Kuch Kuch Hota Hai antara filem blockbuster Bollywood yang cukup dekat di hati para penonton Malaysia. Tidak keterlaluan kalau dikatakan, sampai sekarang pun masih ramai yang mengingati plot cerita dan skrip filem tersebut.
Diterbitkan sekitar tahun 1998, filem yang menampilkan pelakon berbakat India seperti Shah Rukh Khan, Kajol dan Rani Mukherjee ini… antara lain yang turut berjaya melonjakkan nama barisan pelakon lain. Salah seorang daripadanya ialah pelakon cilik yang melakonkan watak sebagai Anjali iaitu akan kepada Shah Rukh Khan atau nama sebenarnya Sana Saeed!
21 tahun telah berlalu… pasti ramai peminat filem lagenda ini tertanya-tanya wajah terkini pelakon cilik tersebut. Daripada figura kanak-kanak comel yang begitu menghiburkan, kini ‘Anjali’ berubah menjadi wanita matang dan seksi. Dilahirkan pada 22 September 1988, Sana tidak hanya aktif dalam dunia lakonan bahkan turut terlibat dalam bidang pengacaraan dan peragaan.
Difahamkan Sana mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan perdagangan dan menetap di Mumbai, India. Kerjaya seni Sana bermula ketika dia baru berusia 8 tahun dalam filem Kuch Kuch Hota Hai sebelum dia kemudian membintangi filem komedi romantik School of the Year yang memainkan watak dewasa pada tahun 2012. Selain filem Kuch Kuch Hota Hai, Sana turut pernah berlakon dalam filem Badal dan Har Dil Jo Pyar Karega.
Pada tahun 2013, wanita yang bakal berusia 32 tahun ini mengacarakan MTV Splitsvilla Sexy Sana show. Dari awal pembabitan Sana dalam dunia lakonan, dia tidak pernah mendapat restu daripada bapa tersayang. Namun, ibunya sentiasa di sisi dan menyokong kerjaya seni Sana.
Memetik kenyataan Sana dalam Times of India, “Ibu saya adalah orang pertama yang membawa saya ke dunia lakonan dan dia juga sentiasa ada bersama saya. Bapa pula tidak pernah menyokong keputusan saya untuk menjadi seorang pelakon.”
Bersandarkan bakat dan kecantikan yang dimiliki, Sana turut pernah menerima tawaran dan menandatangani kontrak sebagai model peragaan dengan Benchmark Models.
Pernah Digelar “Gemuk & Hodoh” AISHWARYA RAI Buktikan Usia 48 Tahun Tak Mustahil Kekal Kejelitaan!
Wanita mana tidak pernah berhadapan dengan masalah berat badan apatah lagi usai proses melahirkan cahaya mata? Ia adalah kitaran kehidupan normal yang harus dilalui oleh wanita usai melahirkan anak.
Bagi pelakon yang pernah dinobatkan sebagai wanita tercantik di dunia, Aishwarya Rai, dia juga tidak terlepas dari berhadapan masalah tersebut selepas melahirkan anaknya, 12 tahun yang lalu. Malah, dia hampir tertekan dek masalah kenaikan berat badannya itu.
Pelakon kelahiran Mangalore, Karnataka, India ini juga pernah melalui saat “dimalukan di media sosial” di mana foto dirinya dimanipulasi dan dijadikan bahan ejekan. Walaubagaimanapun, Aishwarya sering kelihatan tenang berhadapan dengan tekanan dan menganggap situasi tersebut turut dihadapi oleh ramai selebriti lain di seluruh dunia.
Tidak dinafikan persoalan body shaming sememangnya menjadi topik yang hangat diperkatakan seantero dunia kerana ramai beranggapan individu bertubuh besar mempunyai stigma tidak cantik dan mempunyai masalah kesihatan.
“Mereka punya banyak masa untuk menjatuhkan orang lain kerana tindakan itu membuatkan mereka bahagia. Namun pada penghujungnya, kita hanya mampu untuk memikirkan cara mereka ber kir.
“Biarkan mereka bantu diri mereka sendiri. Kita hanya dapat menolong dengan tidak mengambil kisah tentangnya,” ujar Ratu Dunia 1994 itu.
