Bila sebut saja nama Zara Zya pasti sudah terbayangkan wajah manisnya menghiasi drama Love You Mr Arrogant. Berbekalkan bakat semula jadi dalam lakonan pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd Zainuddin ini terus diterima peminat drama tempatan.
Bukan sahaja cantik malah Zara Zya terkenal dengan kebolehan memasak dan pernah memiliki sebuah restoran, Zarazyacooks. Walaupun begitu restoran ini terpaksa ditutup atas sebab yang tersendiri. Atas kebolehan memasak juga Zara Zya pernah menjadi TV Host rancangan masakan. Suka tengok program kendalian wanita ini yang nampak bersahaja ‘bermain’ kuali dan senduk.
Penampilan Zara Zya semakin anggun selepas mengambil keputusan untuk berhijab tahun lalu. Apa yang pasti jiwa murni yang dimiliki wanita kecil-molek ini telah mencetus inspirasi. Zara Zya begitu aktif dan optimis melakukan kerja-kerja kebajikan.
Sebelum ini Zara Zya telah melancarkan Projek Zara Prihatin #zaraprihatin untuk membalas balik jasa Frontliners. Kini Zara Zya terpanggil untuk menyuntik keceriaan kepada penghantar makanan atau rider dengan merancang untuk menyediakan pek bungkusan istimewa kepada golongan berkenaan.
Mahu berkongsi nikmat melakukan kebajikan dengan orang lain, Zara Zya telah menggerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Prihatin Tanpa Sempadan untuk merealisasikan niat berkenaan.
“Kalau ikut kemampuan diri saya boleh sediakan pek makanan, minuman beserta pelitup muka dan sanitasi tangan, namun terbatas untuk bantuan skop kecil. Saya rasa lebih baik niat baik ini dilakukan bersama mereka yang sama-sama sudi menyumbang. Lagi ramai yang beri sumbangan, insya-Allah lagi luas skala bantuan ini boleh dianjurkan,” kata Zara Zya.
“Sebagai permulaan, Zara Zya akan meletakkan pek sumbangan itu di beberapa lokasi stesen minyak di Setia Alam. “Saya mensasarkan untuk meletakkan sekitar 30 ke 50 pek bungkusan makanan di setiap stesen minyak. Jika ada sumbangan lebih kelak, boleh kita luaskan lagi kawasan pengagihan sumbangan,” katanya sambil membuka peluang memberi sumbangan di Instagram @malaysia.prihatin.
Beruntung para rider apabila dapat menikmati sendiri masakan daripada air tangan Zara Zya. “Pastinya ada di antara mereka pun tak sempat menjamu selera kerana terkejar kejar masa penghantaran. Jadi makanan dan minuman juga boleh membahagiakan mereka. Bahagian makanan yang akan diagihkan saya sendiri akan memasaknya di rumah seperti menu nasi ayam atau beriani,” katanya.
This website uses cookies.