Siri animasi Anak-Anak Sidek cukup sinonim dalam kalangan kanak-kanak sekitar tahun 1990an. Walau dah lebih 20 tahun siri tersebut disiarkan di kaca televisyen namun pasti ramai yang masih mengingati jalan cerita lima adik-beradik lelaki kelahiran Banting, Selangor tersebut yang didedahkan dengan sukan badminton hingga berjaya menjadi jaguh tanah air.
Selain ditayangkan menerusi animasi, Anak-Anak Sidek juga diterbitkan melalui komik dan menjadi komik biografi pertama di Malaysia. Komik berkenaan diterbitkan selama 10 tahun iaitu dari tahun 1995 hingga 2005.
Lebih membanggakan ia pernah diulang cetak beberapa kali dari 1995 hingga 2005 ekoran permintaan yang tinggi dan dilancarkan semula pada 2008 beserta VCD animasi.
Salah seorang anak kepada Haji Sidek yang terkenal dalam arena sukan badminton ialah Datuk Abdul Rashid Mohd Sidek. Walau sudah bersara namun khidmat dan kepakarannya masih diperlukan.
Sekaligus diberi tanggungjawab menjadi jurulatih skuad badminton kebangsaan sampai sekarang.
Baru-baru ini Datuk Rashid mengiringi pemain badminton remaja bagi Temasya Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China dari 28 Julai hingga 10 Ogos lepas. Pasukan negara berjaya merangkul pingat gangsa bagi temasya tersebut.
Berpuluh tahun menabur bakti demi negara tercinta, bekas pemain nombor satu dunia ini sebenarnya seorang family man. Pada 8 Julai lepas Datuk Rashid genap berusia 55 tahun dan anak kepada pasangan Dato’ Haji Mohd Sidek dan Datin Rukinah.
Kian bahagia melayari alam rumah tangga bersama isteri tercinta, Datin Azehan Abdul Halim, difahamkan Datuk Rashid mula mengenali cinta hatinya sejak wanita itu berusia belasan tahun.
“Isteri ialah anak saudara kepada arwah isteri Datuk Misbun Sidek. Saya kenal dari usia dia 13 tahun. Kami mula serius umur saya 34 tahun dan isteri 23 tahun sebelum memutuskan untuk melangsungkan perkahwinan.”
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 21 Mac 2003. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ikhwan, Azwin berusia 18 tahun, Eizran 14 tahun dan Irfan, sembilan tahun.
Adik-beradik Datuk Rashid Sidek ialah Rusitah, Datuk Misbun, Datuk Razif, Datuk Jalani, Rahman dan Zamaliah Sidek.
Kesemua adik-beradik lelaki Datuk Rashid terlibat dalam arena badminton antarabangsa dan mendapat pendedahan serta bimbingan daripada bapa mereka.
Melakar pelbagai kejayaan era 90an, selain pernah memegang gelaran pemain badminton nombor satu dunia Datuk Rashid Sidek juga memenangi pingat emas perseorangan lelaki Sukan Komanwel, Auckland, Perseorangan Lelaki Sukan Komanwel, Victoria, Juara Perseorangan Piala Asia dan Juara Perseorangan Terbuka Malaysia.
Legenda badminton negara yang berjaya membawa Malaysia muncul juara Piala Thomas 1992 dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/jadi-jutawan-umur-18-emma-raducanu-atlet-tenis-termuda-pelajar-pintar-romania-china/