Antara filem popular lakonan Karisma Kapoor ialah Dil To Pagal Hai sekitar era tahun 90an. Lakonannya itu antara yang terhebat di samping aktor Shahrukh Khan dan Madhuri Dixit.
Ads
Kelincahan Karisma dalam lenggok tarinya yang energetik sememangnya diingati dan ia sinonim buat bintang Bollywood ini.
Sudah lama Karisma tidak muncul di layar perak namun namanya sentiasa segar di hati para peminat khususnya filem Hindi. Pun begitu, Karisma dilihat sangat aktif di media sosial.
Kini kakak kepada aktres terkenal Kareena Kapoor ini lebih banyak tampil sebagai ikon designer untuk pelbagai brand fashion. Karisma juga aktif sebagai model iklan fesyen serta produk kecantikan.
Terpesona melihat kejelitaan Karisma yang tak dimamah usia. Siapa sangka usianya kini sudah menjangkau 49 tahun! Ketika melihat wajahnya yang polos tanpa secalit solekan, tidak seperti umur 40an pun.
Satu lagi tarikan yang ada pada Karisma ialah warna bola matanya yang biru kehijauan. Unik dan sangat seksi!
Yoga menjadi salah satu rahsia awet muda Karisma.
Sebab itulah Karisma berjaya mengekalkan bentuk tubuhnya sejak dulu sehingga kini malah dikatakan semakin menarik dari tahun ke tahun.
Menurut Karisma, yoga membantu dirinya untuk kekal fokus seterusnya dapat mengembalikan energi menjadi lebih baik. Karisma juga sentiasa menjaga pola pemakanan yang seimbang.
Ads
Berikut beberapa info menarik tentang Karisma Kapoor: –
1. Usia tidak menghalang Karisma untuk mengekalkan bentuk badan ideal.
2. Ibu tunggal yang memiliki dua orang anak.
Ads
3. Aktif melakukan aktiviti kemasyarakatan.
4. Menjadikan ibunya, Babita sebagai sumber kekuatan dan inspirasi. Ibunya kini berusia 76 tahun.
5. Antara aktres yang menerima bayaran termahal dan memenangi banyak anugerah dalam industri perfileman India.
Kredit Foto: Instagram Karisma Kapoor
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pertemuan dengan Datin Umi Kalsom Abdol Latif sekitar awal Mac tahun lalu sememangnya sukar dilupakan. Beliau merupakan seorang wanita yang cukup menyenangkan kerana sangat mesra, penyayang, berjiwa besar dan cantik dalam kelas tersendiri. Meskipun baru pertama kali bersua namun sepanjang berada bersama ibu Dato’ Fazley Yaakob ini bermacam-macam petua dan pengalaman hidup dikongsikan Datin Umi kepada penulis. Yang pasti, beliau tidak lokek berkongsi rahsia!
Melihat susuk tubuh dan raut wajah Datin Umi pasti ramai yang tidak menyangka ibu empat anak ini sebenarnya bakal meniti usia 68 tahun pada 13 April depan. Bersandarkan
rupa paras cantik dan pesona anggun yang dimiliki, Datin Umi kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenar. Apatah lagi beliau masih kekal cergas dan bijak bergaya. Sambil mengaku gemar berfesyen tetapi masih berpegang kepada penampilan sopan seorang muslimah, Datin Umi terbuka berkongsi rutin harian.
Saat ditanya petua cantik yang diamalkan hingga mampu kelihatan menarik pada usia lewat 60an, ini jawapan jujur beliau. “Mungkin sebab jiwa saya tak suka simpan apa-apa. Maksudnya, ada orang kalau ada sesuatu yang tidak kena… mereka suka simpan dan pendam tapi saya tak. Saya orangnya cukup terbuka tidak kira sama ada dengan arwah suami ke, anak-anak mahupun kawan-kawan. Kalau saya ada rasa kurang senang dengan sesuatu perkara, saya akan cakap dan tak simpan.
Dari situ, tiada lagi perasaan curiga dan mungkin salah satunya juga… saya tak kata yang saya alim tapi saya amal baca Al-Quran hari-hari. Tambahan lagi bila arwah suami dan emak dah tak ada. Bayangkan, lepas satu bulan suami meninggal dunia selang dua minggu kemudian emak pula pergi menghadap ilahi.
Kalau saya pergi luar negara pun, saya ada apps yang membolehkan saya sentiasa mengaji. Sejak arwah tak ada, saya mula catit berapa banyak kali saya dah khatam selama empat tahun ini. Dalam sehari saya akan peruntukan sekurang-kurangnya sejam untuk baca Al-Quran dan target berapa lama saya boleh habis baca satu Al-Quran.
Selain mengamalkan rutin itu sebenarnya tak ada pun petua lain sebab saya tak makan jamu. Saya ingat lagi arwah suami pernah pesan dulu. Katanya, “Ibu, biar ibu setua tu. Jangan ‘cucuk-cucuk’, bapak tak bagi. Kalau ibu buat facial, itu tak apa.”
