
Memang wow sangat penampilan wanita cantik ini. Nampak yakin dengan gaya color-blocking pilihannnya. Tak semua wanita berani tampil berani dengan warna-warna terang ni, bukan hanya pakaian bahkan aksesori dan tudung juga. Secara tak langsung ia melambangkan karakter dan personaliti si pemakai.
“Fashion is my passion” Itu definisi fesyen bagi wanita cantik ini. Walaupun usianya sudah mencecah 41 tahun namun Shafira Dalina Kamarudzaman seorang yang cukup menitikberatkan penampilan. Dia juga sering tampil dengan gaya berani bertemakan color-blocking menjadikan penampilannya lebih wow!

Ibu anak 4 ini juga merupakan seorang pencinta fesyen pakaian berjenama. Sebagai seorang Eksekutif Bank, menjaga penampilan adalah sangat penting bagi Shafira.
Tak sekadar menyarungkannya sahaja, Shafira cukup teliti atau dalam erti kata lain ‘cerewet’ dalam pemilihan pakaian.
Baca perkongsian wanita ini yang dapat dijadikan inspirasi khususnya buat anda penggemar fesyen semasa dan berjenama.
“Saya sukakan pakaian berjenama kerana kualitinya. Bila kita pakai ia jadi selesa. Ini termasuklah materialnya serta detailing (perincian), finishing dan workmanship. Ini semua menyumbang kepada kualiti produk.
Selain itu, fesyen berjenama juga up to date dari segi trend semasa, koleksi juga sering bertukar. Sebagai penggemar fesyen saya sentiasa teruja untuk melihat apakah koleksi akan datang.
Sebagai penggemar fesyen semestinya banyak jugalah koleksi pakaian berjenama yang saya ada. Kebanyakan jenamanya ialah Zara kerana ia jenama kegemaran saya.
Bagi saya jenama Zara sangat berkualiti dari segi material dan fabrik. Secara tak langsung kita dapat purchase dengan harga yang berpatutan. So kita dapat value for money.”
Kredit Foto: Instagram @shafiradalina
Tertekan Dikutuk Buruk Mak Sendiri, Akhirnya Jennifer Aniston Sempat Maafkan Sebelum Maknya Meninggal

Jennifer Aniston sebuah nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Memiliki rupa paras menawan, bentuk tubuh cantik dan yang paling menjadi tarikan buat figura Hollywood ini sudah tentu potongan rambutnya. Setiap gaya rambut Jennifer pasti menjadi ikutan seluruh dunia.
Gemerlapan bintang kesayangan ramai ini terserlah apabila sitcom, Friends berjaya membuat jutaan peminat melekat di kaca televisyen setiap kali jadual tontonannya. Ditambah pula apabila wanita ini pernah mengahwini aktor pujaan wanita, Brad Pitt.
Namun, Jennifer tidak membesar seperti yang dibayangkan oleh peminatnya. Jennifer bergelut dengan perasaannya sendiri apabila ‘terpaksa’ membesar mengikut standard ibunya, Nancy Dow. Situasi ini telah menyebabkan Jennifer mempunyai konflik dengan diri sendiri.
Ibunya sering mengatakan bahawa Jennifer mempunyai sepasang mata yang berkedudukan jauh di antara satu dengan lain. Jennifer membesar sebagai kanak-kanak yang mencemburui kecantikan yang dimiliki oleh ibunya sendiri. Entah mengapa ibu Jennifer sanggup mengkritik anak sendiri dan tidak membelainya dengan penuh kasih sayang. Mungkin kerana suaminya telah lari meninggalkan dirinya membesarkan anak-anak seorang diri.
Oleh itu, zaman remaja Jennifer sering menganggap dirinya seorang yang bodoh dan mahu lari dari ibunya yang sering mengkritik dirinya dengan kejam. Pernah suatu hari Jennifer menjerit kepada ibunya namun apa yang dilakukan oleh Nancy adalah mentertawakan ‘pemberontakan’ Jennifer. Akhirnya Jennifer mengambil keputusan untuk memendam perasaannya sahaja.
Dunia lakonan benar-benar telah mengubah kehidupan Jennifer apabila dapat meningkatkan keyakinan dirinya. Jennifer berjaya meninggalkan segala kisah sedihnya dan terus berjaya bersama rakan-rakan baiknya dalam sitcom Friends tersebut.
Walaupun siri ini sudah berjaya tetapi ibunya tetap mengkritik lakonan Jennifer. Jennifer sedih dan marah dengan ibunya dan mengambil keputusan untuk tidak bercakap lagi dengan ibunya. Malah ketika majlis perkahwinannya dengan Brad Pitt dahulu Jennifer tidak menjemput ibunya hadir menyaksikan majlisnya.
Namun, Jennifer begitu kecewa dan rasa keseorangan apabila melalui fasa penceraian dengan kedua-dua orang suaminya. Ketika itu Jennifer begitu fokus untuk bahagia hingga ke hari tua sehingga lupa untuk mengecap bahagia sendiri. “Why do we want a happy ending? How about just a happy existence?” kata Jennifer.
Baharu Jennifer tersentak dan tersedar tentang segala kiritikan ibunya. Syukur kerana Jennifer akhirnya memaafkan ibunya sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 2016.
Kini Jennifer memilih untuk membahagiakan diri sendiri dan tidak mengharapkan kepada sebuah perkahwinan untuk merasakan dirinya lengkap. Baginya kehidupan untuk adalah suatu perjalanan dan bukannya sebuah destinasi. “There are no regrets in life, only lessons,” kata Jennifer.
“Pergaduhan Berlaku Depan Mata” DATO’ FARAH ZARINA Kongsi Detik Cemas Di Masjid Al-Aqsa

“Saya ke Palestin pada tahun 2014 bersama ibu serta rakan-rakannya. Sebenarnya, setahun sebelum ke sana sudah beberapa kali saya mengusulkan kepada ibu yang saya teringin sangat hendak menziarahi bumi Palestin yang merupakan tempat para anbiya. Memang saya berminat untuk mempelajari sejarah-sejarah Islam.
Kebetulan juga ketika itu salah seorang adik saya sedang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Ketika melawatnya di sana, kami dibawa berjalan melawat Mesir oleh pelajar-pelajar Malaysia di sana. Banyak kisah-kisah agama dikongsi oleh mereka sehingga membuatkan saya tertarik untuk mempelajari lebih banyak tentang sejarah Islam.
Kami tiba melalui Jordan. Untuk memasuki sempadan Palestin perlu melalui checkpoint atau tempat pemeriksaan yang dikawal dan diperiksa oleh petugas Israel. Sewaktu pemeriksaan terakhir, saya diminta oleh pegawai bertugas untuk ke ruang soal jawab. Ada juga beberapa orang dari group kami mengalami situasi yang sama dan ada juga yang ditahan untuk di soal siasat kerana membawa Al-Quran dan disuruh untuk menyelak satu persatu helaian muka surat Al-Quran untuk diperiksa. Setelah beberapa jam barulah segala urusan kami selesai. Walau mengalami beberapa situasi yang tidak diduga tetapi segala urusan di pintu sempadan berakhir dengan baik.
Tour leader membawa kami menziarahi tempat-tempat bersejarah termasuk makam para Nabi dan pejuang Islam. Kami juga berpeluang melihat tempat yang dipercayai terikatnya buraq, seterusnya menunaikan solat di masjid Al-Aqsa. Pertemuan dengan Imam Al-Aqsa merupakan pengalaman paling berharga buat saya. Di samping itu, menurut tour leader kami (yang berasal dari sana) kumpulan kami adalah yang pertama dari Malaysia melawat Tel Aviv. Sebelum ini, ada kumpulan yang mahu melawat Tel Aviv tetapi tiada rezeki. Walau tidak terlalu lama di Tel Aviv, jurang perbezaan antara Tel Aviv dan Jerusalem amatlah besar. Bila teringat balik, kasihan dengan saudara Islam kita yang sentiasa hidup dalam kekurangan dan perlu sentiasa berjuang mempertaruhkan nyawa demi keluarga dan agama.
Kami menetap di hotel yang lebih kurang 1 kilometer dari masjid Al-Aqsa. Setiap subuh kami akan berjalan dari hotel ke masjid. Ia dikawal ketat oleh beberapa tentera Israel yang memegang senjata. Segala perjalanan keluar masuk ke masjid agak lancar. Kami juga diberitahu mungkin tentera Israel akan soal siasat lelaki yang lebih muda. Dan jawapan perlu jujur iaitu mahu ke masjid untuk solat.
Kali pertama menjejaki masjid Al-Alqsa di waktu subuh membuatkan saya sebak sehingga mengalirkan air mata usai menunaikan solat. Sangat bersyukur, Allah memilih saya untuk merasai pengalaman bersolat di masjid yang merupakan kiblat pertama umat Islam. Sebenarnya, setiap kali kami pergi ke masjid, sebelum memasuki perkarangan masjid dan melihat tentera-tentera Israel yang memegang senjata sedikit sebanyak ada perasan gusar dan tidak selesa sewaktu melewati mereka. Walau bagaimanapun, bila tiba di dalam masjid dan mendengar bacaan Al-Quran oleh jemaah perasaan tenang datang secara semulajadi.
Bagaimanapun, pada hari Jumaat sebelum kami menunaikan solat Jumaat, tour guide memaklumkan selesai sahaja menunaikan solat sebolehnya cepat-cepat keluar dari kawasan masjid kerana di sana sering berlaku pergaduhan antara umat Islam dan tentera Israel. Malah, kalau dilihat di dalam masjid ada kesan-kesan pergaduhan.
Selesai sahaja solat, kami dengan pantas keluar dari masjid dan pergi ke tempat yang diminta untuk menunggu bersama ahli kumpulan lain. Sedang kami menunggu, tiba-tiba berlaku pergaduhan antara orang-orang Palestin dan tentera Israel. Perkara pertama yang terlintas sudah pasti ibu saya dan rakan-rakannya. Bagaimana mereka mahu berlari atau menyelamatkan diri jika berlaku perkara yang tidak diingini. Ada juga beberapa ahli kumpulan kami tidak tiba ke tempat yang di minta untuk berkumpul.
Tour leader dengan pantas menyuruh kami segera meninggalkan kawasan masjid dan akan mencari beberapa orang yang tidak kelihatan. Alhamdulillah, seluruh ahli kumpulan kami selamat.
Ketika di sana kami sentiasa on-the-go bersama group untuk berziarah dari satu tempat ke satu tempat. Interaksi kami agak terbatas untuk beramah mesra dengan penduduk setempat. Bagaimanapun, jika bertemu jemaah di masjid kami akan memberi salam dan berbual sambil bertanya khabar. Jika mereka bertanya dan tahu kami dari Malaysia, serta merta mereka akan tersenyum dan sangat gembira.
Ini jelas dapat dilihat pada suatu malam, suami kepada teman saya solat berjemaah di saf depan. Selesai solat, suaminya bersama adik-beradik menegur Imam. Selepas mengetahui mereka dari Malaysia, Imam Masjid Al-Aqsa terus mengajak beliau dan kumpulan kami untuk diberi tour di sekitar masjid. Lebih bermakna, Imam berbesar hati mengajak kami ke tempat istirehatnya untuk mengenali kami dengan lebih dekat. Menurut Imam, beliau sangat berterima kasih dan bersyukur dengan sifat pemurah orang Malaysia.
Satu lagi kisah menarik iaitu ada seorang kanak-kanak bernama Ishaq sering muncul. Ishaq cukup disenangi kerana sering menawarkan bantuan kepada kami. Dialah jurugambar termasuk memberi info-info jika kami memerlukan petunjuk untuk berjalan sekitar kawasan hotel dan pasar. Jika ada orang tua yang memerlukan bantuan, Ishaq orang pertama akan membantu. Ketika saya berkongsi gambar Ishaq di Instagram, ada beberapa rakan dari Malaysia yang pernah menjejaki ke bumi Palestin juga mengenali Ishaq.
Saya juga mempunyai teman rapat berasal dari Palestin yang menetap di Malaysia sekarang. Bagi saya orang Palestin sikatnya suka membantu, baik hati dan ikhlas bila melakukan sesuatu. Bila terkenang kebaikan mereka, terasa kasihan pula dengan saudara Islam kita di sana. Disebabkan sikap terlalu baik, mereka ditindas oleh Zionis.
Buat Rakyat Palestin, kalian adalah pejuang umat Islam yang kuat dan terpilih oleh Allah SWT untuk berdepan dengan kekejaman Yahudi. Teruskan berjuang. Sesungguhnya kemenangan akan berpihak kepada umat Islam tidak lama lagi.
Untuk rakyat Malaysia, teruskan membantu saudara Islam kita yang berada di Palestin selagi boleh. Jika tidak dapat membantu dari segi tenaga dan wang ringgit, panjatkan doa untuk kesejahteraan dan keselamatan mereka. Perjuangan mereka sangat besar. Doa adalah senjata terkuat buat saudara Islam kita di sana.
Kredit Foto: Koleksi Peribadi Dato’ Farah Zarina
Pernah Bercita-Cita Jadi Jurutera Bunyi, Akhirnya Dr Shasa Aziz Pilih Bidang Audiologis.Bantu Ramai Atasi Masalah Pendengaran

Kajian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO mendapati kebanyakan golongan muda masa kini bakal berhadapan dengan masalah pendengaran akibat perubahan gaya hidup masa kini. Penggunaan fon telinga, terdedah kepada persekitaran kerja yang bising serta bunyi rekreasi menjadi antara punca utama golongan remaja dan dewasa awal mengalami masalah pendengaran.
Beberapa kajian yang telah dijalankan baru-baru ini telah menunjukkan peningkatan dalam bilangan orang muda yang terdedah kepada bunyi yang kuat melalui peranti mudah alih dan di tempat hiburan. Lebih banyak penyelidikan diperlukan semasa pendedahan kepada bunyi bising di awal kehidupan dan hubungannya dengan pendengaran apabila umur orang ramai.

NONA berkesempatan bertemu dengan Dr Nur Shasa Ain binti Tan Sri Abdul Aziz (Dr Shasa Aziz) yang juga merupakan pengasas dan ketua Audiologis di Eartistic Hearing and Balance Centre, Kembara Utan dan Ola & Oli kids untuk bercerita mengenai lebih lanjut mengenai masalah pendengaran ini serta kepentingannya untuk jangkamasa panjang.
Menurut Dr Shasa yang juga merupakan Ikon Wanita Wilayah Persekutuan, masalah pendengaran adalah keadaan kesihatan kronik ketiga yang paling sering dilaporkan kerana masalah pendengaran ini bukan sahaja akan menjejaskan kualiti hidup untuk jangka pendek, masalah ia memberi impak terhadap jangka masa panjang apabila seseorang individu meniti usia emas.
“Kajian telah menunjukkan bahawa kehilangan pendengaran yang tidak dirawat dikaitkan dengan kebimbangan, kemurungan, kesepian, dan tekanan. Sebagai tambahan kepada kehilangan pendengaran, pendedahan bunyi kronik telah dikaitkan dengan peningkatan penyakit jantung, peningkatan tekanan darah, dan kesan buruk kesihatan lainnya,” ujar Dr Shasa ketika ditemui di Program Kempen Kesihatan “Are You Okay” Kuala Lumpur Bersama Kelab Wanita Ikon Malaysia baru-baru ini.
Menurut Dr Shasa yang kini sedang bersaing merebut gelaran Wanita Ikon Malaysia ini amat menitikberatkan soal penjagaan kesihatan secara holistik untuk wanita kerana wanita memainkan peranan yang penting dalam pelbagai aspek kehidupan baik sebagai isteri, ibu mahupun ketika meniti usia sebagai warga emas kelak.
Pada program yang dianjurkan di Flat PPR Jelatek itu, antara pengisian program yang telah dijalankan termasuklah senaman, ceramah kepentingan pendengaran untuk pekerjaan, penjagaan tulang belakang untuk individu yang bekerja di pejabat, ujian saringan kesihatan, pendengaran dan fisioterapi.
Mengulas lanjut mengenai penjagaan kesihatan pendengaran, Dr Shasa yang menerima Ijazah Kedoktoran Audiologi (Au.D) dengan kepujian dari NOVA Southeastern University, Fort Lauderdale, Florida, Amerika Syarikat pada tahun 2011 dan Sarjana Muda Audiologi (BSc) pada tahun 2008 dari University College of London (UCL) ini mengakui kebanyakan wanita kurang mengambil serius mengenai soal pendengaran berbanding kesihatan yang lain.
Beliau juga diperakui oleh American Insititute of Balance (AIB), Cognitive Behavioral Therapy (CBT) dan jurulatih bertauliah “Dangerous Decibels” berkata wanita masa kini lebih mengutamakan penjagaan dari segi luaran tetapi mengabaikan aspek kesihatan pendengaran.
“Saya rasa sudah tiba masanya untuk wanita memberi tumpuan terhadap penjagaan pendengaran kerana menurut kajian, wanita mempunyai jangka hayat lebih panjang berbanding kaum lelaki.
Jadi, sekaligus sudah tentu penjagaan kesihatan secara holistik amat penting untuk memastikan wanita tidak terlalu bergantungan terhadap generasi muda dan dapat menikmati usia emas dalam suasana yang kondusif,” ujar Dr Shasa yang amat mengharapkan pendedahan awal terhadap isu ini lebih baik kerana wanita sememangnya mempunyai potensi yang baik sepanjang hayat.
Dr. Shasa merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Pakar Audiologi Kebangsaan Malaysia (MANSA) dan juga ahli Persatuan Pertuturan dan Pendengaran Malaysia (MASH). Pada masa ini, beliau adalah presiden pro tem Persatuan Alat Pendengaran Malaysia. Baru-baru ini beliau telah dianugerahkan Wanita Waja 2021 oleh Jabatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan 100 “Top Young CEO” 2021.
Menyentuh mengenai penglibatan beliau sebagai Ikon Wanita Wilayah Persekutuan pula, Dr. Shasa Aziz percaya menjadi Wanita Ikon Malaysia membolehkan beliau meneroka keperluan wanita di Malaysia secara holistik dan membawa beliau selangkah lebih dekat kepada sasaran yang betul dalam mengejar impian dalam mencipta impak kepada masyarakat dan membentuk diri beliau sebagai “change agent” kepada masyarakat.
Dr Shasa juga percaya perjalanan ini akan memberikan beliau keyakinan untuk memimpin lebih ramai wanita di Malaysia. Ibu kepada dua cahayamata ini merupakan presiden pro tem Persatuan Alat Pendengaran Malaysia.
Dr. Shasa Aziz percaya menjadi Wanita Ikon Malaysia membolehkan beliau meneroka keperluan wanita di Malaysia secara holistik dan membawa beliau selangkah lebih dekat kepada sasaran yang betul dalam mengejar impian dalam mencipta impak kepada masyarakat dan membentuk diri beliau sebagai “change agent” kepada masyarakat. Beliau juga percaya perjalanan ini akan memberikan beliau keyakinan untuk memimpin lebih ramai wanita di Malaysia.