Berkesempatan untuk menghadirkan diri ke majlis resepsi pasangan merpati dua sejoli Ameer dan Mazreen ini sangat mengujakan. Masuk saja Makhota Ballroom Hotel Istana, Kuala Lumpur tersergam pelamin indah rekaan Reka Teemor. Tak sabar menanti kehadiran raja sehari.
Menurut kakak sulung kepada Mazreen iaitu Datin Nur Sharmila, kedua-dua mempelai sudah saling mengenali sejak daripada zaman sekolah lagi ketika berusia 14 tahun.
“Perjalanan cinta antara Ameer dan Mazreen membuktikan jika sudah jodoh tidak akan ke mana. Ameer berjaya mendapatkan nombor telefon Mazreen ketika majlis makan malam sekolah untuk berkenalan dengan lebih rapat lagi tapi malangnya dia di friend-zoned dan mereka kekal berkawan.
Kemudian, ketika masing-masing menyambung pelajaran di Sunway College, takdir menemukan mereka sekali lagi dan akhirnya mereka bercinta dan saling mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat lagi selama dua tahun. Namun, mereka berpisah sekali lagi apabila Ameer mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di London, sementara Mazreen meneruskan pengajian di University of Nottingham, UK”, jelas Datin Sharmila.
“Cinta antara mereka berdua kembali mekar setelah Ameer kembali ke Malaysia dan sentiasa ada di sisi Mazreen ketika susah dan senang terutamanya semasa pemergian ibu tercinta kami Datuk Wira Maznah Hamid. Pada 31 Januari, Ameer mengambil keputusan untuk melamar Mazreen di hadapan rakan-rakan dalam sebuah majlis,” tambahnya lagi.
Mohamed Ameer Shazrin dan Mazreen Shanim yang masing-masing berusia 26 tahun telah selamat dinikahkan pada 21 Julai yang lalu di kediaman pengantin perempuan yang terletak di Ukay Heights, Ampang.
Seterusnya majlis resepsi diadakan di Hotel Istana, Kuala Lumpur malam tadi dihadiri oleh keluarga, rakan terdekat, rakan artis dan pihak media. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsom juga turut berkenan mencemar duli menghadiri majlis perkahwinan yang eksklusif itu. Manakala, antara rakan artis yang hadir bagi menyaksikan majlis persandingan mereka ialah Syatilla Melvin, Anzalna Nasir, Laudya Cynthia Bella dan Izara Aishah.
Ameer merupakan anak lelaki kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Mazreen Shanim Datuk Seri Shaheen merupakan puteri bongsu ‘Iron Lady Malaysia’ Datuk Wira Dr. Maznah Abd Hamid.
Tahniah Nona ucapkan kepada Ameer dan Mazreen sekali lagi dan semoga ikatan perkahwinan yang dibina ini kekal sehingga ke akhir hayat. Make cute babies okay!
sumber foto: instagram #mazmeerize
“Biarlah Allah Sempurnakan Takdir Yang Tertulis Untuk Saya” Luahan Pesakit Positif COVID-19
Setiap tangisan akan berhujung dengan senyuman. Ketakutan akan berakhir dengan rasa aman dan kegelisahan akan ada kedamaian… semuanya pasti dengan izin Allah SWT.
Janganlah kita merasa terhimpit walau sejengkal pun kerana keadaan pasti akan berubah, baik atau sebaliknya, hanya Dia yang tentukan.
Kisah pilu yang diceritakan oleh Puan Ida, seorang pesakit positif COVID-19 dan kini masih dirawat di Hospital Sungai Buloh jelas menguji keimanan seorang manusia. Semoga wanita hebat ini kembali sembuh dan tidak serik berdoa untuk kesembuhan mereka.
Ini kisah saya menghadapi dugaan COVID-19. Penghujung jalan kisah ini, saya hanya serahkan kepada-Nya…
Saya Ida, berusia 36 tahun. Kini bertugas sebagai setiausaha di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya. Telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2006 dan kami dikurniakan lima cahaya mata, berusia lingkungan setahun hingga 13 tahun.
Suami saya Adi, juga berusia 36 tahun dan dia baru sahaja menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam, sebelum kini berniaga sepenuh masa. Kami sekarang menetap bersama ibu saya dan 2 orang anak saudara berumur 19 dan 14 tahun.