Ujar Datin Umi lagi, “Masa muda-muda saya rajin juga buat jus. Paling saya suka ialah jus tomato dan carrot tapi saya minum berselang-selang. Tapi selepas arwah meninggal, saya kena asid refluks sebab trauma, murung dan depress kerana terkejut dengan pemergian suami. Saya tak boleh tengok makanan dan masuk dapur selama setahun. Padahal saya suka masak dan selalu masakkan untuk keluarga dan anak-anak. Saya tak boleh buat semua tu sebab teringat arwah sampaikan tak lalu makan dan masuk hospital.
Pada mulanya doktor ingat saya gastrik tapi lepas buat prosedur, asid refluks rupanya. Alhamdulillah, dah berkurang 10 peratus cuma saya tak boleh minum jus seperti tomato dan nanas macam dulu. Ikutkan masa muda, semua jus saya buat sendiri termasuk pucuk pegaga tapi sekarang kena kawal.
Memang saya teliti dan jaga pemakanan, tak ambil makanan manis, minuman kafein dan susu. Hanya jus tertentu je boleh dan banyak minum air kosong. Nasi pun makan sedikit. Apa-apa pun saya bersyukur sebab mewarisi gen cantik daripada arwah mak. Arwah dulu walaupun dah 82 tahun tapi kulit dia cantik.”
Bercerita mengenai rutin harian pula, Datin Umi menjelaskan beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pegawai kerajaan. Namun terpaksa berhenti kerja kerana mahu memenuhi permintaan anak sulungnya, Dato’ Fazley Yaakob.
“Saya pernah berkhidmat dengan kerajaan selama 30 tahun tapi berhenti kerja bila anak saya, Fazley balik dari belajar luar negara. Dia anak pertama saya dan waktu tu saya baru 40an. Fazley kata dia jemu tengok saya bekerja dan berkorban untuk anak-anak jadi dia mahu saya berehat.
Bila dah berhenti, saya isi masa dengan aktiviti yang saya suka seperti masuk kelas memasak, belajar mengait, buat flower arrangement dan decoration. Sekarang, hobi saya ialah tanam bunga orkid. Awal dulu memang saya tak pandai tanam tapi lepas beli buku dan belajar alhamdulillah pokok orkid saya kalau berbunga boleh bertahan sampai 3 hingga 4 bulan.
Bila anak-anak dah besar, saya sibukkan diri dengan benda yang saya minat macam mengait, menyulam dan tanam pokok. Waktu bekerja dulu, balik je rumah saya akan buat makanan seperti piza, kek, roti dan masak semuanya sendiri. Jarang beli di luar.”
Mengakui budaya wanita hari ini yang lebih berdikari dan memiliki kerjaya sendiri, Datin Umi bagaimana pun menitipkan pesan berikut kepada seluruh wanita demi mengimbangi
kehidupan berkeluarga. “Ibu saya ajar, macam mana tinggi pangkat kita sebagai seorang wanita tapi bila kita dah berkahwin dan ada di rumah… kita adalah isteri dan ibu.
Sebagai seorang wanita, macam mana sibuk kerjaya sekalipun menjaga suami dan anak-anak juga adalah tanggungjawab. Paling penting, pastikan anak-anak dapat didikan agama,” akhirinya.
Kredit foto: Instagram Datin Umi Kalsom
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nama Sushmita Shubeer Sen atau lebih dikenali sebagai Sushmita Sen bukan lagi asing dalam industri seni India dan pertandingan ratu cantik dunia. Sebelum bergelar pelakon, nama Sushmita terpahat kemas dalam sejarah Miss Universe apabila jelitawan yang berasal dari Hyderabad ini merangkul gelaran tersebut pada tahun 1994. Sekali gus menjadikan dia wanita India pertama memenangi Miss Universe.
Dilahirkan pada 19 November 1975, Sushmita sememangnya memiliki pakej lengkap seorang ratu. Berketinggian 1.71 meter, figura ini tidak hanya berjaya memikat hati juri dengan rupa paras yang menawan bahkan seorang wanita bijak.
Memetik portal IMDb, ayah Sushmita iaitu Shubeer merupakan bekas Komander Tentera Udara India. Manakala ibunya, Subhra dilaporkan pereka barangan kemas. Sushmita juga mempunyai dua beradik iaitu Neelam dan Rajeev.
Dia pernah bersekolah di Air Force Golden Jubilee Institute dan Air Force Silver School di Delhi. Ketika zaman kanak-kanak, Sushmita dikatakan seorang gadis lasak dan banyak bergaul dengan rakan-rakan lelaki.
Walau fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris namun Sushmita mula mempelajari bahasa itu hanya sewaktu berusia 16 tahun. Selain menguasai Bahasa Inggeris, dia juga boleh berbahasa Urdu dengan baik.
