Bertemu Datin Mas Anizan di majlis resepsi anak sulungnya baru-baru ini membuatkan ramai tetamu kagum dengan kecantikan yang dimiliki. Mana tidaknya, tahun ini Datin Mas Anizan bakal meniti usia 50 tahun. Walau cecah usia separuh abad, personaliti ini masih jelita dan langsing!
Memiliki raut wajah lembut, mesra dan berbudi bahasa membuatkan Datin Mas Anizan disenangi rakan-rakan artis. Bahkan, pelakon era 90an ini masih diterima baik masyarakat dan menerima tawaran berlakon hingga ke hari ini. Apatah lagi anak-anak Datin Mas pun sudah besar.
Masih ingat lagi pesona pemilik nama Mas Anizan Mohd Shahid ini ketika sesi fotografi penghias muka depan Nona suatu ketika dulu. Ternyata dia seorang wanita yang mudah didekati, ramah dan cukup menjaga tutur kata.
Sering berkongsi aktiviti dan perkembangan diri di media sosial, salah satu hantaran Datin Mas Anizan di Instagram sewaktu hari lahir ibunda tersayang menarik perhatian ramai.
Melihat wajah ibunya, jelas membuktikan aktres ini mewarisi kecantikan dan kejelitaan ibunda tersayang. Terserlah ibu dan anak ini berkongsi bentuk wajah, hidung mancung dan sepasang mata yang cantik!
Berkongsi amalan kecantikan kepada Nona, Datin Mas Anizan dalam nada rendah diri berkata, “Alhamdulillah, syukur di atas kurniaan dan pinjaman yang telah diberikan. Semua wanita di luar sana pasti turut sama sukakan kepada kecantikan. Begitu juga saya. Tetapi tidaklah terlalu cerewet.
Untuk menjaga kecantikan wajah, saya hanya mengamalkan pemakaian produk kulit yang asas seperti cleanser, toner, serum, moisturizer
dan eye cream. Selain itu, tidur yang cukup juga adalah amat penting.Kecantikan tidak hanya tertumpu kepada penjagaan wajah sebaiknya penjagaan badan juga harus dijadikan keutamaan. Selepas melahirkan Ariana, saya sudah jarang mengunjungi spa kecantikan. Sebaliknya lebih selesa untuk memanjakan diri ala spa di rumah.”
Dirisik apakah petua tradisi yang diamalkan sehingga ke hari ini, ini jawapan jujur Datin Mas Anizan. “Dari segi amalan tradisional, saya mengamalkan minuman jus pegaga yang dibuat sendiri di rumah.
Hanya cuci bersih daun tersebut dan kisarkan menjadi minuman. Tidak perlu tambah gula. Inilah minuman yang saya amalkan dari dahulu lagi selain turut mengambil multi vitamin sebagai suplemen tambahan.”
Datin Mas Anizan sebelum ini pernah berkahwin dengan ahli perniagaan Allahyarham Datuk Ali Bapoo pada tahun 1993 dan dikurniakan dua anak iaitu Mas Aliza dan Muhamad Masli Daniel.
Menerusi perkahwinan kedua, Datin Mas mempunyai seorang anak perempuan iaitu Ariana Marissa yang kini berusia lapan tahun.
This website uses cookies.