Suami mula terlibat dengan aktiviti dakwah dan tabligh sejak tahun 2010. Alhamdulillah sejak itu, kehidupan kami sedikit demi sedikit mula berubah. Dari segi cara hidup, ibadat, keyakinan diri mengikut kesesuaian kehendak agama dan sunnah Nabi Muhammad SAW…. InsyaAllah. Itulah sedikit sebanyak kisah latar belakang saya dan keluarga.
Musibah
Secara umum mengetahui salah satu kluster besar yang terlibat dengan isu ini adalah daripada perhimpunan tabliqh Ijtimak Jord Qudama dan Ulama Malaysia di Masjid Jamek Sri Petaling pada 28 Februari hingga 2 Mac 2020. Suami saya salah seorang yang telah hadir pada ijtimak tersebut.
Selang beberapa hari pulang, sekitar tanggal 7 Mac, suami saya mula menunjukkan simptom demam panas dan sakit-sakit sendi. Saya sangka hanya demam biasa, cukup diberi Panadol saja. Tapi selepas tu dia mula batuk, sakit tekak, hilang deria bau dan rasa, malah tiba-tiba hilang selera makan.
Memandangkan keadaannya terus berlarutan, pada 10 Mac saya telah membawa suami ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan. Doktor menjalankan prosedur biasa dan ambil darah suami. Berdasarkan keputusan darah, doktor memberitahu, “Nampak macam denggi,” dan suami diminta untuk lakukan ujian darah pada hari berikutnya.
Pada malam tersebut saya pula demam dan sakit-sakit badan. Saya ambil Panadol dan keesokannya, demam saya hilang. Saya pergi ke pejabat macam biasa tapi separuh hari sebab nak bawa suami untuk repeat blood test. Waktu itu, saya tiba-tiba mula batuk dan sakit tekak. Terasa sangat sakit yang teruk sehingga suara menjadi serak.
Saya bawa suami ke klinik kesihatan pada waktu petang dan masa doktor review keputusan blood test suami, dimaklumkan keputusan darah semakin baik dan mungkin hanya terkena demam virus.
Pada masa yang sama suami bertanya kepada doktor, adakah benar sesiapa yang terlibat dengan ijtimak di Sri Petaling perlu ke hospital untuk menjalani saringan COVID-19? Doktor jawab ‘Ya’ dan atas nasihatnya, kami ke Hospital Putrajaya untuk melakukan prosedur tersebut. Saya bawa bersama keputusan blood test suami.
Tiba di hospital, doktor bertanya serba sedikit pada suami dan melihat keputusan blood test yang kami bawa. Katanya, “Likely not COVID-19.” Doktor nasihatkan suami supaya memaklumkan pada kawan-kawan lain yang terlibat dengan ijtimak tersebut jangan panik dan sekiranya ada simptom pergilah ke klinik kesihatan terdekat untuk dapatkan rawatan.
Kami pun pulang dengan perasaan tenang. Kesihatan suami juga sudah semakin baik daripada sebelumnya. Malam tersebut saya pula kembali demam menggigil dan lebih teruk dari malam sebelumnya.
Esoknya saya maklumkan boss, saya mohon cuti kerana tak sihat. Pada 13 Mac, saya masih demam, batuk dan suara saya sudah tiada, hilang deria bau dan rasa. Saya terus ke klinik kesihatan untuk dapatkan rawatan tetapi diminta untuk terus ke hospital kerana suami saya terlibat dengan ijtimak.
Terus terang memang saya agak geram dan rasa nak marah pada waktu itu. Perasaan bercampur baur dengan badan tak sihat, rasa macam kena tolak-tolak. Allahuakbar, sampai suami saya kata, “Sabarlah, jangan marah. Kita taat je…” Astarghfirullah.
Sampai di hospital, doktor ambil sampel darah. Masa doktor review keputusan blood test tu, dia mintak saya dan suami buat ujian COVID-19 (swab test) sebagai langkah berjaga-jaga.
Selepas tu doktor beritahu, “Kuarantin untuk orang yang buat test ni adalah 3 hari sampai keluar keputusan.” Dalam tempoh 3 hari ni, pihak hospital akan hubungi untuk maklumkan keputusan sama ada positif atau negatif. Kalau tak terima panggilan, keputusannya adalah negatif…” Doktor juga beri saya cuti sakit selama 3 hari sesuai dengan waktu kuarantin.
3 hari berlalu tanpa ada panggilan daripada pihak hospital. Saya beranggapan keputusan kami negatif dan keadaan kesihatan kami bertambah baik, tidak nampak develops symptom.
16 Mac, saya pergi ke pejabat seperti biasa. Waktu tu saya masih ada sedikit batuk dan suara masih belum pulih sepenuhnya.
17 Mac, setibanya di pejabat saya terima WhatsApp daripada bos, “Kepada pegawai yang kurang sihat diberi cuti tanpa rekod sehingga Jumaat.” Saya terus balik ke rumah, tanpa berfikir ape pun ketika itu, selain rasa syukur…. alhamdulillah.
Tanggal 18 Mac 2020, jam menunjukkan lebih kurang 1.40 tengah hari, saya menerima panggilan daripada doktor di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya. Waktu itu hati rasa berdebar dan berharap, “Ya Allah, janganlah ada berita yang tak baik…”
Positif COVID-19
Namun apa yang semua orang elakkan rupa-rupanya Allah rezekikan pada saya dan suami. Astagfirullah…. Setelah 6 hari baru saya dimaklumkan keputusan saya dan suami positif. Air mata tak boleh ditahan lagi. Allahuakbar, saya maklumkan pada doktor, mintak bagi saya masa untuk bertenang dan saya nak solat.
Waktu tu, macam-macam perkara bermain di fikiran. Macam mana dengan orang lain yang saya dah jumpa. Saya ke pejabat, keluarga besar saya, ipar duai, anak-anak dan ibu bapa mertua saya yang datang bertandang ke rumah. Adik saya sekeluarga daripada Ipoh datang ke rumah juga.
Allahuakbar, itulah perkara yang paling dirisaukan masa tu. Takut sayalah jadi punca orang lain dapat virus ni. Malam tu jugak saya dan suami dihantar ke Hospital Sungai Buloh, anak-anak bersama Ibu saya di rumah.
Namun saya sangat bersyukur, alhamdulillah selama saya dan suami demam, anak-anak dan ibu saya tak terkesan. Mereka semua sihat walaupun anak bongsu saya masih menyusu badan. Sesuai dengan prosedur KKM semua yang ada direct contact dengan kami perlu buat swab test.
Alhamdulillah, Maha Baiknya Allah. Semua mereka negatif. Bos, rakan-rakan di pejabat dan keluarga saya semua Allah pelihara daripada virus ni. Syukur alhamdulillah, itu saja sudah membuatkan saya kembali tenang.
Suasana Hospital
Dalam fasa ujian ini, suami saya lebih tenang dan sentiasa cuba menenangkan semua pihak. Suami beritahu saya, “Apa yang terjadi, ini semua dengan kehendak Allah. Walaupun kita dah berusaha pergi klinik, hospital dan ikut semua nasihat doktor tapi ini kehendak Allah.
Kita hanya mampu berusaha tapi keputusannya tetap apa yang Allah kehendaki,” kata-kata dia buat saya sedar yang saya kena redha dengan ujian ini. Suami bagi tahu lagi, “Umi, yakinlah apa sahaja yang Allah takdirkan terjadi pasti akan terjadi dan apa sahaja yang Allah takdirkan tidak terjadi pasti tidak akan terjadi.”
Kepada anak-anak yang ditinggalkan, saya minta mereka jaga diri dan kesihatan. Walaupn saya dan suami tiada di rumah, rutin harian terutamanya amalan agama mesti dihidupkan seperti biasa. Sebelum arahan masjid dan surau ditutup, menjadi amalan suami dan anak-anak lelaki saya akan solat 5 waktu berjemaah di surau tetapi kerana perintah PKP tersebut, rumahlah yang menjadi surau kami.
Laungkan azan menjelang waktu solat dan solatlah secara berjemaah. Bacaan Al-Quran dan hadis (taklim) perlu berjalan seperti biasa. Saya pesan kepada anak sulung saya, memandangkan dia lelaki yang paling besar ada di rumah, dia perlu jaga keluarga dan ambil tanggungjawab ini sementara kami di hospital.
Alhamdulillah selama di hospital ini, saya dan suami sihat dan semakin baik. Selera makan pun dah bertambah. Setiap 2 hari akan buat swab test, sehinggalah test negatif, baru boleh discaj. Memandangkan tiada rawatan yang spesifik untuk virus ni, doktor hanya beri rawatan Vitamin C dan ubat kumur.
Barisan frontliners di sini, masyaAllah… Syabas dan tahniah untuk mereka semua. Sentiasa sabar, tenang dan profesional walaupun wabak ini masih baru dan arahan kepada mereka juga sentiasa bertukar mengikut keadaan. Tapi mereka sentiasa positif dan bersemangat menggalas tanggungjawab. Kepada mereka, semoga bakti yang dicurahkan akan Allah terima sebagai amalan soleh dan dibalas dengan sebaik-baik balasan… Aamin.
Saya harus terus positif dan bersemangat berjuang dalam keadan ini. Cuma pada waktu mula-mula dapat tahu saya positif COVID-19, memang rasa sangat down. Keadaan sekeliling buat saya tertekan. Saya terfikir anak-anak yang nak ditinggalkan, stigma masyarakat khasnya di tempat kerja.
Saya rasa seperti penjenayah yang sengaja mendedahkan orang lain dalam situasi yang bahaya, padahal saya tak tahu pun yang saya positif. Keputusan pun hanya diketahui selepas 6 hari ujian dilakukan.
Suami ambil inisiatif untuk buat voice note, cerita serba sedikit tentang kronologi kes kami dan apabila mereka dah dengar, Allah mudahkan mereka faham akan situasi sebenarnya. Selepas tu, alhamdulillah mereka semua mula mendoakan dan memberi kata-kata semangat untuk saya terus kuat dalam menghadapi ujian ini.
Alhamdulillah setakat hari ini, Allah hadiahkan ketenangan dan ringankan beban perasaan saya. Allah angkat keluh-kesah saya dan ganti dengan ketenangan jiwa. Cantik sekali aturan-Nya. Selama saya dan suami di sini, sentiasa ada rakan-rakan yang membantu menghantarkan pelbagai makanan untuk ibu dan anak-anak di rumah. Hampir setiap hari pasti ada sahaja makanan di luar rumah. Hebat Allah, benarlah janji-janji Allah.
Apa pun keadaan kita sekarang, bersyukurlah. Baik atau tidak, Allah tak pernah zalim pada hamba-Nya. Sentiasa bersangka baik dengan Allah. Itulah paling utama. Betulkan amalan kita kerana bersama-sama amalan agama itu ada janji-janji Allah. Kita ikut semua nasihat doktor dengan baik dan yakinlah yang menyembuhkan itu hanya Allah. Kepada masyarakat di luar sana yang Allah selamatkan daripad ujian ini, bersyukurlah. Doakan kebaikan kepada semua.
Saya sentiasa pujuk hati untuk redha, inilah yang terbaik untuk saya di sisi Allah. Saya selalu cakap pada diri sendiri “Biarlah Allah sempurnakan takdir yang Dia dah tulis untuk saya…” Alhamdulillah satu persatu kebaikan Allah zahirkan bila mana yakin kita itu betul.
Semoga Allah selamatkan saya, keluarga, seluruh rakyat Malaysia dan umat seluruh alam daripada azab-Nya. Semoga dengan ujian ini kita semua lebih dekat dengan Allah, lebih yakin dengan janji-janji-Nya. Semoga Allah bebaskan saya daripada virus ini dan saya dapat pulang kepangkuan keluarga secepat mungkin… Aamin.
Menakutkan, Rakyat Malaysia Mati 18 Tahun Lebih Awal Akibat DIABETES & Penghidap PALING RAMAI Di Asia!
14 November setiap tahun merupakan tarikh umum bagi Hari Diabetes Sedunia. Bertemakan ‘Wanita dan Diabetes’ bagi tahun 2017, pendedahan yang dibuat menerusi kajian ‘Kesedaran Diabetes Asia’ oleh Sun Life Financial mendapati penyakit ini menyebabkan jumlah jangka hayat warga Malaysia berkurangan 18 tahun.