Menjangkau usia 48 tahun, Aishwarya masih dihujani pujian kerana berjaya mengekalkan kejelitaan dan mengatasi masalah berat badan. Malah penampilannya dalam filem terbaharu, Ponniyin Selvan serta merta mengunci mulut pengkritiknya yang selama ini meyakini bahawa kegemilangannya sebagai pelakon sudah berakhir.
Menurut portal Times Of India, Aishwarya mengamalkan diet ringan, selain membudayakan aktiviti kecergasan untuk mendapatkan bentuk fizikal dan kecergasan yang diperlukan bagi menghidupkan watak Nandini dalam filem tersebut.
Pelakon tersebut dilaporkan amat menggemari masakan ala Mangalore terutamanya kari ikan dan ayamnya. Aishwarya turut mengurangkan pengambilan makanan bergoreng dan nasi.
Beliau juga dilaporkan mengamalkan pengambilan jus lemon suam bercampur madu setiap pagi. Antara rahsia yang terkandung dalam minuman jus lemon suam bercampur madu termasuklah ia mampu menurunkan berat badan, mencegah infeksi saluran kencing dan mampu membersihkan hati dari racun.Selain itu, rutin senaman aktress tersebut termasuklah yoga berbanding melakukan aktiviti senaman di gimnasium.
Shila Amzah ‘PECAH TRADISI’ PILIH TEMA Black & Elegant Rekaan Azura Couture Untuk Majlis Resepsi
Majlis raikan cinta pasangan Shila Azmah dan Haris Idraki berakhir dikemuncaknya. Resepsi pasangan romantis ini telah diadakan dengan gilang-gemilang di hotel JW Marriot, Putrajaya. Memilih busana hitam sebagai tema untuk ‘majlis besar,’ kedua pasangan raja dan ratu sehari berarak ‘megah’ menuju ke pentas singgahsana yang tersergam indah,
Pelamin berkonsepkan Zen ini benar-benar ‘serasi’ dengan busana yang digayakan oleh pasangan mempelai. Sentuhan pelamin Adiputra_decor yang ringkas dan tidak terlalu sarat menjadikan penampilan pengantin cukup menyerlah pada malam yang bersejarah ini.
Shila memecah tradisi dengan mencipta kelainan apabila ‘berani’ mengayakan persalinan rona hitam tidak seperti kelaziman raja sehari yang memilih rona putih. Untuk majlis resepsi, Shila menggayakan dua helai gaun rona hitam yang kedua-duanya direka oleh pereka terkenal, Azura Couture.
Penulis berkesempatan menemubual pereka terkenal ini untuk bertanyakan dengan lebih terperinci tentang busana yang dipakai oleh Shila dan pasangannya, Haris. Ikuti temu bual eksklusif ini.
Apakah perasaan Azura apabila diberi tanggungjawab untuk mereka busana perkahwinan Shila?
Tentulah gembira bukan kerana dia seorang artis yang popular.tetapi saya pandang daripada sudut kepercayaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Saya dan Shila sudah agak lama bekerjasama untuk baju show Shila dan sebagainya. Sebagai seorang artis yang popular sudah tentu terlalu ramai designer yang ingin bersama menghasilkan pakaian untuk Shila. Pendek kata saya sudah menghasilkan pakaian untuk Shila sejak awal kemunculannya lagi dalam pentas seni. Shila memang seorang pelanggan yang setia.
Kesetiaan Shila dengan saya itu saya anggap sebagai satu penghargaan yang besar. Apabila Shila memilih saya sebagai designer busana perkahwinannya, bukan 1 baju tetapi 5 helai baju Shila dan 2 helai baju Haris, saya rasa terharu dan gembira sekali atas hubungan dan kepercayaan yang dijalinkan dari dahulu sampailah sekarang. Hubungan itu sama sekali tidak pernah berubah.
Azura Couture dipertanggungjawabkan untuk menyediakan berapa persalinan untuk Shila dan pasangannya?
5 persalinan untuk pengantin perempuan dan 2 persalinan untuk pengantin lelaki. Untuk majlsi resepsi material custom made telah disuntik bagi memperindahkan lagi kedua-dua gaun hitam yang digayakan (bersanding dan upacara memotong kek).
Apakah fabrik dan pilihan warna yang digunakan?
Fabrik yang saya gunakan terdiri daripada chiffon, lace, chiffon silk, beaded lace, songket dan netting.
