Peka dengan masalah wanita yang kurang keyakinan diri akibat mempunyai masalah kulit wajah, Che Puan Sarimah Ibrahim mengambil keputusan untuk mencipta sendiri formula produk kecantikan yang menawarkan pelbagai manfaat kecantikan. Bahkan, ia bukan sahaja sesuai untuk dirinya, tapi juga wanita lain di luar sana.
“Sudah lebih 20 tahun saya mengenakan mekap atas sebab tuntutan kerja sebagai seorang pelakon, penyanyi dan pengacara. Adakalanya ia tak sesuai dengan kulit dan seterusnya akan menyebabkan jeragat, jerawat dan kulit berminyak.
Jadi saya mengambil keputusan untuk membuat sendiri produk kecantikan dengan formula yang mengandungi minyak argan, pegaga dan Vitamin C”, jelas pengasas produk Thrill by Sarimah Ibrahim ini.
“Lagipun, dengan cara ini saya dapat membantu wanita di luar sana untuk tampil lebih berkeyakinan setiap kali melangkah keluar rumah”, tambahnya lagi.
Ditanya tentang persaingan lambakan produk kecantikan di pasaran, isteri kepada cucunda YDP Negeri Sembilan, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar atau Tunku Jamie ini ternyata sudah bersedia menghadapi cabaran.
“Saya tidak takut dengan persaingan produk lain kerana saya memang seorang yang suka akan cabaran. Lagipun, hasrat untuk memiliki jenama produk kecantikan sendiri ini sebenarnya sudah lama tersimpan dan baru kini impian itu menjadi kenyataan”, jelasnya yang mempunyai strategi jualan tersendiri untuk memperkenalkan produknya itu.
Menjadi ‘tiket’ buat sesetengah artis untuk menjual produk atau karya dengan mencipta kontroversi. Namun, tidak bagi beliau.
“Semenjak daripada awal pembabitan dalam bidang seni, saya memang tidak pernah menggunakan kontroversi atau isu viral untuk menjual bakat dan mencari publisiti. Jadi, cara yang sama juga saya akan gunakan dalam strategi pemasaran produk ini”, jelas Che Puan Sarimah yang terpaksa tolak dua tawaran berlakon filem kerana ingin fokus dengan bisnes dan rumah tangga yang dibina bersama Tunku Jamie pada tahun 2015 terlebih dahulu.
Biasa lah, dunia perniagaan pasti ada cabarannya. Pernah ditipu oleh pengilang sehingga menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit membuatkan beliau lebih berhati-hati dalam perniagaan.
“Nasihat saya untuk anda yang ingin memulakan perniagaan supaya sentiasa berhati-hati. Tidak kira bersama kawan baik atau keluarga, pastikan setiap perjanjian yang dilakukan ada bukti hitam putih dan kontrak”, kata wanita kacukan Melayu-Irish ini.
Kagum dengan semangat dan niat murni Che Puan Sarimah membantu meningkatkan tahap keyakinan diri wanita dengan caranya tersendiri. Semoga usahanya ini dapat menjadi ikutan.
Dua produk Thrill by Sarimah Ibrahim, Perfecting Finish Compact Powder (RM90) dan Superstar Treatment Cushion Foundation (RM95) telah dijual secara eksklusif dalam talian di Lazada Malaysia.
Kredit foto: Che Puan Sarimah Ibrahim & Blackpaper Production