Cantiknya, Penampilan TENGKU PERMAISURI SELANGOR Berhijab Curi Tumpuan!

Penampilan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin sentiasa menjadi tumpuan. Tidak hanya dalam kalangan rakyat Selangor, bahkan pesona baginda turut dikagumi masyarakat berbilang kaum di seluruh negara. Raut wajah cantik dan lembut serta senyuman yang tidak lekang di bibir membuatkan ramai yang terpegun dengan keanggunan Tengku Permaisuri Norashikin.

Sempena sambutan Maulidur Rasul pada 9 November lalu, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1441 Hijrah / 2019 peringkat Negeri Selangor di Stadium Malawati, Shah Alam.

Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan anakanda, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Terdahulu, DYTM Tengku Amir Shah memimpin perarakan sejauh dua kilometer bermula dari pintu gerbang Stadium Shah Alam. Segak menyarung baju melayu rona merah hati yang lengkap bersamping merah dan kuning…. Tengku Amir Shah tenang memimpin perarakan yang membabitkan hampir 4, 000 peserta daripada 77 kontinjen.

Majlis sambutan kemudian diisi dengan persembahan nasyid dan tazkirah khas Maulidur Rasul oleh Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid. Pada majlis ini, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin dilihat tampil sedondon dalam persalinan indah rona lembut merah jambu.

Sultan Selangor kelihatan segak mengenakan baju melayu merah jambu bersama samping songket kuning cair. Sementara Tengku Permaisuri Selangor pula anggun berbusana tradisi kurung merah jambu dan putih serta lengkap berhijab polos putih gading. Tampil dengan gaya sederhana, Tengku Permaisuri Norashikin turut dilihat menjinjit beg tangan berwarna putih selain memilih rantai mutiara putih sebagai pelengkap gaya. Ringkas namun tetap memukau!

Dalam majlis ini Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor turut meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan para hadirin. Sebelum mengakhiri majlis, DYTM Tengku Amir Shah turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang papan sepanduk dan kontinjen perarakan terbaik.

 

Kredit: Facebook Selangor Royal Official

Share
Published by
Suzi