Cantiknya Bakal Menantu! DATIN SRI NONISWARA Titip Pesanan Berharga Buat FARAH KHALEEDA

Penampilannya yang manis berkebaya moden rona magenta, dilengkapi pula dengan sehelai selendang di kepala menyerlahkan keayuan bakal menantu Datin Sri Noniswara ini. Farah Khaleeda bukan sekadar cantik malah dalam usia 25 tahun dia sudah pun bergelar Pengurus di sebuah syarikat.

Menurut Datin Sri Noniswara, Farah merupakan pilihan hati anak lelakinya sendiri, Naveer Mihshon yang kini berusia 26 tahun. Mihshon merupakan anak sulung Datin Sri Noniswara dari perkahwinannya yang pertama. Dua lagi anak Datin Sri Noniswara ialah Nurerysha Emyra, 21, dan Nazeer Danish, 13.

MERISIK
“Majlis merisik ini telah diadakan di Johor Bahru pada Disember 2020 secara sederhana. Kemungkinan, bila tiba hari pernikahan nanti akan diadakan majlis pertunangan sehari sebelumnya. Sebab cincin pertunangan pun sudah dibeli.

Kalau tiada sebarang halangan dan diizinkan Allah SWT, majlis pernikahan akan diadakan selepas Aidilfitri. Tengok keadaan juga mengikut tarikh dan hari yang baik. Sekarang masih lagi dalam perbincangan.

KEISTIMEWAAN BAKAL MENANTU
Alhamdulillah, Farah seorang yang lembut, ringan tulang, hormat orang tua dan paling utama dia adalah pilihan Mihshon. Jadi kalau Mihshon dah suka saya terima sahaja seadanya dia. Mihshon seorang yang cerewet juga tapi kalau dia dah suka mungkin itulah yang terbaik untuknya.

Pertama kali saya diperkenalkan dengan Farah ketika majlis harijadi Mihshon pada Jun 2020. Saya dan keluarga, serta kawan dan sepupu Mihshon celebrate harijadinhya. Turut hadir ialah Farah yang datang dari Johor Bahru. Ketika itu Farah pandai menyesuaikan diri dengan kami walaupun itu adalah perkenalan pertama kami.

Memandangkan Farah tinggal di Johor Bahru maka jaranglah kami bertemu. Dalam sebulan Farah akan datang ke Kuala Lumpur dalam beberapa kali. Dan ketika inilah baru dia datang bertemu kami. Selalunya kalau datang ke Kuala Lumpur kami sekeluarga akan menjamu selera di restoran, adakalanya di rumah saya. Alhamdulillah Farah cepat mesra orangnya.

HARAPAN & NASIHAT
Selepas berkahwin terpulang kepada mereka untuk tinggal berasingan atau bersama kami. Mereka berhak membuat keputusan yang boleh membahagiakan mereka. Lagipun Mihshon sudah ada sebuah kondo atas namanya sendiri di Ampang. Namun begitu, saya pun sebenarnya suka juga kalau mereka mahu tinggal bersama saya. Tidaklah saya sunyi dan berjauhan dengan mereka.

Sebagai ibu nasihat saya buat mereka agar sentiasa pandai menjaga diri. Maklumlah sekarang ini sedang ‘darah manis’. Jangan lakukan perkara-perkara yang tidak baik. Sentiasa menjaga pertuturan, adab, pergaulan dan batas. Paling penting selalu berdoa dan jangan tinggalkan solat.

KEKAL CANTIK & BAHAGIA
Saya amalkan rutin asas sahaja. Apa yang penting elakkan stres dan sentiasa menjaga kelembapan kulit wajah dengan menyapu pelembap setiap hari. Kulit yang kering akan mencepatkan proses penuaan. Selain itu, saya juga banyakkan beribadah termasuk beriadah, sentiasa merasa gembira dan bahagia.

Alhamdulillah, kini dah masuk 5 tahun usia perkahwinan saya bersama Dato’ Sri. Beliau seorang yang gemar bergurau, berjenaka dan happy all the time. Kalau Dato’ Sri bercakap saya perlu memandang wajahnya serta mendengar dengan baik. Mungkin itulah yang membuatkan suami selesa dengan saya. He said I am a good listener

. Dato’ Sri juga sebenarnya seorang yang manja.
Datin Sri Noniswara bersama suami tercinta, Dato’ Sri Dr Sheikh.

Nasihat buat kaum wanita di luar sana, jadilah seorang wanita dan ibu yang baik. Banyak bersabar, sentiasa bersyukur, banyak mengalah, tegas dan rajin melaksanakan tugas sebagai seorang isteri dan ibu.

Usah mengeluh dan cepat melatah jika ada dugaan-dugaan yang datang. Usah mudah mengamuk dan ‘cengeng’. Jangan lupa berdoa dan mohon kepada Allah SWT. Usaha dan doa mampu merubah kehidupan kita menjadi lebih baik.”

Kredit Foto: Instagram DS Noniswara Al Sheikh

BACA JUGA: Cantik Manis Persis Ibunya. Wajah Anak Dara DATIN SRI NONISWARA Ini Buat Ramai Tertawan!

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad