Laporan media tentang kes pembuangan bayi dengan kejam begitu mencengkam jiwa. Bagaimana sanggup seorang ibu membiarkan anaknya dibuang begitu sahaja?
Kebanyakan kes pembuangan bayi ini datangnya daripada hubungan yang tidak halal sehingga hilang punca untuk menimbangkan kewarasan tanggungjawab terhadap bayi yang tidak berdosa tersebut.
Rentetan daripada peristiwa ini menyedarkan betapa pendidikan seks di awal usia sangat penting diterapkan terutama kepada jiwa remaja yang sentiasa ingin mencuba sesuatu.
Namun, sebagai orang dewasa terutama ibu dan bapa sukar untuk membicarakan topik seks dengan anak-anak. Mungkin ibu bapa masih skeptikal atau kurang pengetahuan untuk membicarakan isu yang semakin membimbangkan ini.
Perkataan seks masih menjadi tabu kepada ramai orang di Malaysia terutama di kalangan pihak-pihak berwajib. Walaupun istilah sexual and reproductive health (SRH) sudah diterima pakai oleh komuniti antarabangsa namun, kita masih mempunyai stigma dengan penggunaannya.
Dasar Kesihatan Reproduktif dan Sosial Negara telah diluluskan oleh Kabinet pada November 2009, namun masih banyak lagi yang perlu dijalankan oleh semua pihak termasuklah para ibu bapa.
Tahukah anda?
Dasar Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan
Merupakan dasar mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial yang terpakai kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur. Pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial merupakan asas kukuh kepada perkembangan serta pembangunan insan yang sihat, berakhlak mulia dan saling hormat-menghormati.
Pelaksanaan dasar ini turut mengambil kira kepelbagaian agama, budaya serta nilai hidup masyarakat di Malaysia.
Dasar Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan bertujuan untuk melahirkan individu yang berpengetahuan dan mempunyai sikap positif dalam bidang kesihatan reproduktif dan sosial.
Pengetahuan dan tanggapan yang betul dalam bidang ini akan membawa kepada perlakuan yang bertanggungjawab oleh individu dan seterusnya menyumbang ke arah pembangunan sosial yang positif di Malaysia.
Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) atau Pendidikan Seks amat diperlukan di negara kita kerana:
Pendidikan seks ini perlu dimulakan lebih awal daripada peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Pelajaran yang diberikan perlu mengikut umur dan perkembangan fizikal dan emosi kanak-kanak (according to age or development of the adolescent).
Sebenarnya Pendidikan Kesihatan Reproduktif telah pun diserapkan dalam kurikulum Kementerian Pelajaran (Family Health Education) semenjak tahun 1989 di sekolah-sekolah menengah dan seterus pada tahun 1994 di sekolah rendah. Ia telah ditambah baik pula beberapa tahun yang lalu. Namun itu berbagai-bagai masalah dalaman menyebabkan implementasinya terbantut.
Peranan ibu bapa
Ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam memberi nasihat kesihatan reproduktif anak-anak mereka. Anak-anak akan berasa lebih selamat dengan ibu bapa mereka sendiri berbanding dengan orang lain.
Namun, ramai ibu bapa yang kurang berpengetahuan tentang kesihatan reproduktif dan tidak kurang pula yang berasa malu untuk membincangkan isu ini.
Ibu bapa perlu meningkatkan pengetahuan dengan lebih banyak membaca atau mengikuti kursus-kursus terutamanya yang dianjurkan oleh NGO (Persekutuan Persatuan-persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia – FRHAM), Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Malaysia – LPPKN) dan lain-lain agensi.
Ibu bapa perlu lebih rapat dengan anak-anak mereka terutamanya semasa zaman pergolakan jiwa remaja mereka. Sebagai ibu bapa kita perlu berkorban masa bagi membimbing mereka pada saat-saat mereka memerlukan kita.
Ibu bapa jangan sentiasa menganggap bahawa anak-anak mereka itu begitu innocent kerana sekarang ini zaman dunia tanpa sempadan dan Internet membawa kebaikan dan juga keburukannya. Hamizatul Maizan Mohamed
This website uses cookies.