Kagum dengan kejayaan yang diraih wanita Muslim bernama Ginella Massa ini. Mana tidaknya, bukan mudah bagi seorang wanita beragama Islam untuk bekerja dan muncul di stesen televisyen terkemuka Kanada. Apatah lagi dengan penampilan berhijab! Kemampuan yang dimiliki Ginella sememangnya bukan calang-calang.
Dilahirkan pada 29 Januari 1987 di Panama, Ginella merupakan wanita Afro-Latin berjaya yang menjadi perhatian rakyat Kanada kerana kebolehannya menyampaikan berita. Ginelle bekerja keras untuk membina karier wartawan di depan kamera dan belakang tabir sejak 2010.
Bakatnya mula disedari ketika dia masih kecil dan tinggal di Toronto. Selepas memenangi pertandingan pengucapan di gred 3, ibu Ginelle mencadangkan anak perempuannya ini meneruskan kerjaya di kaca TV.
Bagaimanapun jelas Ginelle, untuk muncul di televisyen bukan sesuatu yang mudah. “Saya perlu merancang hala tuju kerjaya dengan cara sendiri. Apatah lagi saya tidak mempunyai network atau orang dikenali dalam industri ini.
Ibu bapa tiada cara untuk membantu saya berjaya dalam bidang kewartawanan walaupun mereka sangat menyokong. Jadi saya perlu menunjukkan kebolehan diri sendiri ketika mula bertapak dalam industri ini dan berusaha lebih keras untuk membuktikan yang saya layak berada di sini.”
Ginelle melakar sejarah tersendiri pada tahun 2015 apabila menjadi wartawan televisyen pertama di Amerika Utara yang mengenakan hijab semasa bersiaran ketika bertugas di CTV News di Kitchener, Ontario. Namanya terus menjadi bualan ramai selepas mengacarakan program di CityNews Toronto pada 2016.
Atas prestasi cemerlang yang ditunjukkan Ginella, wanita berusia 34 tahun ini kemudian mencuri tumpuan dunia apabila menjadi penyampai berita berhijab pertama dalam sejarah Kanada ketika menyampaikan berita pada 17 November 2016.
Memetik laporan CBC Media Centre, Ginella ialah penerima Canadian Screen Award yang juga wartawan, penyampai berita dan hos sulung di Kanada yang memakai hijab.
Ginella sebelum itu pernah berkhidmat untuk pelbagai agensi berita termasuklah CTV News, CFRB dan Rogers Television. Pada tahun 2020, Canadian Broadcasting Corporation (CBC) mengumumkan Ginella sebagai salah seorang personaliti mereka dan dia menyertai stesen TV berkenaan sebagai pengacara untuk program utama di CBC News Network serta bertindak selaku koresponden.
Dengan pengalaman selama lebih berdekad dalam dunia penyiaran, Ginella turut berkhidmat untuk stesen berita tempatan dan kebangsaan termasuk di kaca TV dan radio. Dibesarkan di Toronto, Ginelle merupakan graduan Pengajian Komunikasi dari York University dan mempunyai Diploma dalam Kewartawanan Penyiaran dari Seneca College.
Ginelle mendirikan rumah tangga pada tahun 2018 di Toronto.
This website uses cookies.