Wanita yang berjaya menawan hati Dato’ Jamal Abdillah ini mempunyai keperibadian yang lembut. Datin Zai Izzati Khairuddin, 25 tahun, telah berkahwin dengan Raja Pop ini pada 1 April 2017 lalu. Jarak usia 35 tahun tidak pernah menjadi penghalang kepada pasangan ini menjalinkan ikatan cinta.
Menurut Dato’ Jamal ketika di awal usia perkahwinannya rasa janggal menjelma kerana jarak usia yang jauh. “Alhamdulillah lama-kelamaan rasa janggal itu hilang dengan sendiri kerana daripada tiga kegagalan perkahwinan sebelum ini banyak mengajar saya untuk lebih bijak mengemudi rumah tangga kami.
Apa paling penting, kita saling menghormati tidak kira isteri kita itu masih muda atau sebaliknya,” kata Dato’ Jamal. Tambah Dato’ Jamal isterinya yang cantik itu seorang yang sangat memahami. Kehadiran Datin Izzati dalam hidup Dato’ Jamal ini telah memberikan ketenangan setelah sekian lama menduda.
Kematangan yang ada dalam diri Datin Zai Izzati juga antara faktor Dato’ Jamal terpikat. “Ada isteri ni kehidupan saya lebih tenang dan ada teman bicara untuk berkongsi cerita dan masalah.
Alhamdulillah, Izzati pandai menguruskan rumah tangga, menjaga keperluan saya dan paling penting dia seorang yang matang dan memahami kerjaya saya sebagai penyanyi. Dia anugerah Allah SWT buat saya,” ujar Dato’ Jamal.
Bagi pasangan yang berkahwin pasti mengharapkan kehadiran zuriat sebagai penyeri rumah tangga. Begitu juga kepada pasangan Dato’ Jamal Abdillah dan Datin Zai Izzati ini.
Namun, sebagai manusia biasa kita hanya mampu merancang tetapi Allah SWT yang menentukan. Menurut Dato’ Jamal sejak setahun berkahwin, isterinya telah tiga kali mengalami keguguran.
“Sehingga kini belum ada rezeki menimang cahaya mata lagi. Saya sudah membawa isteri berjuma doktor pakar untuk mendapatkan rawatan dan kuatkan rahim,” kata Dato’ Jamal.
Suri hati Dato Jamal Abdillah yang berasal dari Kulim, Kedah ini jarang muncul di majlis-majlis menemani suaminya.
Sumber: Berita Harian, MStar
This website uses cookies.