. Jadi kesan ubat kimoterapi buatkan saya tak boleh peluk anak dan berada dekat dengan dia. Hidup saya berubah 100 peratus.
Masa buat kimoterapi hari pertama, saya rasa ok lagi. Masuk hari kedua dah mula sakit dan hari ketiga, nak telan air liur pun tak boleh. Selama empat tahun, saya rasa down yang teramat sangat. Saya duduk di rumah je sebab saya tak tahu siapa yang boleh bagi saya semangat. Saya rasa kosong.”
Pernah popular menerusi lagi hit ‘Tak Tercapai Akalmu’, Elyana akhirnya bangkit daripada kesedihan dan terpanggil untuk memberi kata-kata semangat kepada insan yang mengalami nasib serupa. Jelas Elyana, salah satu cara yang membuatkan dia mahu berjuang dan terus ceria menempuh dugaan hidup ini adalah dengan cara menggembirakan orang lain.
“Bila kita down, kita perlukan semangat dan support each other. Setiap hari saya mahu beri semangat untuk orang lain. Bila kita bagi orang positif, saya percaya ia akan patah balik kepada saya. Jadi, dari sekarang saya mahu terus bagi semangat kepada orang dan dalam masa sama buatkan saya happy setiap hari.
Yang menggembirakan saya dan buat saya ceria adalah apabila saya menggembirakan orang lain. Sebab itu juga saya ambil anak angkat. Anak ini dalam kesusahan. Bila saya buat kebaikan untuk dia, belikan baju contohnya… saya rasa happy. Kalau dapat gembirakan keluarga, saya rasa macam tak ada apa lagi saya perlukan dalam hidup.”
Begitu tabah dan kuatnya semangat Elyana! Kekuatan yang ada dalam dirinya patut dijadikan inspirasi buat seluruh wanita, khususnya pesakit kanser. Moga Elyana dapat terus menikmati hidup dengan gembira dan diberi kesembuhan segera.
Kredit foto: Instagram Elyana
11 Tahun Bina Legasi & Urus 29 Pusat Rawatan, Kejayaan IBU TUNGGAL Jelita Ini Cetus Inspirasi!
Membina empayar niaga selama 11 tahun nyata bukan satu tempoh singkat. Pastinya pelbagai cabaran dan liku kehidupan sudah dilalui Norhanani Abdullah sepanjang menguruskan legasi Bubble Gum X Sdn Bhd. Berkat kerja keras dan niat untuk membantu lebih ramai wanita, perusahaan tersebut kini semakin dikenali dan bertapak kukuh dalam pasaran.
Mendekati pemilik Bubble Gum X, wanita berusia 33 tahun yang mesra disapa Nani ini disifatkan seorang yang kreatif dan cukup merendah diri. Enggan mendabik dada dengan pencapaian yang diraih, Nani terus mendaki puncak kerjaya di samping saudara kandungnya yang turut bersama-sama mengendalikan perniagaan ini.
Sejak ia ditubuhkan sampai sekarang, Bubble Gum X sudah pun mempunyai lebih 200 pekerja dan 29 pusat rawatan seluruh negara. Malah, mereka juga mempunyai trak wax pertama di Malaysia. Hebat!
Ditanya dari mana tercetusnya idea menubuhkan perniagaan ini, Nani terbuka berkongsi kisah kejayaan. “Kisah Bubble Gum X sebenarnya bermula seawal tahun 2011. Ketika itu, kami dapati dalam industri kecantikan, tidak banyak rawatan penyingkiran bulu yang selamat, berkualiti tinggi dan mampu milik.
Dari situ, kami adik-beradik terdetik untuk membuka salun Bubble Gum Wax yang menawarkan rawatan pada harga mampu milik tetapi berkualiti tinggi. Kami melalui permulaan yang agak sukar kerana perkhidmatan yang kami tawarkan bukanlah sesuatu yang menjadi budaya masyarakat Malaysia waktu itu.
Namun, selepas dua tahun, sedikit demi sedikit, pelanggan mula menaruh kepercayaan kepada jenama dan servis yang Bubble Gum Wax tawarkan. Alhamdulillah.”
Ujarnya lagi, “Kakitangan kami terbahagi kepada dua iaitu bahagian pengurusan dan operasi yang kami gelar sebagai Keluarga Bubble Gummers. Setiap juruterapi diberi masa sehingga 6 bulan untuk menjalani latihan intensif di ibu pejabat Bubble Gum X yang terletak di Shah Alam.
Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk memastikan mereka mempunyai bekalan pengetahuan dan ilmu pengendalian yang cukup dan mantap sebelum turun padang.
