Musim perayaan Aidiladha ini, tentu sekali stok daging korban yang diagih-agihkan akan melimpah ruah. Nak dimasak sekaligus tentu tak akan habis. Jadi simpan siap-siap cara penyimpanan ni bagi mengelakkan pembaziran.
(a) Jangan Basuh
Sebelum disimpan, daging tidak perlu dibasuh kerana jika dibasuh guna air paip, kuman boleh masuk dan tinggal dalam pori-pori daging. Basuh daging bila kita mahu masak daging tersebut.
(b) Simpan Dalam Ukuran Kecil
Jika dapat daging yang banyak, jangan simpan 2 – 4 kg daging ketul besar sekaligus. Cara yang betul, potong daging berukuran lebih kecil dan simpan di dalam plastik lebih kurang 1/2 kg atau 1 kg seplastik.
Jika mahu masak, ambil satu plastik atau jumlah kilogram yang hendak dimasak saja. Dengan cara ini, daging dalam peti sejuk beku boleh tahan lebih satu tahun.
(c) Jangan Terus Dibekukan
Sebelum simpan di freezer, simpan daging dalam peti sejuk selama 4-5 jam. Setelah sejuk baru masuk ke dalam freezer.
(d) Cara Menyahbeku
Jika mahu masak daging beku, jangan cairkan ais pada daging beku menggunakan air panas. Cara yang betul adalah meletakkan daging beku di dalam air biasa (dalam keadaan daging masih terbungkus rapat dalam plastik).
Setelah daging sudah dinyahbeku, buka plastik, basuh daging hingga bersih dan potong lalu siap dimasak.
(e) Tip Tambahan
Jangan guna plastik hitam kerana ia adalah hasil kitar semula iaitu mengandungi cadmium yang merangsang kepada sel kanser. Pakailah plastik putih atau plastik jernih untuk membungkus daging. Norzalina Mohd Alias
Resipi Enak Sirloin Steak & Sup Cendawan Mudah Untuk Dicuba. Gerenti Makan Sampai MENJILAT JARI
Hari minggu ini agak buntu hendak sediakan makanan untuk keluarga. Kesempatan ada masa terluang waktu cuti hari ini, apa kata anda cuba menu Pan Grill Sirloin Steak Raspberry Sauce dan Creamy Chicken Soup ilham Kamilah’s Cafe. Selamat mencuba!
PAN GRILL SIRLOIN STEAK RASPBERRY SAUCE
Bahan-bahan utama:
- 200 gram daging sirloin
- 2 sudu besar minyak zaitun
- 1 sudu besar mentega
- 2 ulas bawang putih (diketuk)
- 1 tangkai rosemary segar
Bahan-bahan untuk perapan:
- 1 sudu besar minyak masak
- 1 sudu teh serbuk paprika
- 1 sudu teh lada hitam kasar
- 1 sudu teh sos lea perrins
- Garam secukup rasa
Bahan-bahan untuk sos Raspberry:
- 2 sudu besar minyak zaitun
- 2 ulas bawang putih (dicencang halus)
- 1 ulas bawang merah kecil (dicencang halus)
- 1 sudu teh serbuk lada hitam
- 3 sudu besar jem Raspberry
- 1 sudu teh sos lea perrins
- Garam secukup rasa
Cara Membuat:
Perap daging dengan semua bahan perapan selama 30 minit. Selepas itu, panaskan kuali bersama minyak zaitun. Masukkan bawang putih yang telah diketuk dan rosemary segar sehingga naik bau.
Masukkan pula daging yang telah diperap. Masak mengikut cita rasa masing-masing. Akhir sekali, masukkan mentega dan biarkan ia meresap sebati ke dalam daging.
Untuk membuat sos, panaskan kuali dan tumiskan bawang putih dan bawang merah hingga naik bau. Seterusnya, masukkan serbuk lada hitam, jem raspberry dan didihkan seketika.
Perasakan sos dengan stok daging, sos lea perrins dan garam secukup rasa. Setelah masak, hidangkan daging di atas pinggan bersama salad, kentang putar dan sos raspberry.
CREAMY CHICKEN SOUP
Bahan-bahan:
- 500 ml air rebusan ayam
- 200 gram dada ayam (direbus & dicarik isinya)
- 2 ulas bawang merah besar (dicencang)
- 3 biji cendawan (dihiris)
- 1 batang saderi (dicencang)
- 30 gram mentega
- 110 gram tepung
- 150 ml krim masakan
- 1 sudu teh serbuk lada hitam
- Garam secukup rasa
- ½ pati kiub ayam
- 3 helai daun bawang (dihiris halus)
- 4 sudu besar krim keju
Cara membuat:
Panaskan mentega di dalam periuk dengan api sederhana. Tumis bawang merah dan saderi hingga layu dan naik bau.Kemudian, masukkan cendawan.