Berapa lamakah tempoh menyiapkan busana perkahwinan Shila
Tempoh menyiapkan pakaian perkahwinan Shila tidak sampai sebulan untuk kesemua baju. Mesti ramai tidak percaya tetapi itulah kenyataannya. 25 Mac 2018 material sampai dan 16 April majlis bermula (khatam al-Quran). Bayangkan bagaimana sibuknya.
Boleh ceritakan sedikit tema dan konsep busana perkahwinan Shila dan pasangannya?
Tema konsep untuk majlis khatam al-Quran
Sopan: Sebenarnya apa yang saya fikirkan untuk khatam al-Quran adalah sesuatu yang sopan dan feminin.tetapi tetap bermain dengan sedikit unsur glamour bagi menampakkan kelainan. Konsepnya lebih kepada Arabic.
Malam berinai
Morrocan Night: Saya menggabungkan elemen Morrocan dan Bollywood serta memberi sedikit sentuhan moden.
Bersanding sebelah lelaki
Tema tradisional: Kedua-duanya akan memakai busana rona burgandy. Saya menggabungkan sedikit songket pada pakaian mereka supaya Shila dan Haris dapat ‘look’ yang berbeza dalam setiap penampilan mereka.
Bersanding besar
Black theme: Saya sendiri yang memberi idea kepada Shila untuk cuba lari dari pastel dan putih. Jadi Shila bersetuju memakai busana rona hitam untuk sesuatu kelainan. Saya menyediakan dua persalinan pada malam itu di mana Shila menggayakan dua gaun yang sangat romantik.
Bagaimana boleh tercetusnya idea untuk mengilhamkan busana ini?
Setiap rekaan yang saya hasilkan, idea akan lahir daripada pengamatan saya kepada si bakal pemakai. Seperti Shila, terlalu banyak baju yang saya pernah buat untuk Shila jadi saya cuma ingin pastikan busana perkahwinan Shila adalah berbeza daripada pakaian-pakaian show tetapi sebagai designer juga saya akan pastikan setiap ilham saya tidak akan menenggelamkam si pemakai dan ‘tidak syok sendiri dalam berkarya.’
Adakah idea rekaan busana datangnya dari Shila atau gabungan Shila dan juga pihak Azura Couture?
Idea lahir daripada ilham bersama. Shila akan beritahu beberapa konsep yang dia suka dan saya sebagai designer akan pilih yang sesuai dan olah dalam bentuk fesyen.
Adakah Shila punya apa-apa permintaan untuk busana perkahwinannya? Mungkin busana idaman.
Saya agak bertuah sebenarnya.kerana Shila sentiasa memberi kebebasan untuk saya berkarya. Begitu juga untuk busana perkahwinannya. Mungkin sebab itu saya masih bersamanya sampai sekarang menghasilkan baju-baju Shila.
Adakah Shila seorang yang cerewet dalam membuat pilihan tema busana perkahwinannya?
Oh! tidak sekali. Dia sangat straight to the point. Dia seorang yang tahu apa dia mahu dan sangat percaya pada kerja saya sehinggakan tiada kesukaran langsung untuk menyiapkan baju Shila walaupun dalam masa yang singkat. Bila adanya rasa percaya dan yakin, semuanya jadi mudah.
Dalam keadaan berbadan dua, adakah ia satu cabaran yang besar untuk menyiapkan busana perkahwinan Shila?
Tidak sama sekali..mungkin ada sedikit letih kerana kali pertama mengandung tetapi saya boleh katakan saya enjoy buat kerja saya di samping team Azura Couture yang sangat cekap. Shila tidak langsung memeningkan kepala saya. Dia hanya datang berbincang, fitting bila saya panggil dan seterusnya pakai apabila tiba masanya. Tiada tekanan langsung. Shila sangat memahami yang kerja kreatif tidak boleh diganggu.
Adakah Azura mempunyai hubungan yang rapat dengan Shila secara peribadi?
Mungkin apabila sudah lama bekerjasama, hubungan rapat itu seperti ahli keluarga sendiri.
Sebagai pereka fesyen, apakah perasaan anda apabila dapat merealisasikan busana impian ratu sehari di hari bahagia mereka?
Tersangatlah bahagia.
Signature rekaan busana Azura Couture?
Sebenarnya apabila menyebut tentang signature, saya lebih dikenali dengan rekaan wedding ball gown.
Doa Azura buat Shila dan juga pasangannya.
