7 tahun bergelar suami isteri, akhirnya pasangan terkenal China ini mengaku sudah bercerai. Pernah mencatat sejarah perkahwinan termahal dan termewah di China hingga ke hari ini, Angelababy dan Huang Xiaoming mengesahkan telah berpisah.
Pengumuman itu dibuat pasangan tersebut menerusi akaun Weibo baru-baru ini. “Bersyukur atas sejarah yang lepas, kami masih keluarga pada masa akan datang.”
Meskipun terpaksa mengakhiri perkahwinan, kedua-duanya dilaporkan berpisah secara baik demi membesarkan cahaya mata mereka yang kini berusia lima tahun. Anak sulung mereka yang dikenali dengan gelaran Little Sponge dilahirkan pada Januari 2017.
Khabar angin mengenai keretakan rumah tangga aktres cantik itu mula bertiup kencang pada Julai 2019 namun Huang menafikan perkara tersebut.
Bagaimana pun pada Januari 2021, kemunculan Huang yang berusia 44 tahun di pentas bersama bekas teman wanitanya yang juga pelakon China, Li Feier menjadi persoalan peminat.
Sekaligus menguatkan lagi dakwaan mengenai rumah tangga mereka yang goyah menanti belah. Baru-baru ini, kenyataan Angelababy dan Huangtelah menjawab segala persoalan.
Mengimbas kembali momen penuh gilang-gemilang mereka, Angelababy dan Huang Xiaoming menarik perhatian dunia apabila kos perbelanjaan kahwin pada tahun 2015 itu dilaporkan mencecah USD31 juta atau kira-kira RM128 juta!
Ia menjadikan majlis resepsi berkenaan sebagai yang termahal pernah diadakan di China. Biarpun perkahwinan Angelababy yang digelar ‘Chinese Kim Kardashian’ dari Vogue telah tujuh tahun berlalu namun kemewahan persandingan mereka masih tersenarai sebagai perkahwinan termewah di China hingga ke hari ini.
Bergelar isteri pada usia 26 tahun, gaun perkahwinan yang dipakai Angelababy waktu itu berjaya mencuri tumpuan. Mana tidaknya, gaun dari label mewah Perancis, Dior tersebut diperbuat daripada 115 kaki ivory satin organza dan 165 kaki tulle yang mengambil masa hampir lima bulan untuk disiapkan.
Bukan itu saja bahkan kek perkahwinan mereka setinggi 10 kaki dan berinspirasikan carousel juga mengambil masa selama sebulan untuk diselesaikan. Eksklusif sangat!
Menerusi Instagram milik Angelababy juga, jelitawan ini pernah berkongsi gambar cincin perkahwinan kepada peminat di laman media sosial. Apa yang mengejutkan ialah sebentuk
cincin bertatah berlian ‘Josephine Aigrette Imperiale’ rekaan jenama perhiasan mewah Paris, Chaumet berkenaan bernilai lebih USD1.5 juta bersamaan RM6.2 juta.
Pada majlis persandingan yang diadakan 8 Oktober 2015, Angelababy dan suami menjemput seramai 2,000 tetamu ke majlis bersejarah mereka yang turut menyaksikan acara pra-perkahwinan diadakan di Paris dengan pengantin perempuan mengenakan persalinan mewah dan anggun dari Elie Saab.
Menariknya, tetamu yang hadir menerima bermacam-macam cenderahati dan salah satunya berupa telefon pintar Meitu!
Namun kini, semuanya hanya tinggal sejarah selepas kedua-dua bintang terkenal China tersebut mengumumkan berita perpisahan mereka.