Alahai tengah-tengah berkobar nak beribadah bulan Ramadan ni, tiba-tiba waktu itulah datang bulan. Mujur jadi perempuan, tidak berkurangnya pahala Ramadan kita kalau buat amalan yang mudah dan ringkas ni.
Apakah hukum bagi wanita yang datang haid jika membaca al-Quran atau ayat-ayat lazim secara zahir dengan niat zikir? Bagaimana pula dengan amalan wanita haid di bulan Ramadan?
Mufti Wilayah Persekutuan menerangkan, para ulama berbeza pandangan dalam isu wanita berhaid membaca al-Quran. Tapi kami ringkaskan pandangan tersebut seperti berikut.
Pertama : Haram
Inilah pendapat jumhur fuqaha’. Mereka melarang wanita membaca al-Quran ketika dalam keadaan haid dan sedang berjunub berdasarkan kepada hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Tidak dibolehkan wanita dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada al-Quran. (Riwayat al-Tirmizi: 131)
Hadis ini dhaif di sisi sebahagian ahli ilmu kerana sebahagian riwayatnya Ismail bin Ayyash dari golongan Hijaz dan riwayatnya daripada mereka adalah dhaif.
Kedua : Harus
Inilah pendapat ulama’ Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih iaitu dibolehkan untuk memegang al-Quran bagi wanita yang haid dan dibolehkan juga untuk membacanya dengan tujuan mengajar dan belajar.
Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya yang sedang berjunub. Ini kerana, hari-hari kedatangan haid itu berlangsung dalam tempoh yang lama.
Maka, jika mereka dilarang membaca al-Quran, dibimbangi hafazan mereka akan terluput. Sedangkan, berzikir kepada Allah SWT adalah dibolehkan kepada wanita-wanita yang sedang dalam haid.
Kami menyatakan, bahawa secara tuntasnya membaca al-Quran dalam bentuk zikir-zikir dan juga doa tidaklah termasuk dalam perkara yang dilarang ke atas orang perempuan yang datang haid.
Ini seperti membaca doa menaiki kenderaan, mengucapkan istirja’ ketika mendengar musibah, membaca doa-doa yang ma’tsur daripada al-Quran sebagai zikir seperti pembacaan zikir-zikir pagi dan petang, dan seumpamanya.
AMALAN BULAN RAMADAN
Berkenaan dengan amalan yang boleh dilakukan oleh wanita haid di dalam bulan Ramadhan, kami nyatakan cadangan amalan seperti berikut:
Pertama: Banyakkan Sedekah
Seperti yang diketahui, amalan sedekah di dalam bulan Ramadhan mempunyai ganjaran yang amat besar di sisi Allah S.W.T. Dalam isu sedekah, tidak disyaratkan bagi seseorang itu akan suci dari sebarang hadas. Justeru, seseorang wanita meskipun berada dalam keadaan haid masih boleh mendapat ganjaran pahala bersedekah ini di dalam bulan Ramadhan dengan kadar yang termampu.
Kedua: Perbanyakkan Doa dan Zikir
Bagi orang perempuan yang haid, mereka digalakkan untuk membaca doa-doa dan juga zikir-zikir semasa berada di dalam bulan Ramadhan. Antaranya adalah seperti yang dianjurkan dalam sebuah riwayat daripada A’isyah RA beliau berkata:
Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu sekiranya aku bertemu dengan lailatul qadar apakah yang patut aku berdoa? Maka kata Nabi S.A.W: ‘’Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Kau maha Pengampun, dan Kau sukakan pengampunan, maka ampunkanlah aku’
Ketiga: Memberi Makan Kepada Orang Berbuka
Boleh juga bagi orang yang dalam keadaan haid untuk memberikan makanan kepada mereka yang berbuka puasa. Hal ini antara perkara yang mendatangkan pahala yang besar kepada pelakunya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun. (Riwayat al-Tirmizi: 807)
Bahkan kata Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadilat memberi makan kepada orang yang berpuasa: “Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun.” Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18)
Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT. Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala. (Surah Al-An’aam: 160)
Justeru apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.
Kesimpulan
Meskipun terdapat beberapa ibadah yang tidak boleh dilakukan oleh perempuan yang dalam keadaan haid, ini sama sekali tidak menafikan peluang mereka untuk merebut dan meraih ganjaran yang besar di dalam bulan Ramadhan al-Mubarak. Bahkan terdapat banyak amalan-amalan yang boleh dilakukan dalam keadaan haid seperti beberapa contoh yang telah disebutkan di atas.
This website uses cookies.