
Musim perayaan Aidiladha ini, tentu sekali stok daging korban yang diagih-agihkan akan melimpah ruah. Nak dimasak sekaligus tentu tak akan habis. Jadi simpan siap-siap cara penyimpanan ni bagi mengelakkan pembaziran.
(a) Jangan Basuh
Sebelum disimpan, daging tidak perlu dibasuh kerana jika dibasuh guna air paip, kuman boleh masuk dan tinggal dalam pori-pori daging. Basuh daging bila kita mahu masak daging tersebut.

(b) Simpan Dalam Ukuran Kecil
Jika dapat daging yang banyak, jangan simpan 2 – 4 kg daging ketul besar sekaligus. Cara yang betul, potong daging berukuran lebih kecil dan simpan di dalam plastik lebih kurang 1/2 kg atau 1 kg seplastik.
Jika mahu masak, ambil satu plastik atau jumlah kilogram yang hendak dimasak saja. Dengan cara ini, daging dalam peti sejuk beku boleh tahan lebih satu tahun.
(c) Jangan Terus Dibekukan
Sebelum simpan di freezer, simpan daging dalam peti sejuk selama 4-5 jam. Setelah sejuk baru masuk ke dalam freezer.
(d) Cara Menyahbeku

Jika mahu masak daging beku, jangan cairkan ais pada daging beku menggunakan air panas. Cara yang betul adalah meletakkan daging beku di dalam air biasa (dalam keadaan daging masih terbungkus rapat dalam plastik).
Setelah daging sudah dinyahbeku, buka plastik, basuh daging hingga bersih dan potong lalu siap dimasak.
(e) Tip Tambahan
Jangan guna plastik hitam kerana ia adalah hasil kitar semula iaitu mengandungi cadmium yang merangsang kepada sel kanser. Pakailah plastik putih atau plastik jernih untuk membungkus daging. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Manisnya Hidup Dengan Coklat!

Pernahkah anda mendengar tentang pengambilan coklat yang boleh menyebabkan penyakit terhadap kesihatan? Pasti sering didengari bukan. Ada yang menyatakan makanan yang dihasilkan daripada buah koko ini mengakibatkan kerosakan gigi, merangsang pembentukan jerawat, meningkatkan berat badan dan tidak kurang juga menjadikan kanak-kanak hiperaktif. Realitinya, tahukah anda bahawa coklat membawa berbagai-bagai manfaat penting kepada tubuh badan anda?
Meskipun coklat lazimnya dilabel sebagai makanan tidak sihat,tetapi kandungan jenis zat yang terkandung di dalamnya membekalkan sejumlah tenaga yang diperlukan tubuh. Selain menyihatkan tubuh, coklat turut berfungsi memperhebat aktiviti perkembangan otak dan degupan jantung yang kuat. Malah, setiap pengambilan coklat dalam diet harian dengan jumlah yang tertentu dapat menurunkan tekanan darah. Coklat hitam atau dark chocolate misalnya menjadi pilihan penggemar coklat masa kini kerana kandungan antioksidan yang tinggi di samping mengurangkan pembentukan radikal bebas.
KATEGORI COKLAT
Empat kategori coklat yang perlu anda tahu adalah coklat tulen atau couverture, coklat tiruan atau masakan, coklat tanpa gula dan coklat berperisa.
- COKLAT MASAKAN
Turut dikenali sebagai chocolate compound, coklat masakan diperbuat daripada gula, lemak sayur, esen, lesitin dan susu. Ia hanya digunakan dalam masakan seperti membuat kek termasuk brownies dan biskut.
- COKLAT COUVERTURE
Digunakan secara meluas oleh pembuat coklat profesional. Ia merupakan coklat asli yang paling sedap dan berkualiti namun sangat sensitif terhadap suhu.
- COKLAT TANPA GULA
Juga dikenali di kalangan penghidap diabetes. Ia tidak mengandungi gula biasa kerana menggunakan pemanis tiruan seperti stevia.
- COKLAT BERPERISA
Coklat yang sering dinikmati sebagai snek seperti coklat susu, coklat putih dan coklat hitam.

