Unduk Ngadau merupakan pertandingan ratu cantik dan tersohor di Sabah. Ia diadakan setiap tahun secara berperingkat bermula dari daerah sampailah ke negeri. Setiap peserta pertandingan akan tampil dengan busana tradisional mewakili daerah atau zon masing-masing. Unduk Ngadau menjadi acara utama bagi setiap kali perayaan Kaamatan.
Tahun ini, gelaran Unduk Ngadau yang menjadi rebutan para sumandak Sabah menjadi milik seorang guru sekolah rendah iaitu Frenerietta Sobitun.
Sumandak berusia 25 tahun yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Institut Pendidikan Guru Kampus Temanggung Ibrahim, Johor Bahru ini berasal dari Tambunan dan mengajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai-Sungai, Beluran.
Kejayaan Frenerietta ini juga menjadi kesinambungan kepada kejayaan wakil dari Sandakan yang pernah memenangi gelaran itu pada tahun 1996.
Selain kecantikan, penampilan, sikap serta kebijaksanaan, kriteria penting untuk menjadi peserta Unduk Ngadau ialah boleh bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing seperti Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus. Peserta juga perlu ada ilmu mendalam tentang budaya masing-masing serta aspek berkaitan dengan Unduk Ngadau.
Pertandingan ini pernah dibatalkan pada tahun 2020 kerana pandemik COVID-19 namun ia disambung semula pada tahun 2021 di mana Maya Hejnowska dimahkotakan sebagai ratu Unduk Ngadau peringkat negeri.
This website uses cookies.