Kecilkan api dan masukkan tepung. Kacau sebati. Seterusnya, masukkan sedikit demi sedikit air rebusan ayam dan kacau sekata serta pastikan tiada ketulan tepung.
Masukkan krim masakan dan krim keju. Masak dengan api sederhana hingga sup mendidih. Perasakan sup dengan garam secukup rasa bersama lada hitam. Akhir sekali, masukkan ayam yang telah dicarik bersama taburan daun bawang. Kacau sebati dan siap untuk dinikmati. Suziana Abu Daud
Resipi: TERIMA KASIH ROZITA YUSOF, KAMILAH’S BOOK & LIFESTYLE CAFE, 15 – G JALAN PUTRA MAHKOTA 7/7B, PUTRA HEIGHTS
Nikmati Puding Karamel Air Tangan Sendiri Kala PKP, Simple & Sedap Guna Blender Saja
Memasak boleh membantu mengurangkan stres, siapa setuju? Masak untuk keluarga tercinta di samping boleh mengisi masa yang terluang ketika PKP ni dan sedikit sebanyak boleh mengasah skil memasak. Suami pun makin sayang bila tengok isteri menyediakan hidangan luar dari kebiasaan.
Manisan sememangnya boleh menceriakan seseorang, puding karamel salah satunya. Puding karamel ini memang menjadi kegemaran semua orang. Menikmati puding karamel yang sejuk baru keluar dari peti sejuk memang boleh membahagiakan. Bukan susah buat puding karamel ini hanya guna 4 bahan saja dan kisar atau pukul guna blender saja.
Bahan-bahan;
2 senduk gula (untuk karamel/gula hangus)
1 cawan susu cair
1 cawan susu pekat
3 biji telur ayam
1 sudu teh esen vanila
Cara membuat;
Masuk gula dalam loyang untuk buat karamel.
Masuk telur, susu cair dan susu pekat dalam blender, kisar.
Kemudian masukkan esen vanila. Kisar seketika.
Tuang dalam acuan tadi.
Kukus selama 20-30 minit. Biarkan sejuk dan masuk dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 4 jam.
Sedia untuk dihidang.
*Tip: Kalau mahu puding yang tebal boleh ganda dua bahan susu cair, susu pekat dan telur.
3 VIP KONGSI RESIPI SELERA DESA. PASTI MEMIKAT CITA RASA SEMUA!
Hidangan lauk dan kuih pemanis Melayu sememangnya tidak pernah ketinggalan zaman. Mungkin ada yang menyatakan VIP tak masak, sesekali sahaja masuk ke dapur. Tetapi tidak buat tiga VIP ini yang sentiasa masuk dapur menyediakan pelbagai hidangan buat keluarga . Datin Sri Nur Shahida, Datin Illyka dan Datin Nor Hafizza Husni berkongsi resipi pelbagai resipi yang pastinya memikat selera untuk penggemar hidangan kampung.
DATIN SRI NUR SHAHIDA
Apa perkara paling mencabar buat Datin Sri setiap kali memasak?
Perkara paling mencabar setiap kali memasak ialah memikirkan apa yang hendak dimasak. Ini kerana setiap anak masing-masing mempunyai cita rasa yang berlainan. Oleh itu, saya perlu memasak satu menu yang semua anak suka makan.
Apa petua-petua memasak yang sering diamalkan oleh Datin Sri setiap kali memasak?
Tiada sebarang petua hebat yang saya amalkan. Apa yang penting ketika memasak ialah niat kita perlulah ikhlas serta memasak dengan penuh kasih sayang. Setiap kali memasak saya amalkan membaca Bismillah. Saya amalkan ini setiap kali mula memegang kuali.
Bagaimana Datin Sri mendapat ilham setiap kali hendak memasak?
Saya suka melihat program-program masakan serta menu-menu menarik di laman sosial. Saya ambil idea dan akan ubah mngikut cita rasa saya dan juga keluarga.
JENAHAK MASAK CUKA
Bahan-bahan:
1 ekor ikan jenahak saiz sederhana (dipotong-boleh juga diganti dengan ikan lain)
1/2 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
1 labu bawang besar (dipotong baji)
2 ulas bawang putih (dihiris)
1/2 inci halia (dihiris)
2 biji cili merah (dihiris serong)
5 -7 biji cili padi
1/2 sudu kecil biji sawi
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
400 ml air
3 sudu besar cuka
1/2 batang lobak merah (dipotong)
1/2 batang timun (dipotong & dibuang empulur)
Garam dan gula secukupnya
Cara Membuat:
Goreng ikan yang dilumur garam dan serbuk kunyit sehingga masak, ketepikan. Buang minyak dan tinggalkan sedikit dalam 3 sudu besar. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi. Masukkan cili merah, cili padi, biji sawi dan serbuk kunyit. Goreng seketika, masukkan air dan cuka. Biarkan mendidih. Perasakan dengan garam dan gula. Reneh seketika agar rasa masam kuah meresap pada isi ikan kemudian masukkan timun. Masak seketika kemudian hidangkan bersama nasi.