Kandungan antioksidan yang ada pada coklat adalah 3 kali lebih tinggi daripada teh hijau. Umum mengetahui dan mampu membezakan jenis coklat yang dijual di pasaran namun pasti ramai yang tidak peka akan khasiat dan kandungan yang ada.
- COKLAT SUSU
Mengandungi kira-kira 12% ramuan susu, 25% koko dan gula yang tinggi. Ia menjadi kegemaran kerana rasanya yang manis dan lembut. Coklat susu mudah hangus saat dicairkan dan mengandungi antioksidan terendah kerana kombinasi bahan-bahan di dalamnya.
- COKLAT PUTIH
Atau lebih dikenali sebagai white chocolate memiliki sekurang-kurangnya 33% kandungan koko dan selebihnya adalah campuran gula, susu dan vanila. Pengambilan berlebihan boleh menyebabkan penyakit diabetes.
- COKLAT HITAM
Rasanya lebih pekat, berwarna lebih gelap dan mengandungi lebih banyak kandungan berkhasiat untuk kesihatan. Ia tidak mengandungi susu sebaliknya terdiri daripada 70% koko tanpa lebihan gula, lemak tepu atau minyak sayuran terhidrogenasi (HVO).

TIP MEMILIH COKLAT BERKUALITI
Agak sukar untuk mengenal pasti keadaan coklat yang dibeli kerana coklat yang dijual telah dibungkus kemas tanpa boleh membuka isi di dalamnya. Hanya boleh melihat jenis dan kandungan coklat yang tertera pada label berserta tarikh luput. Pun begitu, anda masih boleh mengetahui kualiti coklat berkenaan setelah membuka bungkusan seperti ciri-ciri yang dinyatakan di bawah.
- Permukaan coklat halus dan berkilat
- Coklat hitam memiliki warna coklat yang lebih gelap berbanding coklat lain dan bukan berwarna hitam
- Saat coklat dipatahkan terdapat beberapa serpihan halus dan bertekstur padat
- Menghasilkan rasa berkrim tetapi tidak berminyak
- Cepat mencair kerana kandungan coklat mentega yang tinggi
- Tidak meninggalkan rasa kelat atau sebarang rasa kurang menyenangkan apabila memakannya
CARA MENYIMPAN COKLAT
- Simpan coklat di tempat kering dan dingin di bawah suhu 16 hingga 18 darjah Celsius. Coklat yang disimpan pada suhu kurang daripada itu menyebabkan penghasilan sugar bloom dan seakan mengeluarkan ‘peluh’ apabila disimpan pada suhu bilik. Manakala jika ditempatkan pada suhu tinggi akan mengubah kandungan lemak dan kelihatan sangat berminyak.
- Setelah membuka bungkusan, pastikan coklat dibungkus kemas semula agar ada udara yang masuk. Untuk menjaga kualiti coklat ada baiknya ia dipindahkan ke dalam bekas kedap udara.
- Elakkan menyimpan coklat dalam peti sejuk. Coklat yang diletakkan di dalam peti sejuk perlu dibiarkan seketika pada suhu normal atau suhu bilik sebelum ia digunakan.
- Percaya atau tidak coklat yang disimpan dengan baik boleh tanah selama lebih kurang satu tahun. Walau pun terhasil bintik putih di permukaan coklat namun ia masih selamat digunakan untuk membuat biskut dan sebagainya. Asalkan tidak melebihi tempoh tarikh luput.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bila Cuti Sekolah Tiba, Bawa Anak ke THE MANHATTAN FISH MARKET Untuk Cuba Menu Baharu!

Esok merupakan hari terakhir sesi persekolahan untuk tahun 2019. Pasti anak-anak amat menantikaan saat bermulanya cuti persekolahan kali ini kerana ibubapa pasti akan meluangkan masa bersama anak-anak bercuti dan sebagainya. Selain sibuk mencari destinasi atau lokasi untuk bercuti, soal menjamu selera juga pastinya termasuk di dalam jadual sepanjang musim cuti persekolahan ini.