Saya amat bersyukur Shila berjumpa dengan pasangan hidup yang sesuai. Secara peribadi saya senang melihat Shila di samping Haris yang sangat bersederhana. Sama seperti Shila juga yang tidak pernah berubah dari awal saya kenal dia sampailah sekarang. Semoga Shila bahagia hingga ke syurga.
Cetus Fenomena Filem BOBBY, DIMPLE KAPADIA Cantik Dalam Kelas Tersendiri Usia 65 Tahun!
Tanggal 8 Jun 1957 merupakan ulang tahun kelahiran bintang tersohor Bollywood, Dimple Kapadia. Melewati tarikh tersebut hari ini, Dimple secara rasminya genap berusia 65 tahun. Meskipun mencecah umur 60an, kecantikan aktres filem blockbuster Bobby ini masih berbisa. Lebih-lebih lagi dagu lekuknya yang sering menjadi tarikan!
Menelusuri latar belakang Dimple, dia dilahirkan di Mumbai, India dan anak kepada keluarga berada Gujarati di sana. Dimple merupakan anak sulung daripada empat beradik dan dia turut mempunyai adik perempuan iaitu Simple Kapadia yang juga pelakon. Namun Simple meninggal dunia pada tahun 2009.
Ketika baru berusia 16 tahun, Dimple Kapadia sudah bergelar bintang Bollywood. Namanya melonjak dan terus menjadi perhatian menerusi filem Bobby bergandingan bersama pelakon handalan, Rishi Kapoor pada tahun 1973.
Sewaktu menjalani penggambaran filem Bobby, Dimple dilapor menjalin hubungan dengan teraju utama filem berkenaan dan Rishi berhasrat melamarnya. Tetapi dihalang untuk berjumpa dengan wanita cantik itu lagi oleh bapa Rishi yang juga pengarah tersohor, Raj Kapoor.
Dimple Kapadia menjadi tumpuan ramai bukan hanya kerana bakat lakonannya bahkan kerana wajah cantik aktres ini. Enam bulan sebelum filem Bobby disiarkan di layar perak, Dimple telah mengikat tali perkahwinan bersama superstar Bollywood, Rajesh Khanna yang 15 tahun lebih berusia daripadanya.
Sebaik bergelar isteri, anak kepada pasangan Betty Kapadia dan Chunnibhai Kapadia tersebut memutuskan untuk berhenti berlakon. Bagaimana pun, pasangan ini dikatakan berpisah pada tahun 1982. Hasil perkongsian hidup, Dimple dan Rajesh dikurniakan dua anak perempuan yang juga pelakon, Twinkle Khanna dan Rinke Khanna.
Pada tahun 1984 Dimple kembali mewarnai industri filem Bollywood dengan niat mahu bekerja selepas dua tahun berpisah dengan Rajesh Khanna. Berdasarkan rekod cemerlang dan reputasi baik dalam karier lakonan, Dimple berjaya meletakkan dirinya sebagai antara pelakon wanita terbaik Bollywood. Sepanjang pembabitan dalam kerjaya seni, Dimple mendapat pengiktirafan daripada National Award dan meraih lima FilmFare Award di India.
Tidak hanya dikagumi kerana kecantikan, keperibadian Dimple Kapadia turut menarik perhatian peminat seni di India. Mana tidaknya walau sudah berpisah dengan Rajesh Khanna dan tidak membuat kenyataan rasmi mengenai penceraian mereka, Dimple dilaporkan tidak pernah mengeluarkan kata-kata sindiran atau bercerita buruk tentang bekas suami.
Memetik kenyataan Dimple menerusi temu bualnya dengan media India pada tahun 2017, “Ramai salah faham terhadap Kaka (Rajesh Khanna). Dia ialah seorang lelaki yang hebat.
Saya sangat muda dan terburu-buru ketika kami berkahwin. Memang kami berpisah tapi kenangan dan cinta saya terhadapnya masih terasa. Jadi, jangan sesekali cuba mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas mengenainya.”
Seawal pembabitan bergelar anak seni, Dimple dilihat enggan terlalu mengejar populariti dan komited dengan minat lakonan yang diceburi. Meniti usia 65 tahun, kini Dimple bahagia menjalani hidup normal di samping anak-anak tersayang dan hanya menerima tawaran berlakon yang dirasakan sesuai dengan dirinya.
Sumber: Pink Villa & Hindustan Times