Merujuk laporan Astro Awani, selain Malaysia, pengurangan jangka hayat warga Filipina mencatatkan angka paling tinggi berbanding negara Asia lain iaitu sebanyak 33 tahun. Ini diikuti Malaysia, 18 tahun, Hong Kong dan Indonesia selama 16 tahun dan Vietnam 11 tahun. Kajian turut menunjukkan Malaysia mendahului jumlah pesakit kencing manis teramai di Asia diikuti Hong Kong dan Filipina.
Ia sekali gus meletakkan kes penyakit diabetes di Malaysia pada kadar 17.9 peratus, Hong Kong 9.6 peratus dan Filipina 6.9 peratus. Malah, kajian turut mendedahkan 42 peratus wanita di lima negara Asia tidak mengetahui bahawa wanita mengandung mempunyai lebih risiko kencing manis.
Secara purata, penghidap kencing manis membelanjakan RM7, 508 untuk merawat penyakit berkenaan.
Mengintai kes diabetes di Timaru, New Zealand, seorang ibu yang dikenali sebagai Julie Potatau terkejut apabila mendapati anak lelakinya iaitu Quinn Potatau yang berusia 8 tahun telah didiagnosis diabetes jenis pertama. Belum reda dengan berita tersebut, beberapa bulan kemudian, anak perempuannya, Jade Potatau yang berumur 6 tahun pula disahkan menghidap penyakit sama.
Julie yang bertugas sebagai pentadbir di Hospital Timaru berkata, penyakit tersebut mula menyerang anak lelakinya sebelum perayaan Hari Krismas tahun lalu selepas dia mengalami simptom yang teruk.
“Selama hampir 6 minggu, Quinn dilihat sering minum berlebihan dan kerap membuang air kencing sehinggalah pada suatu hari dia mengadu sakit perut dan mengalami penurunan berat badan. Ketika dibawa ke klinik, doktor telah melakukan pemeriksaan darah dari hujung jarinya dan didapati ada simptom diabetes. Memang saya sangat terkejut dan tak sangka kanak-kanak berisiko menghidap penyakit ini meskipun masih kecil.”
Enam bulan selepas Quinn disahkan diabetes, adik perempuannya pula mengalami simptom kencing dengan kerap selama dua malam berturut-turut. Bimbang dengan keadaan Jade, Julie segera membawanya ke South Canterbury District Health Board (SCDHB) dan disahkan pesakit kencing manis. Pun begitu, jelas Julie kedua-dua anaknya cukup berani dan kental mengharungi penyakit tersebut.
Sambil menyifatkan diabetes telah mengubah kehidupan mereka 360 darjah, Julie mengakui harus merancang banyak perkara dan selalu memantau kesihatan mereka. Malah, regim rawatan untuk anak-anaknya juga sangat ketat. Senaman, jenis makanan dan pengambilan insulin, segala-galanya perlu seimbang.
“Jade mesti ambil dua suntikan insulin setiap hari dan terpaksa membuat pemeriksaan darah di hujung jari sebanyak enam hingga lapan kali untuk mengenal pasti berapa banyak insulin yang harus diberikan keapdanya. Sementara Quinn pula dikenakan dos suntikan insulin yang lebih banyak pada waktu pagi dan perlu ‘berpuasa’ untuk seketika sebelum makan. Seperti Jade, Quinn juga terpaksa membuat pemeriksaan darah enam ke lapan kali sehari.”
Meskipun selama ini Julie sama sekali tidak mengetahui tentang diabetes, dia kini menggalakkan ibu bapa agar mengambil tahu mengenai penyakit ini. Katanya, apa yang penting adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang simptom penyakit kencing manis. Gejala utama yang akan dialami pesakit diabetes adalah rasa dahaga yang berlebihan, kerap membuang air kencing, penglihatan kabur, penurunan berat badan, sakit perut dan muntah.
Penyakit diabetes sebenarnya tebahagi kepada dua jenis iaitu
- Diabetes bersandarkan insulin (jenis pertama)
Terbentuk apabila sistem imunisasi badan memusnahkan sel kelenjar pankreas iaitu satu-satunya jenis sel yang menghasilkan hormon insulin yang digunakan untuk penghadaman glukosa kepada tenaga.