Mengimbas kembali pembabitan Sushmita dalam bidang peragaan, dia mula aktif ketika usia 15 tahun di Air Force Club Contest dan menyertai banyak peragaan fesyen selepas itu. Pada tahun 1994 ketika menginjak 18 tahun, Sushmita menarik perhatian dunia apabila memenangi Miss Universe yang berlangsung di Manila, Filipina.
Kira-kira dua tahun selepas kemenangan tersebut, Sushmita mewarnai dunia perfileman Bollywood menerusi filem Dastak dan kian melonjak naik dalam filem Biwi No 1 serta Main Hoon Na.
Bersandarkan kejelitaan yang dimiliki pastinya Sushmita tiada masalah untuk mempunyai kekasih hati. Namun, hakikatnya dia tidak pernah mengahwini mana-mana jejaka biarpun menjalin banyak hubungan cinta.
Memiliki naluri keibuan yang menebal dalam diri, Sushmita nekad berjuang untuk mengambil anak angkat. Berdepan pelbagai prosedur mahkamah untuk usaha itu, dia kemudian mendapat kelulusan mengambil kanak-kanak yang diberi nama Renee pada tahun 2000 dan sembilan tahun kemudian, Sushmita menjadi ibu bagi seorang lagi bayi perempuan iaitu Alisah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ramai wanita yang pernah hilang keyakinan pada diri kerana masalah kulit wajah. Rupanya Nana Mahazan pernah menangis kerana masalah breakout yang dihadapinya.
“Saya sendiri tahu bagaimana diselubungi perasaan sedih kerana tiada keyakinan diri. Saya boleh faham pergelutan mereka yang diburu keresahan sebab kulit wajah teruk.
Ironinya saya melalui fasa itu pada tahun 2017. Saya alami masalah kulit breakout atau timbul jerawat dan bintik merah kerana pori tersumbat dek pelbagai masalah melanda.
Suami saya sendiri menjadi saksi paling dekat melihat saya ada dalam keadaan paling dasyat itu. Masa itu, saya akan tengok cermin sambil menangis setiap hari.
Suami juga yang selalu beri semangat untuk saya cuba tip atau produk itu ini. Dialah penyokong setia menerima kelebihan dan kekurangan diri,” kata Nana yang setahun lebih bangkit daripada fasa breakout dengan mencuba pelbagai jenis produk kulit.
Siapa sangka daripada ujian masalah kulit yang dihadapi oleh wanita yang berusia 39 tahun ini merupakan hikmah yang tak terjangka.
Selepas ramai orang melihat perubahan wajahnya, Nana Mahazan terlintas memasarkan rangkaian jenama produk penjagaan kulit sendiri pada tahun 2020.
“Akhirnya saya bertemu dengan produk yang serasi dengan kulit wajah. Itupun selepas mencuba pelbagai produk. Selepas bertemu yang serasi, saya tidak lagi culas soal menjaga muka. Masalahnya produk itu harganya sangat mahal.
Situasi itu (harga produk mahal) menjadi titik tolak untuk saya cuba hasilkan produk seumpama dengan harga berpatutan. Saya memilih buah kiwi yang dianggap sebagai ‘superfood’ dengan banyak khasiat dan nutrisi. Ia mempunyai sumber vitamin C lebih bagus berbanding oren.
Ia juga bagus untuk merawat kulit muka. Tambahan pula ia menjadi buah kegemaran saya dan keluarga. Rangkaian produk ini mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), lulus Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan harga ‘rakyat’,” kata Nana Mahazan.
Momen Nana Mahazan pernah menangis kerana masalah kulit membuatkan dirinya faham dengan masalah wanita yang menghadapi masalah breakout. Walaupun pada awalnya perniagaan diceburi itu berpaksikan minat, mengisi masa lapang dan sudah tentu untuk menjana pendapatan sampingan.
“Namun lama kelamaan saya memahami dunia niaga ini sebenarnya menjadi perantara atau kenderaan untuk membantu ramai orang. Seterusnya, insya-Allah untuk mendapat reda dan keberkatanNya.
Setiap hari akan jadi ruang belajar dan terus memperbaiki diri. Saya mahu terus menginspirasi dan membantu golongan wanita khususnya seramai mungkin. Ia sama ada membina keyakinan diri dengan menggunakan produk atau menjana pendapatan.
Saya mahu mewujudkan lebih ramai pemimpin dan wanita berdikari. Begitu juga keinginan mengubah mereka yang sentiasa rasa rendah diri. Saya nak tanam dalam diri mereka ini semangat atau jati diri yang kuat,” kata isteri kepada Mohammad Raqeem Brian ini.
Seawal pembabitannya dalam dunia seni lagi, ramai terpikat dengan kejelitaan Nur Fathia Abdul Latiff. Mana tidaknya, bukan hanya berbakat besar sebagai pelakon, dia juga...