Bercerita ragam orang mabuk cinta memang melucukan. Zaman sekarang, pasangan lebih selesa berhubung menggunakan Whatsapp dan follow each other di Instagram. Kalau berjauhan, buat saja video call untuk melepas rindu.
Berbeza benar dengan zaman dulu-dulu. Cinta mereka lebih kukuh dan berpanjangan, meskipun jarang berjumpa. Perkongsian Datuk Abd. Jalil Ali ini tentang kisah cinta opahnya buat Nona tersenyum simpul, aduh romantis betul bunyinya! Norzalina Mohd Alias
=============================
Mengingat kisah cinta opah selalu membuat saya ketawa. Katanya, dulu-dulu posmen tidak ada, hendak berhubung menerusi surat pun susah. Pada hal buah hatinya tinggal sekampung, berselang hanya beberapa rumah.
Namun kerap juga dia menerima bingkisan hati dari kekasihnya, menerusi surat tulisan tangan, huruf jawi. Tanpa bersampul, surat itu dihantar bukan menerusi posmen, tetapi oleh adik perempuan si teruna yang sekelas mengaji al-Quran dengan opah.
Isi surat itu pendek sahaja, biasanya menyatakan rasa rindu dendam yang bukan kepalang. Apa yang penting di akhir warkah ada pesanan: “Hujung minggu ini ada majlis khatam Quran di rumah Tok Ketua. Kakanda hendak adinda datang, boleh kita bersua muka!”
Kalau hendak membalas surat, posmen cilik itu juga yang akan opah gunakan. Tanpa setem, tetapi opah memberi upah 5 sen kepada posmen sambilan itu. Ada ketikanya surat tidak sampai ke tangan kekasih, sebab di tengah jalan dirampas oleh abah atau ibu penerima.
Opah sudah lama meninggal dunia – semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan para solehah! – tetapi dapat saya bayangkan begitu sukarnya komunikasi dua kekasih di era pra-merdeka yang serba kekurangan itu. Opah akhirnya kahwin dengan buah hatinya itu, bahagia hingga ke anak cucu.
Zaman saya bercinta sudah ada telefon; radio pun sudah ada di setiap rumah. Kalau hendak menggunakan telefon dia mesti menunggu di kedai runcit berhampiran rumahnya, itu pun sekiranya diizinkan oleh Cina tauke kedai. Ada ketikanya saya menyampaikan kerinduan menerusi rancangan Lagu Permintaan di radio.
Suara juruhebah bertugas akan berkumandang di udara: “Lagu ‘Semalam Berlalu Esok Menanti’ dendangan Rafeah Buang ini diminta oleh… untuk ditujukan kepada kekasihnya… dengan ucapan ‘tiap kali merenung bulan, teringat daku senyuman manis mu’…”
Biasanya seminggu selepas itu, radio yang sama pula akan menyiarkan lagu kirimannya untuk saya, disampaikan oleh juruhebah: “Lagu ‘Seruling Anak Gembala’ nyanyian Jeffry Din ini diminta oleh… untuk buah hatinya… dengan ucapan ‘jika merenung bulan di langit, jangan lupa rumput di bumi’…”
Tetapi saya lebih suka menyatakan hasrat hati menerusi surat. Walaupun tidak bertulisan jawi, bahasa ala-ala zaman opah masih saya gunakan: “Almukaram, ke hadapan adinda yang kucintai. Ketika kakanda menulis warkah ini, alam keliling amat sunyi dan dingin. Purnama menyinari malam, bunyi cengkerik menghiasi sepi…”
Hari-hari berikutnya saya menunggu posmen datang membawa surat balasan darinya. Surat ditulis atas kertas warna ungu, ditaburi bedak wangi. Bahasanya indah, selalu diakhiri dengan lambang hati tertusuk anak panah, dengan kata-kata: “Tanpamu hidupku tidak bererti…” Malam itu saya tidur menonggeng sambil memeluk bantal.
Siri berbalas surat meluahkan isi hati ini berterusan penuh asyik ‘masyuk’. Surat-surat berbedak wangi itu saya simpan bawah bantal, menciumnya berulang kali sebelum tidur. Tetapi semenjak dua menjak ini surat-surat saya tidak berbalas. Tiga surat saya hantar dalam sebulan, satu pun tidak berbalas. Saya bimbang dia sakit, sedangkan kerinduan ini semakin memuncak.
Akhirnya terjawab segala kebimbangan, apabila satu hari posmen datang membawa surat darinya. Tidak lagi berbedak wangi, yang datang itu bukan surat cinta, tetapi kad undangan perkahwinan. Dulu dia kata ‘tanpamu hidupku tidak bererti…’. Tiba-tiba dia kahwin dengan orang lain, addusss!
Saya ingat pada era ICT, luahan hati menjadi jauh lebih mudah, dan tanpa sebarang halangan. Dengan segala kecanggihan teknologi, hari ini apa sahaja yang tersirat di hati dapat disampaikan menerusi maya. Luahan perasaan – tidak kira suka atau duka – boleh dihantar dan diterima menerusi gadget. Percintaan boleh diindahkan setiap saat, tanpa batasan waktu.
Tidak kira anda dan kekasih berjauhan beribu batu, kemesraan dapat dijalin setiap detik menerusi Whatapps, Facebook, Twitter, SMS dan lain-lain jaringan media sosial. Percintaan di alam maya lebih mudah, lebih cepat. Tetapi, bahasa dan perkataan yang disampaikan menerusi maya, tidak seindah dulu-dulu. Bahasa maya ringkas, malah lintang-pukang.
Contoh, sekiranya berhalangan, si dia hanya menulis menerusi gadget: “Sori, x leh g cos skit gg…” Untuk menyatakan rasa cinta, tidak perlu lagi menulis kata-kata berbunga, memadai mengirim lambang cinta dan sekuntum bunga menerusi Whatapps. Kata-kata cinta pun disampaikan hanya dengan dua huruf: ‘lv’. Cinta Internet, lebih mudah dan ringkas. Cinta dulu-dulu lebih syahdu.
Cinta sebenar saya adalah kombinasi lama dan baru. Tiga dekad dulu, kami bercinta cara lama. Sekali-skala bersua ketika hujung minggu, makan, menonton dan hantar dia balik ke rumah.
Sekarang setelah 33 tahun kahwin, saya gunakan juga kecanggihan maya untuk terus berhubung dengannya, terutama ketika saya bertugas di luar kota. Selalu saya bermaya dengannya. “Take care, lv u!” Tidak kira menerusi surat, telefon, radio hatta menerusi media sosial, cinta mesti selalu dihangatkan! