Hari ini Malaysia berhadapan situasi Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia 2020 yang dilaksanakan sebagai langkah atau tindakan pencegahan oleh kerajaan Malaysia terhadap kes pandemik (COVID-19). Ia akan berkuatkuasa bermula 18 hingga 31 Mac 2020. pada 16 Mac 2020, oleh itu “kawalan gerakan” dilaksanakan di seluruh negara. Namun begitu, masih ramai yang ingkar dengan arahan pihak berkuasa sehingga memaksa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu rakyat Malaysia untuk duduk di rumah selama 14 hari yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen malam tadi. Pelbagai alasan diberikan oleh segilintir individu yang mungkin tidak memandang serius wabak yang sedang dihadapi bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.
Memikirkan faktor keselamatan tatkala berurusan dengan para pelanggan yang hendak membeli makanan secara take away, pemilik bersama Padang On Wheels yang juga merupakan hos televisyen, peguam dan pengasas Aman Palestin Official, Farrah Adeeba memperkenalkan sistem pengendalian makanan yang memenuhi garis panduan keselamatan tatkala negara dilanda Covid 19.
“Padang On Wheels masih beroperasi untuk para pelanggan membeli makanan untuk dibawa pulang ke rumah kerana kami faham dalam keadaan sekarang ini kebanyakan pekerja akan bekerja dari rumah. Namun begitu, untuk memastikan keselamatan para pekerja mahupun pelanggan yang datang ke premis, kami menyediakan SOP tertentu untuk dipatuhi oleh pelanggan yang datang membeli makanan,” ujar Farrah yang juga aktif dalam kerja-kerja kebajikan.
“Sebagai langkah keselamatan, kami menggunakan garis kuning sebagai penanda jarak 1 meter di antara pelanggan dan makanan yang terhidang di kaunter makanan di restoran. Selain itu, kami hanya membenarkan seorang sahaja pelanggan yang bertaur membeli makanan dan melarang pelanggan datang secara berkumpulan.”
Selain itu, juga pintu masuk ke restoran akan melalui proses sanitasi bagi memastikan ia bebas dari sebarang kuman yang boleh mendatangkan mudarat buat pekerja mahupun pelanggan yang berkunjung ke restoran.
Langkah berjaga-jaga yang sistematik ini sewajarnya diberi perhatian khusus oleh kebanyakan pengusaha makanan supaya wabak ini tidak merebak dan mendatangkan mudarat buat para pelanggan. Dalam situasi begini, semestinya pengusaha restoran mendapat faedah apabila kebanyakan warga kota terutamanya memilih untuk membeli makanan apabila gagal membeli bekalan makanan di pasaraya dan sebagainya.
Dalam apa jua keadaan, langkah keselamatan dan pengedalian makanan yang terbaik perlu diutamakan agar kesihatan berada pada tahap terbaik dalam jangkamasa perintah kawalan pergerakan sehingga 31 Mac ini.
This website uses cookies.