- Diabetes bebas insulin (jenis kedua)
Biasanya ia bermula dengan ketahanan insulin yang kemudian membuatkan sistem badan tidak menggunakan insulin dengan berkesan. Apabila insulin meningkat, kelenjar pankreas tidak mampu lagi mengeluarkan insulin pada kadar mencukupi. Kebanyakan kes diabetes jenis kedua ini berlaku seiring faktor usia lanjut, obesiti, keturunan, dan kurang bersenam.
Sumber: Astro Awani & www.stuff.co.nz
“Another Blessed Raya With Husbandku,” Tahun Ke-9 Glamor Raya MARION CAUNTER & Suami!
Tahun ini masuk tahun kesembilan jelitawan Marion Rose Caunter Abdullah menyambut Aidilfitri sebagai seorang Muslim dan isteri kepada SM Nasarudin SM Nasimuddin. Mendirikan rumah tangga dengan jejaka kacak yang juga pewaris Naza Group pada 16 Disember 2010, Marion yang dahulunya merupakan pengacara, DJ dan model kini berstatus ibu kepada tiga orang anak.
Meskipun sudah beranak tiga namun pesona dan kecantikan Marion tetap memukau. Pendek kata, penampilan dan susuk tubuh wanita berusia 39 tahun ini kekal menawan. Memiliki pinggang bak kerengga dan bertubuh tinggi lampai… apa juga persalinan yang tersarung di badannya nampak terletak dan sempurna.
Lebih-lebih lagi saat mengenakan busana tradisi seperti baju kurung dan kebaya. Terserlah keanggunan anak jati Pulau Pinang ini.
Mengintai potret indah pada 1 Syawal lalu… penampilan Marion sekali lagi menjadi perhatian. Bukan hanya di kalangan netizen bahkan rakan-rakan artis turut mengagumi kecantikan Marion yang terkenal dengan cita rasa fesyen mewah dan eksklusif.
Awal Syawal lalu… Marion sekeluarga memilih rona pastel coral dan rekaan busana yang digayakannya adalah dari label fesyen ternama, Fizi Woo. Seperti biasa, Marion berjaya menyerlahkan sisi anggun dalam persalinan yang dipakai.
Memasuki 2 Syawal pula, Marion tetap memilih tema sedondon bersama suami dan tiga anaknya. Kali ini, jenama Khoon Hooi menjadi pilihan untuk rekaan kebaya labuh maroon.
Dengan bentuk tubuh ramping persis peragawati… penampilan Marion tampak sempurna dari hujung rambut ke hujung kaki. Biarpun tanpa memakai aksesori rantai leher dan gelang tangan. Simple, yet elegant!
Sepanjang Ramadan lalu pula Marion turut aktif menghadiri majlis berbuka puasa dan aktiviti amal bersama anak-anak yatim di samping keluarga dan suami tercinta. Difahamkan ia salah satu daripada acara tahunan yang diadakan keluarga mentua melalui Yayasan Tan Sri Nasimuddin.
Selain majlis berbuka puasa, Marion turut terlibat turun padang membantu mengedarkan pek makanan dan duit raya kepada 87 keluarga asnaf di Masjid Hidayatul Muttaqin.
Tidak sekadar menceriakan anak-anak Yatim dan keluarga asnaf, Yayasan Tan Sri Nasimuddin juga berpeluang meluangkan masa bersama penghuni warga emas di Pusat Jagaan Al-Fikrah, Kajang. Di samping mengagihkan keperluan untuk penghuni di sana… Marion bersama beberapa sukarelawan lain mesra melayan kerenah dan mengadakan pelbagai aktiviti ringkas bagi menghiburkan mereka.
Mendekati setiap lapisan masyarakat dan mereka yang kurang bernasib baik, ibu penyayang ini dan suami turut berbesar hati melawat pesakit kanser di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur.
Menariknya, setiap acara dan majlis yang dihadirinya… Marion selesa mengenakan baju-baju tradisional antaranya dari Innai Group, Khoon Hooi, Alia Bastamam dan beberapa ilham fesyen pereka tempatan lain.
Sudahlah cantik, berjiwa penyayang pula tu. Untung SM Nasarudin!
Kredit: Instagram Marion Caunter