Pengendali restoran makanan laut The Manhattan FISH MARKET (MFM) baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk memberi nafas baharu kepada 27 cawangan korporatnya di seluruh Malaysia!. Ia bermula di cawangan Wangsa Walk, Kuala Lumpur. Pengubahsuaian penuh cawangan keempat ini merupakan sebahagian daripada usaha menampilkan wajah dan sentuhan serba baharu dengan ruang dalam lebih cerah dan ceria mencerminkan gaya hidup yang menyeronokkan untuk menggalakkan para pengunjung restoran untuk bersantai dan menjamu selera bersama-sama. Suasana ini dilengkapi pula dengan menu baharu yang menawarkan pelbagai cita rasa menarik.
MFM telah menghasilkan menu inovatif baharu yang menjanjikan sesuatu untuk setiap pelanggan, seperti mereka yang inginkan pilihan makan sihat, sajian ringan dan menu kanak-kanak, fish and hand cut chips di atas kertas kalis gris bagi pelanggan yang ingin menikmati juadah dengan tangan dan sos buatan tersendiri untuk mereka yang suka mencuba sesuatu yang baharu.
Pengalaman menjamu selera di MFM jua memberi tumpuan kepada pelanggan muda, yang suka mengembara dan celik digital. Mereka berani dan sedia untuk menikmati sesuatu yang baharu dan kami berusaha mewujudkan pengalaman menjamu selera baharu kerana ingin membawakan sajian yang menyeronokkan dan unik kepada pengunjung restoran. MFM memberi nafas baharu kepada jenamanya bagi pelanggan sedia ada dan mencetus daya tarikan yang akan menarik minat pelanggan baharu.MFM memperkenalkan sajian baharu dalam menu, termasuk kentang goreng hand cut dan enam pilihan baru sos tartar seperti garlic herb, curry tartar, spicy grapefruit tartar, lime tartar, BBQ tartar and spicy tartar untuk memenuhi cita rasa semua.

Satu lagi usaha untuk menyerlahkan kepakarannya dalam makanan laut ialah pilihan yang diberikan kepada para pelanggan untuk menentukan makanan laut mereka dimasak dengan lima kaedah memasak berbeza, iaitu digoreng, direneh, digril, dibakar atau dipanggang api. Sajian utama Fish ‘N Chips akan dihidangkan di atas kertas kalis gris, membawakan pengalaman baharu dan menyeronokkan untuk menikmati juadah. Sebagai pakar makanan laut, inovasi bukanlah sesuatu yang asing bagi jenama ini. Baru-baru ini, MFM menambah sentuhan menarik kepada adunan tepung fish and chips tradisional dengan memperkenalkan perisa baharu seperti adunan tepung bersalut krim kraker, cookie dan Mamee.

Cawangan yang telah diubah suai sepenuhnya terletak di Wangsa Walk, Mid Valley, Sunway Pyramid dan Setia City Mall manakala cawangan korporat lain telah menjalani pengubahsuaian kecil. Kesemua 27 cawangan korporat kini menyediakan stesen tartar layan diri untuk pelanggan mendapatkan sos tartar, kertas kalis gris, sudu garpu dan sarung tangan. Selamat mencuba!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
4 Pencuci Mulut Istimewa Sajian Iftar Untuk Keluarga. Boleh Cuba Ni!

Dalam situasi berada di rumah sempena Perintah Kawalan Pergerakan, sudah pasti kaum hawa mempunyai banyak masa menyediakan hidangan istimewa untuk berbuka puasa bersama keluarga tersayang. Kemahiran memasak di dapur di asah hari demi hari bagi memastikan juadah tersedia di meja makan.
Dalam suasana menyambut kedatangan Ramadan yang berbeza dari norma biasa, apa kata anda mencuba dessert yang tidak kurang hebatnya ini. Selamat mencuba!

BERRY TART
BAHAN SHELL TART
250 gram mentega
120 gram gula aising
2 biji telur
480 gram tepung gandum
BAHAN KRIM PASTRI:
4 biji kuning telur
¼ tepung jagung
½ cawan gula kastor
2 cawan susu
Ekstrak vanilla
1 cawan krim putar
CARA MEMBUAT:
- Untuk menyediakan tart shell, ayak gula aising terlebih dahulu. Pukul gula aising dan mentega. Jangan pukul terlalu lama.
- Masukkan telur dan adun sebati. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sehingga sebati. Jika masih lembik, tambah tepung.
- Bakar selama 17 minit pada suhu 170 darjah Celsius atau sehingga masak.
- Sementara itu, panaskan susu di dalam periuk dengan api kecil. Masukkan tepung jagung, gula dan kuning telur dalam satu mangkuk. Kacau sebati.
- Setelah susu berbuih, masukkan separuh susu ke dalam adunan kuning telur tadi. Kacau sebentar untuk melarutkan gula, kemudian tuang semula ke dalam periuk susu tadi.
- Gaul menggunakan whisker atau senduk kayu sehingga adunan likat. Adunan sudah masak jika ia mengeluarkan letupan angin.
- Tutup api dan masukkan ekstrak vanila. Biarkan sejuk. Akhir sekali, pukul krim putar dan gaulkan ke dalam adunan kastard yang sudah sejuk.
- Paipkan ke dalam tart shell dan hias bersama pilihan buah beri anda.

