Cara Genius Sanitasi Dan Nyah Kuman Rumah Tanpa Keluarkan Belanja, Jimat RM300!

Pagi Aidilfitri sudah berlalu. Mungkin sesetengah daripada kita ada menerima kunjungan tamu dan kini berhajat untuk menyah kuman rumah bagi memastikan tiada jangkitan virus berlaku.

Terdapat banyak iklan perkhidmatan sanitasi kediaman di pasaran bagi tujuan ini. Purata caj yang dikenakan pula sekitar RM300-RM600 mengikut saiz persegi rumah anda.

Sebenarnya, ada cara mudah untuk menghapuskan virus dan bakteria dengan menggunakan produk kebersihan rumah yang sememangnya digunakan untuk membasuh.

Bagaimanapun, penting untuk anda tahu bahawa tidak semua produk pencuci sama kesannya kepada semua jenis kuman. Terdapat banyak jenis virus dan bakteria yang wujud di luar sana, jadi penting untuk tahu jenis pencuci yang berkesan untuk menghapuskannya.

Semak senarai produk pencuci rumah ini yang betul-betul berkesan untuk membunuh virus tanpa perlu mengeluarkan belanja. Ini masanya untuk sanitasi atau nyah kuman kediaman kita!

Jenis-Jenis Pencuci

(a) Sabun dan air

Kembali kepada asas iaitu mencuci tangan dengan sabun dan air. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, cara paling berkesan untuk menghapuskan Coronavirus ialah dengan mencuci tangan menggunakan sabun dan air. Begitu juga barangan di kediaman kita!

 

(b) Isopropil Alkohol

Tidak semua larutan alkohol berkesan, anda perlu melarutkan sekurang-kurangnya 70 peratus alkohol untuk menentang virus. Jika anda dalam situasi tanpa sabun dan air, sanitasi dan nyah jangkit tangan anda atau barang-barang rumah dengan 70 peratus isopropil alkohol.

Jika anda mahu mencuci barangan rumah, semburkan larutan alkohol tersebut pada permukaan dan biarkan ia selama 30 saat untuk menyah jangkit. Anda juga boleh gunakan bahan ini untuk membersihkan dan menyah jangkit telefon anda.

 

(c) Peluntur

Peluntur pun berkesan untuk menyah kuman. Menurut Pusat Kawalan Penyakit, anda tak perlukan peluntur yang kuat untuk membunuh virus, memadai dengan peluntur yang dicairkan.

Campurkan empat sudu kecil peluntur dengan satu liter air untuk dilarutkan. Jangan lupa untuk menggunakan sarung tangan ketika menggunakan peluntur dan jangan campur dengan bahan lain kecuali air.

Bersihkan permukaan rumah dengan sabun dan air sebelum menggunakan larutan peluntur. Biarkan selama 10 minit sebelum anda lap dan bilas semula permukaan tersebut dengan air.

 

(d) Hidrogen Peroksida

Hidrogen peroksida kegunaan isi rumah (3%) berkesan untuk memusnahkan virus yang menyebabkan selsema biasa. Apa yang perlu anda buat ialah tuangkannya ke dalam botol semburan (tanpa dicairkan) dan sembur pada permukaan dan kemudian biarkan selama satu hingga dua minit.

Anda tak perlu lap kerana bahan tersebut akan terurai menjadi oksigen dan air. Permukaan yang tercemar dan disembur tadi akan segera bebas virus. Berhati-hati juga ya kerana hidrogen peroksida boleh menyebabkan sesetengah fabrik luntur!

Cuka Putih Tidak Berkesan!

Mungkin kita pernah diberitahu bahawa cuka putih suling berkesan untuk memusnahkan virus, tetapi hal ini tidak disokong dengan apa-apa bukti saintifik dan anda patut abaikan saja maklumat ini.

Share
Published by
Norzalina