Wanita dan kecantikan ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Ada yang sanggup berhabis ribuan ringgit ada juga yang selesa mengamalkan petua secara alami dan bersederhana sahaja.
Bagi Siti Nordiana binti Alias, atau juga dikenali sebagai Nana dia mempunyai rutin penjagaan kesihatan sama ada dari segi luaran dan dalaman. Tidak hairanlah Nana antara selebriti yang sentiasa tampil cantik dan anggun setiap kali membuat persembahan.
Tidak keterlaluan, Nana senang dengan kaedah alami dan memilih makanan sunnah sebagai makanan tambahan. Tambahan, kerjayanya sebagai seorang penyanyi menuntut dirinya untuk kelihatan cantik sepanjang masa.
Populariti Nana kembali berada di puncak sebaik memenangi tempat pertama program Gegar Vaganza pada musim kedua. Buat masa ini selain menyanyi Nana juga kini sibuk berlakon dan mengacara.
Nana antara artis yang sudah lama berada dalam industri ini. Apakah rahsia kecantikan Nana sehingga hari ini?
Saya mengamalkan pemakanan yang sihat dan mengambil makanan sunnah seperti madu dan juga habbatus sauda untuk mengekalkan tahap kesihatan yang konsisten. Begitu juga dengan kecantikan, saya percaya kecantikan bermula dari dalam dan disebabkan itu saya menjadikan ulam-ulaman sebagai menu harian dan wajib minum dua liter air suam setiap hari. Selain mampu menambah stamina, ia juga mampu membersihkan organ dalaman dan menguruskan badan secara semula jadi.
Adakah Nana mempunyai masalah jerawat?
Alhamdulilah, saya tidak mempunyai sebarang masalah pada wajah namun sesekali ada juga jerawat yang tumbuh pada bahagian dahi. Bukan jenis jerawat besar tetapi yang kecil. Jadi untuk mencegahnya, menjadi rutin kepada saya untuk mencuci wajah setiap hari dan akan menggunakan krim siang juga pelembap. Dan jika pulang daripada bekerja, saya akan mencuci solekan
dan tidak akan sesekali tidur dengan solekan pada wajah.Bagaimana Nana menjaga pemakanan dan adakah mengamalkan sebarang diet?
Saya pernah melalui satu fasa di mana saya memiliki berat badan melebihi dari apa yang sepatutnya. Jadi mulai saat itu, saya mula mengamalkan diet yang betul agar berat badan saya kembali ideal. Saya menetapkan yang saya tidak akan makan selepas jam lapan malam. Kuantiti nasi juga dikurangkan dan menggantinya dengan makanan yang lebih berkhasiat.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber: Instagram Siti Nordiana
This website uses cookies.