CHOCOLATE PANNA COTTA
BAHAN-BAHAN:
220 gram krim
65 gram gula
300 gram susu
14 gram gelatin
70 gram coklat gelap
CARA MEMBUAT:
- Mula-mula cairkan coklat gelap dan larutkan gelatin di dalam air. Biarkan seketika dan didih krim bersama gula, susu dan gelatin tadi.
- Angkat dan ketepikan supaya campuran berkenaan sejuk seketika. Seterusnya, tuang coklat yang telah cair ke dalam bekas.
- Lapisi permukaan atasnya dengan sos buah beri. Simpan di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya empat jam atau semalaman.
- Akhir sekali, hidangkan bersama buah beri dan mousse untuk rasa yang lebih memikat.

TAT KELAPA LEMON
BAHAN LEMON MOUSSE:
300 gram krim putar
60 gram gula
30 gram jus lemon
10 gram serbuk gelatin
25 gram air
200 gram susu
BAHAN KRIM KELAPA:
200 gram santan
80 gram krim putar
40 gram gula
6 gram serbuk gelatin
20 gram air
BAHAN CRUST TART:
190 gram gula
370 gram mentega
200 gram tepung
220 gram serbuk kacang badam
65 gram kuning telur
CARA MEMBUAT:
- Sediakan crust atau lapisan bawah tart dengan mencampurkan krim mentega bersama gula.
- Pukul sekata dan masukkan pula tepung serta serbuk kacang badam. Masukkan kuning telur sedikit demi sedikit dan kacau sekali lagi.
- Balut doh di dalam peti sejuk selama 30 minit. Sesudah itu, keluarkan doh dan bentukkan secara segi empat memanjang. Bakar pada suhu 170 darjah Celsius hingga masak. Ketepikan.
- Semenatara itu, larutkan gelatin di dalam air. Tuang susu, gula dan panaskan kedua-duanya hingga cair sebelum dicampurkan bersama gelatin tadi dan jus lemon.
- Akhir sekali, masukkan krim putar.
Untuk menyediakan krim kelapa, didih santan dan gula. Biarkan ia sejuk seketika dan masukkan gelatin hingga cair bersama krim putar.Ambil crust yang telah siap dan hiaskan krim kelapa serta lemon mousse. Jika mahu boleh tambahkan hiasan buah-buahan seperti buah beri dan sebagainya.

KEK KEJU CITRUS
BAHAN INTI
400 gram krim keju
50 gram gula aising
250 gram krim putar
30 gram jus lemon
10 gram serbuk gelatin
30 gram air
BAHAN KEK:
8 biji telur
300 gram gula
60 gram susu
60 gram minyak jagung
280 gram tepung naik sendiri
50 gram parutan kulit lemon
50 gram parutan kulit limau
BAHAN LAPISAN BAWAH KEK:
190 gram gula
370 gram mentega
200 gram tepung
220 gram serbuk kacang badam
65 gram kuning telur
CARA MEMASAK LAPISAN BAWAH KEK
- Campurkan krim mentega bersama gula. Kacau hingga sekata
- Kemudian masukkan tepung dan serbuk kacang badam. Apabila sudah sebati, masukkan kuning telur dan gaul sebati.
- Balut doh dan letakkan di dalam peti sejuk selama 30 minit. Kemudian, keluarkan doh tadi daripada peti sejuk dan bentukkan di atas getah ‘silpat’.
- Angkat acuan yang dibuat dan bakar di dalam ketuhar pada suhu 170 darjah Celsius atau hingga berwarna kuning keemasan.
UNTUK KEK SPAN:
- Pukul telur dan gula hingga berbuih menggunakan mesin pengadun, masukkan tepung ke dalam adunan telur tadi dengan kelajuan perlahan.
- Tuangkan susu, parutan oren dan lemon serta minyak jagung. Pastikan sebati sebelum dibakar pada suhu 180 darjah Celsius selama 15 minit.
- Akhir sekali, sediakan isi kek dengan melarutkan gelatin di dalam mangkuk berisi air.
- Pukul krim keju bersama gula aising hingga berbuih dan kembang kemudian masukkan jus lemon serta krim putar. Ambil lapisan bawah kek dan bubuh isi krim yang telah siap.
- Hiaskan dengan kek span untuk menutupinya. Siap dinikmati.
Resipi:Majalah RASA
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


