Cantik Macam Dulu WAN RASHIDAH Tak Dimamah Usia, Kini Cecah 52 Tahun

Pelakon dan penyanyi bersuara ‘seksi’ Wann yang popular dengan lagu berjudul Bossanova, Joget Siapa Dia dan Lamunan Hati ini masih kekal menawan walaupun kini usianya sudah mencecah 52 tahun. Apatah lagi dengan penampilannya yang manis berselendang, sejuk mata memandang.

 

Keunikan suaranya telah menjadikan Wan seorang penyanyi yang punya identiti tersendiri. Suara ‘meneran’ Wann bukan sebarangan ya. Suara itulah yang dianggap para peminatnya amat seksi dan sedap didengar.

Wann atau nama sebenarnya Wan Rashidah Meor Abdul Rashid yang berasal dari Perak ini sangat terkenal pada era lewat 90an. Dia memulakan karier seninya pada usia 18 tahun.

Pada zaman kegemilangannya, Wann disenaraikan sebagai artis paling banyak mengadakan persembahan pentas. Dalam sebulan, Wann dikatakan menerima undangan menyanyi antara 20 ke 25 show dengan kadar bayaran antara RM2,000 dan RM3,000 untuk setiap satu show.

Berkat rezekinya itu, Wann mampu memiliki kereta mewah Mazda Eunos berharga ratusan ribu ringgit.

Sepanjang kariernya juga, Wann yang ketika itu sinonim dengan imej seksi disifatkan sebagai satu-satunya artis wanita yang bersih dari sebarang gosip dengan mana-mana V1P mahupun artis.

Niatnya bergelar penyanyi adalah untuk menyara keluarga. Ibunya, Junaidah Shaari atau Miss June adalah insan terpenting yang menjadi pengurusnya ketika itu.

BAHAGIA BERSAMA KELUARGA
Ketika menamatkan zaman bujang, nama Wann masih berada di puncak kegemilangan. Hasil perkahwinannya dengan kakitangan MediaCorp, Mohamed Thazah Hamzah sejak 29 tahun lalu mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Mohd Israfael, 27, dan Natasha, 25. Kini Wann bahagia bersama keluarga di Singapura, tempat kelahiran suaminya.

 

Walaupun jauh, selain bergelar suri rumahtangga sepenuh masa Wann masih menerima tawaran menyanyi termasuklah pernah menyertai pertandingan Gegar Vaganza 6 (GV6). Wann bertuah kerana suami tercinta tidak pernah menghalang minatnya terhadap nyanyian sebaliknya sentiasa menyokong dari belakang.

 

Biarpun hidupnya kini jauh dari dunia glamor, sekurang-kurangnya Wann merasa bahagia dikeliling suami dan anak-anak. Pastinya seorang ibu gembira dapat melihat anak-anak membesar di hadapan mata.

Bagi seorang wanita, kebahagiaan sebenar adalah kasih sayang suami dan anak-anak yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

ANAK-ANAK CANTIK & TAMPAN
Wann juga dilihat sering berkongsi gambar dan video keluarganya di media sosial. Ternyata, wajah anak-anaknya mencuri perhatian ramai.

Wajah anak perempuannya Natasha saling tak tumpah seperti Wann. Memiliki tubuh yang langsing dan tinggi memberi kelebihan buat Natasha. Natasha juga mempunyai minat dan bakat yang sama seperti ibunya.

Seawal usia empat tahun lagi, Natasha telah pun dimasukkan ke kelas piano. Bayangkan kalau suatu hari nanti ibu dan anak ini bergabung dalam satu persembahan. Natasha main piano dan ibunya pula menyanyi, pasti mantap!

Manakala anak lelakinya pula, Israfael turut memiliki raut wajah yang tampan persis bapanya.

NONA mendoakan agar Wann kekal bahagia bersama keluarga tersayang.

Kredit Foto: Instagram Wan Rashidah, Natasha Sushi

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad