Selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada sekatan rentas negeri, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) turut memberi kelonggaran untuk melancong dalam negeri. Tetapi dengan mengamalkan norma baharu serta mengikut SOP yang ditetapkan.
Jadi, bagi anda yang ada perancangan untuk melancong dalam negeri tu bolehlah membawa keluarga ke Pulau Bohey Dulang ni. Pemandangannya, subhanallah..cantik sangat! Airnya yang membiru dan tenang tak ubah seperti di Maldives. Terbukti, Malaysia pun kaya dengan keindahan alam ciptaan Tuhan yang boleh kita nikmati bersama.
Walaupun momen ini tiga tahun telah berlalu namun keindahan panorama pulau ini pastinya paling melekat di benak fikiran. Ia salah satu anugerah Allah SWT yang terindah khususnya buat pencinta-pencinta pulau.
Pada penghujung tahun 2017 saya dan suami telah merancang satu percutian istimewa buat anak kami, Muhammad Farihin Zulqarnain bersempena dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-8 yang jatuh pada 27 Disember 2017. Kami ingin lakukan kejutan buatnya.
Perjalanan dari Bandar Tawau ke pekan Semporna mengambil masa selama 1 jam 30 minit dengan menaiki kenderaan. Kami menginap di Dragon Inn Floating berdekatan jeti umum Semporna. Lokasi penginapan ini juga meriah dengan deretan chalet atas air (Dragon Inn Floating) serta kedai makanan laut (waterfront) khususnya pada waktu malam.
Perjalanan ke Pulau Bohey Dulang mengambil masa antara 30-40 minit dengan menaiki bot. Alhamdulillah! Perjalanan kami lancar yang hanya mengambil masa 30 minit. Dari jauh jelas kelihatan puncak bukit Pulau Bohey Dulang.
Kami sedikit risau memandangkan anak ada bersama. Dengan bebanan beg yang dipikul memerlukan stamina ekstra. Namun kami bertuah mempunyai seorang pemandu pelancong berpengalaman yang tidak jemu membantu pendakian kami.
Sebaik tiba di jeti kami tidak sempat untuk mandi dan snorkling di pulau ini kerana kami akan terus ke Pulau Mantabuan. Di sana barulah boleh mandi dan snorkling sebelum ke Pulau Sibuan. Kami turut bertemu dengan masyarakat Bajau Laut Semporna di sini. Tepat pukul 6 petang kami selamat tiba di jeti umum Semporna.
Pukul 11 pagi kami bergerak pulang dari pekan Semporna ke Bandar Tawau. Walaupun Pulau Bohey Dulang merupakan lokasi pendakian pertama kami (tanpa pengalaman) namun kami tidak akan serik untuk ke sini semula. Pengalaman itu paling bermakna. Kami pasti akan kembali suatu hari nanti dengan persiapan yang lebih rapi.”
Kredit Foto: Koleksi peribadi Asdiana Muhd Ali
Kekalkan kecergasan dengan klik di sini
This website uses cookies.