Bukan hanya dikurniakan rupa paras cantik, comel, bergaya dan kaya… nama Angelababy dikenali di China dan Hong Kong. Memulakan karier sebagai pelakon dan model, personaliti ini menarik perhatian dunia apabila dia berkahwin dengan pelakon terkenal China, Huang Xiaoming yang 11 tahun berusia darinya.
Angelababy dan Huang dikatakan menjalin hubungan cinta selama beberapa tahun dan hanya mendedahkan kepada umum tentang perhubungan mereka pada tahun 2014.
Ibu Angelababy berasal dari Shanghai sementara bapanya merupakan rakyat Hong Kong yang berketurunan Jerman dan China. Disebabkan perkahwinan campur itu, Angelababy mampu bertutur dalam Bahasa Inggeris, Mandarin, Shanghai, Jepun dan Kantonis.
Sepanjang bergelar selebriti, nama Angelababy sering terpalit dengan kontroversi menjalani pembedahan plastik untuk kelihatan cantik. Namun selebriti ini menegaskan tidak pernah melakukan prosedur tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terus mengaitkannya dengan perkara tersebut demi menjaga reputasi.
Bahkan, suami Angelababy juga mengakui kecantikan isterinya adalah asli.
Sepanjang pembabitannya dalam industri perfileman, aktres ini sudah menembusi pasaran filem Hollywood antaranya menerusi filem Hitman: Agent 47 (2015) dan Independence Day: Resurgence (2016).
Sejak kecil Angelababy sudah didedahkan dengan dunia fesyen memandangkan bapanya memiliki empayar fesyen di Shanghai. Bagaikan sudah sebati dengan kerjaya bapa
tersayang, wanita berjiwa besar ini begitu tertarik dengan fesyen dan menceburkan diri dalam bidang peragaan.
Bersandarkan wajah sempurna, susuk tubuh tinggi lampai dan cita rasa fesyennya Angelababy telah menandatangani kontrak bersama Style International Management ketika usianya baru mencecah 14 tahun iaitu setahun selepas dia berhijrah ke Hong Kong.
Mewarisi bakat berniaga dari bapanya, selebriti ini juga mengusahakan perniagaan berasaskan kecantikan, kafe dan butik pakaian. Antara empayar yang diusahakan Angelababy termasuk butik merias kuku dan kafe yang dikendalikan bersama seorang aktor Hong Kong.
Malah, dia juga terlibat dalam pelaburan berskala besar serta aktif sebagai aktivis.
Berdasarkan populariti yang diraih, Angelababy telah dilantik wajah kempen Christian Dior di China selain merupakan antara artis paling kaya di Hong Kong yang memiliki kekayaan USD50 juta. Begitu juga suaminya yang mengutip USD80 juta.
Pada tahun 2016, Forbes mengiktiraf Angelababy sebagai salah seorang daripada Top 30 selebriti muzik, atlet dan bintang filem bawah umur 30 tahun yang mencipta kejayaan dalam bidang masing-masing.
Kredit: Instagram Angelababy
This website uses cookies.