SUP KETAM
Bahan-bahan Sup:
3 ekor ketam (dipotong 4)
1 biji ubi kentang (dipotong dadu)
Garam secukupnya
Minyak jagung
Bahan-bahan Tumbuk:
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
Sedikit halia
15 biji lada putih
Bahan-bahan Tabur:
Daun sup
Bawang goreng
Cara Membuat:
Semua bahan tumbuk ditumbuk kasar. Panaskan minyak jagung, tumis bahan tumbuk sehingga garing. Masukkan air dan ubi kentang. Setelah ubi empuk masukkan ketam. Reneh dengan api perlahan supaya isi ketam mesra dengan kuah. Perasakan dengan garam. Sebelum dihidangkan taburkan daun sup dan bawang goreng.
KENGSOM IKAN SIAKAP
Bahan-bahan:
1 ekor ikan siakap (boleh ganti dengan ikan lain)
2 biji cili merah (dibuang biji & dikisar)
15 biji cili padi (dikisar)
1 inci kunyit hidup (dikisar)
1 biji bawang besar (dikisar)
2 biji bawang merah (dikisar)
2 ulas bawang putih (dikisar)
1 batang serai (dikisar)
1 inci belacan (dikisar)
Air asam jawa secukup rasa
1 biji limau nipis (ambil jusnya)
Nanas masak secukupnya
Kangkung secukupnya
Cara Membuat:
Masukkan bahan-bahan kisar ke dalam periuk. Masukkan juga hirisan nanas dan masak sehingga mendidih. Kemudian tambahkan air asam jawa. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Seterusnya masukkan ikan, biarkan sehingga masak. Akhir sekali, masukkan kangkung dan jus perahan limau nipis. Sedia untuk dihidangkan.
DATIN NOR HAFFIZA HUSNI
Siapakah idola Datin dalam dunia masakan?
Sudah tentu ibu saya. Saya belajar memasak darinya. Ibu membuat perniagaan katering secara kecil-kecilan di kampung halaman saya di Kedah. Jadi, dia sememangnya pakar dalam bidang memasak ini. Sebagai anak, saya mengambil peluang mempelajari pelbagai resipi turun temurun darinya. Jika ibu berkunjung ke kediaman kami di Kuala Lumpur, dia akan memasak pelbagai makanan kegemaran saya dan keluarga. Di samping itu, ibu juga rajin menyediakan hidangan minum petang sejuk beku. Jadi, kami sentiasa tidak putus belakan kuih muih. Malah anak sulung juga pandai menikmati kuih muih tradisional seperti lepat psisang dan sebagainya sehingga guru-guru di tadika pelik dan bertanya dari mana dia belajar menikmati hidangan seperti itu. Saya bangga anak-anak tidak cerewet makan dan gemar menikmati hidangan yang pelbagai dan pastinya nasi.
IKAN KELI GORENG BERLADA
BAHAN-BAHAN
5 ekor ikan keli|dibersihkan
Garam secukup rasa
Sedikit serbuk kunyit
1 cawan cili keringdirebus
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci belacan
Sedikit air asam jawa
3 biji cili merah
CARA MEMBUAT:
Bersihkan ikan keli dan kemudian gaulkan bersama kunyit dan garam. Panaskan minyak dan goreng sehingga garing. Sementara itu, kisar cili kering yang telah direbus bersama bawang besar, bawang putih dan belacan. Gunakan minyak yang sama dan tumiskan bahan-bahan yang telah dikisar. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa dan masukkan pula ikan dan gaulkan sehingga sebati sebelum dihidangkan.
SAMBAL UDANG
BAHAN-BAHAN:
1/2 kg udang bersaid besar
1 cawan cili kering|direbus
2 labu bawang besar
1/2 inci belacan
Sedikit air asam jawa
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Minyak untuk menumis
CARA MEMBUAT:
Bersihkan udang dan asingkan seketika. Sementara itu, rebus cili kering dan toskan airnya. Kemudian kisar cili yang telah direbus bersama bawang besar dan belacan. Panaskan minyak dan goreng udang seketika. Asingkan. Tumiskan pula bahan-bahan yang dikisar sehingga cili masak. Tambahkan garam, gula dan air asam jawa sedikit demi sedikit. Biarkan ia mendidih seketika sebelum memasukkan udang. Siap untuk dihidangkan.