Kepercayaan pelanggan merupakan misi utama kami kerana kami bertanggungjawab ke atas lebih 29 pusat rawatan seluruh Malaysia. Ini termasuk 24 Pusat Rawatan Bubble Gum Wax, 4 Studio Bubble Gum Lash, 1 Studio Bubble Gum Nails dan 1 Pusat Kecantikan Bubble Gum X-thetic.”
Lebih membanggakan, untuk tahun ini saja Nani merangkul empat anugerah peringkat global untuk jenama terbaik.
“Saya kira tahun 2022 merupakan tahun cemerlang kami. Bubble Gum X baharu sahaja memenangi 4 anugerah jenama terbaik yang diiktiraf di peringkat tempatan dan global iaitu Global Business Leadership Award bagi kategori kecemerlangan dalam perkhidmatan salun gaya hidup, The Brand Laureate SMEs 2022 kategori Anugerah Pilihan Jenama Terbaik dan Anugerah Usahawan Terbaik serta Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) untuk kategori Anugerah Pilihan Pengguna 2022/2023.”
Mengulas rutin harian Nani dalam membahagikan masa di antara kerjaya dan anak-anak, tanpa berselindung ibu berjiwa besar ini menyusun bicara.
“Falsafah saya mudah. Apabila di tempat kerja, saya akan memberi tumpuan seratus peratus kepada kerja. Bila sampai di rumah, saya akan memberi tumpuan seratus peratus kepada keluarga pula. Sejujurnya, musuh utama wanita berkerjaya hari ini adalah masa. Untuk membahagikan masa di antara kerjaya dan keluarga itu bukanlah senang.
Namun, tidak dapat nafikan bahawa imbuhan kepada berjaya dalam kerjaya itu adalah untuk kesenangan keluarga jua. Mujurlah, saya ada 2 pembantu rumah dan saya amat berterima kasih kepada mereka kerana membantu saya menguruskan beban kerja rumah dan memantau anak-anak saya dengan baik.”
Sebelum mengakhiri perbualan, Nani turut menitipkan pesan berikut buat seluruh wanita yang bertungkus-lumus menjana pendapatan di samping melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap keluarga serta anak-anak.
“Untuk wanita berkerjaya di luar sana, tuntutan kerjaya hari ini tidak seperti zaman ibu bapa kita. Seiring kemudahan semasa yang ada, jangan pernah rasa bersalah untuk meninggalkan kerja rumah kepada pembantu rumah.
Sebagaimana anda tak perlu rasa bersalah untuk serahkan diri melalui rawatan kecantikan, kebersihan dan merapikan diri di mana-mana rangkaian rawatan Bubble Gum X! Kerana kami faham, kesibukan kerja hari ini, kadang kala nak jaga diri pun tidak cukup masa.”
Moga perkongsian Nani mengurus perniagaan menjadi pemangkin semangat buat lebih ramai wanita mencipta kejayaan membanggakan!
“Ilham Yang Allah SWT Selalu Beri Kepadanya Amat Mengagumkan,” Tun M Di Mata Tun Hasmah
Kisah cinta di antara pasangan yang sudah 64 tahun mendirikan rumah tangga ini memang menyuntik inspirasi siapa saja. Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, lambang seorang wanita dan isteri yang wajar dijadikan contoh terbaik era ini. Menggalas tugas sebagai isteri kepada Perdana Menteri dan juga ibu kepada 7 orang anak serta 18 orang cucu, Tun Hasmah berjaya melaksanakan tugasnya dengan cemerlang.
Siapakah Tun Dr Mahathir Mohamad dari perspektif wanita yang berusia 93 tahun ini. Berikut adalah kata-kata indah yang tersusun keluar dari mulutnya bercerita tentang suami kesayangan kepada Majalah Nona.
“Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujarnya tentang karakter suaminya.
“Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya,” kongsi Tun Hasmah tentang suaminya yang pendiam dan boleh berubah menjadi seorang yang humor.
“Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Mesti akan dirapikan jika ada yang tak kena, agar nampak lebih natural,” bicara Tun Hasmah tentang sikap suami yang sangat cerewet tentang penampilannya.
“Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di matanya. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Hasmah tentang sifat suaminya yang teliti tentang soal pakaian dan gemar bersut nehru atau bush jacket.
“Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang orang ramai berjumpa dengannya,” kongsi Tun Hasmah yang tak pernah jemu menyokong suaminya.
“Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layankan dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” ujar Tun Hasmah menjawab persoalan rasa cemburu dengan suami sendiri.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan malah, pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” kongsi Tun Hasmah yang menggambarkan cinta sejati masih wujud.
“Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah SWT jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya, ” tutur Tun Hasmah tentang suaminya yang tak tahu erti penat.
“Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya ilham yang Allah SWT selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Hasmah tentang suaminya.