Musim hujan yang melanda kini diuji dengan dugaan banjir di beberapa kawasan utara tanah air. Hampir keseluruhan kawasan lumpuh dan terputus hubungan. Selain kehilangan harta-benda, perkara yang paling ditakuti adalah penyakit yang berjangkit. Apabila tahap imun atau ketahanan badan rendah, penyakit berbahaya senang berjangkit.
Mangsa banjir lebih terancam apabila dijangkiti kuman melalui makanan dan air yang tercemar. Hilang keupayaan diri kerana luka atau cedera menambah risiko penyakit berjangkit. Antara penyakit yang biasa terjadi akibat banjir adalah demam denggi, cirit-birit, kencing tikus, demam, batuk, alahan dan penyakit kulit.
(a) Utamakan kebersihan
Bagi mengelak penyakit yang berbahaya, mangsa banjir perlu menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Amalan membasuh tangan dengan air dan sabun perlu diutamakan. Bersihkan tangan sebelum menyediakan makanan, sebelum dan selepas ke tandas serta membersihkan kawasan dan barang yang kotor akibat banjir. Begitu juga kawasan kediaman perlu bebas daripada haiwan perosak seperti tikus dan lipas.
(b) Sistem pembuangan najis sempurna
Walaupun barang keperluan banyak yang musnah akibat banjir, tetapi anda perlu kekal menjaga sistem pembuangan najis yang sempurna. Pembuangan najis merata-rata akan menambah risiko penyakit berjangkit.
(c) Elak makan bahan mentah
Situasi selepas banjir biasanya mengundang bekalan air yang tidak bersih. Sebaik-baiknya elak makan makanan mentah seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang tidak dibasuh dengan sempurna.
(d) Minum air yang bersih
Perlu minum air yang bersih dalam apa juga keadaan. Setidak-tidaknya minum air yang telah dimasak, air yang dirawat atau minum air bersih yang telah dibotolkan. Minum air yang banyak boleh membantu tubuh daripada kekeringan.
(e) Bersihkan luka
Jika anda mengalami luka akibat banjir, rawat luka dengan air bersih. Sapu luka yang tercemar itu dengan antiseptik dan balut dengan pelekat atau kain pembalut. Jika luka berlarutan atau bernanah, dapatkan rawatan daripada doktor yang berdekatan.
(f) Buang tin dan bekas bertakung
Nyamuk cepat membiak di tempat bertakung. Tin atau bekas yang bertakung selepas banjir menjadi punca utama pembiakan nyamuk aedes. Sebaik-baiknya buang atau terbalikkan tin atau bekas yang boleh mengundang air bertakung.
(g) Dapatkan rehat yang mencukupi
Cuaca yang tidak menentu diselangi rehat yang tidak mencukupi akan membuat badan anda lemah dan mudah dijangkiti penyakit terutamanya demam. Walaupun sibuk dengan urusan pembersihan rumah, tetapi anda perlu mendapat rehat yang secukupnya.
(h) Elak terkena benda tajam
Banyak barang yang hanyut ketika banjir dan tidak terkecuali barang yang bahaya seperi kaca, serpihan tajam atau bahan kimia. Bagi mengelak perkara yang tidak diingini, barang-barang bahaya ini perlu dibuang jauh-jauh dan elakkan daripada terkena orang lain pula.
(j) Simpan dokumen rawatan
Bagi pesakit kronik yang sedang mendapatkan rawatan doktor, anda perlu menyimpan dokumen penting seperti kad rawatan agar tidak hanyut oleh banjir. Hubungi pegawai perubatan yang berdekatan agar bekalan ubat sentiasa mencukupi.
(k) Periksa perkakasan elektrik
Kemusnahan kediaman akibat banjir memang meruntun jiwa. Walau apa pun yang berlaku, membersihkan rumah selepas banjir perlu diutamakan. Periksa saluran gas, wayar elektrik dan perkakasan elektrik. Pastikan peralatan tersebut masih dalam berkeadaan elok. Buangkan sahaja jika peralatan elektrik itu sudah rosak teruk.
(l) Guna bekas yang bersih
Bekalan air yang bersih mungkin tersekat-sekat. Oleh itu, simpan air di dalam bekas untuk kegunaan seperti mandi, masak dan membersihkan pinggan-mangkuk. Bekas tersebut perlu dicuci dengan cecair pembersih dan dibilas dengan peluntur sebelum digunakan. Lebih baik jika boleh bilas dengan antiseptik.
(m) Buang makanan dalam tin
Jika masih ada bekalan dalam tin yang tertinggal selepas banjir, pastikan tin tersebut masih dalam keadaan elok, tidak berkarat atau kemik. Makanan dalam tin yang sudah rosak perlu dibuang atau dimusnahkan agar orang lain tidak menggunakannya. Hamizatul Maizan Mohamed