TELUR ITIK MASAK LEMAK BERSAMA BELIMBING BULUH
BAHAN-BAHAN:
4 biji telur itik
1 kotak santan
1/2 inci kunyit
Sedikit daun kunyit
2 batang serai
5 biji belimbing buluh
Garam secukup rasa
Sedikit cili padi
CARA MEMBUAT:
Kisar kunyit hidup bersama cili padi sehingga lumat.Sementara itu, panaskan periuk dan masukkan bahan-bahan yang telah dikisar terlebih dahulu. Apabila bahan tumisan telah naik baunya, masukkan santan cair. Biarkan seketika. Tambahkan garam dan sedikit gula mengikut citarasa. Pecahkan telur itik sebiji demi sebiji ke dalam kuah. Tambahkan santan dan sentiasa kacau untuk mengelakkan ia pecah minyak. Akhir sekali, masukkan belimbing buluh dan sedia untuk dihidangkan.
DATIN ILLYKA
Petua memasak asam pedas yang anda amalkan?
Tiada sebarang petua kecuali resipi yang saya gunakan untuk memasak asam pedas merupakan resipi turun temurun yang dimasak oleh ibu saya. Selain itu, untuk menyediakan asam pedas Johor, pastikan cili yang digunakan ditumis dalam tempoh yang lama untuk memastikan ia boleh tahan lebih lama. Dari segi penggunaan bahan pula, asam pedas Johor menggunakan air asam yang pekat dan mempunyai tekstur kuah yang lebih pekat berbanding asam pedas Melaka.
Masakan Ibu yang paling digemari? Tidak kekok masak di dapur?
Sudah tentu asam pedas ibu saya!Sejak kecil saya telah didedahkan dengan dunia masakan oleh ibu dan masuk ke dapur dan membantunya memasak. Jadi, tidak timbul rasa kekok untuk memasak dan saya juga sebenarnya gemar mengajak rakan-rakan ke rumah dan memasak pelbagai hidangan untuk mereka. Lagipun, keluarga lebih gemar menikmati hidangan di rumah berbanding makan di luar. Jadi, saya banyak mempelajari resipi-resipi masakan dari ibu.
ASAM PEDAS KEPALA IKAN MERAH
BAHAN-BAHAN:
1 cawan cili kering|direbus dan kisar
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
Sedikit belacan bakar
2 tangkai daun kesum
2 ekor kepala ikan merah
1 cawan air asam jawa
CARA MEMBUAT:
Kisar bahan-bahan seperti cili kering, bawang merah, bawang putih, kunyit hidup, halia dan belacan yang telah dibakar. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan tersebut sehingga ia menjadi garing dan naik baunya . Letak air asam sedikit dahulu kemudian letak ikan supaya cili sebati pada ikan . Tambah air perlahan-lahan supaya kuah asam pedas tidak menjadi cair. Kemudian tambahkan garam, gula dan sedikit bahan perasa. Masukkan pula daun kesum. Sedia untuk dihidangkan.
KUIH LAPIS
BAHAN-BAHAN:
1 cawan tepung beras
2 cawan santan sederhana pekat
2 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar tepung jagung
1/2 cawan gula pasir
1/4 sudu kecil garam
sedikit pewarna merah dan perisa ros
CARA MEMBUAT:
Panaskan pengukus dan sediakan loyang berukuran 7 inci. Masukkan santan ke dalam periuk. Panaskan sebentar. Masukkan tepung beras, tepung gandum, tepung jagung, gula dan garam ke dalam mangkuk. Masukkan santan. Gaul rata hingga tidak berketul-ketul.Bahagikan adunan kepada dua bahagian. Warnakan satu bahagian dengan warna merah dan letakkan perisa ros.Masukkan loyang ke dalam kukusan. Tuang 100 ml adunan tanpa warna ke dalam loyang. Kukus selama lima minit dengan api kuat. Setelah lapisan pertama masak, tuang 100ml adunan merah. Kukus lagi. Ulang proses hingga habis enam lapisan dengan diakhiri dengan lapisan merah.
BUBUR CHA CHA BERSAMA KELEDEK
BAHAN-BAHAN:
1 ketul keledek sederhana besar
1 cawan bubur caca
3 sudu besar sagu biji, rendam dan toskan
2 cawan santan
1 helai daun pandan, disimpul
1 ketul gula melaka
1/2 cawan gula pasir
1/4 sudu kecil garam
Air secukupnya
CARA MEMBUAT:
Kupas keledek, potong dadu, rendam dan ketepikan. Cuci bubur caca dan rebus hingga lembut. Tos dan ketepikan. Masak gula melaka dan gula pasir bersama cawan air hingga gula larut. Masukkan keledek ke dalam air gula dan daun pandan. Biar hingga keledek empuk. Masukkan biji sagu dan caca yang telah direbus. Masukkan juga santan dan garam. Masak hingga mendidih. Tambah air jika bubur dan keledek kelihatan agak pekat.