Wanita sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan kecantikan dan sanggup melakukan apa sahaja untuk kelihatan menarik bukan sahaja untuk tatapan umum, tetapi juga untuk kepuasan diri sendiri. Rahsia utama wanita bernama Datin Dr Nor Zaina Adbul Ghani atau lebih mesra dipanggil Datin Dr Ira Ghani untuk sentiasa kelihatan cantik adalah sentiasa berpegang dengan sikap positif dalam diri.
“Tampil cantik dan aura positif sememangnya tidak dapat dipisahkan. Kecantikan dalaman diri amat penting dan perlu diberi perhatian khusus kerana ia merangkumi keperibadiaan dan keikhlasan seseorang dalam melaksanakan apa sahaja”, ujar pemegang Diploma Perubatan Alternatif dari Universiti Terbuka Antarabangas Culcatta, India ini.
Kagum melihat figura ini yang sentiasa mengamalkan pemikiran yang positif dalam apa jua perkara dan tertanya-tanya juga apa sebenarnya rahsia beliau untuk mengekalkan aura positif dalam diri.
“Selain mengamalkan cara meditasi untuk menenangkan diri, sebagai orang Islam saya juga percaya air wuduk mampu mencantikkan aura seseorang individu. Bahkan, amalan mandi bunga dan aromaterapi juga mampu menaikkan seri wajah”, tambahnya yang selesa bergaya ringkas tapi masih mengekal imej anggun.
Apa yang menariknya lagi, beliau turut percaya pemakaian batu permata atau kristal, barang berjenama serta keadaan persekitaran turut menyumbang kepada aura yang baik. Ibu kepada dua cahaya mata ini juga mempunyai tabiat unik yang mungkin boleh dipratikkan oleh anda untuk sentiasa tampil cantik tapi tidak memudaratkan diri.
” Saya sentiasa memakai minyak wangi walaupun ketika berada di rumah. Mungkin ada sesetengah orang agak pelik dengan tabiat ini, tetapi saya sudah biasa sebelum tidur pun akan mengenakan gincu bibir!
Saya ingin kelihatan cantik bukan untuk tatapan umum tetapi ia lebih kepada soal menjaga tahap keyakinan diri dalam diri saya”, ujar Datin Dr Ira yang merupakan isteri kepada Profesor Datuk Dr Ibrahim Ahmad ini.
Tidak dinafikan semua wanita mempunyai keinginan untuk tampil cantik. Namun perlu diingatkan bahawa, setiap wanita mempunyai kecantikan dalaman dan luaran masing-masing.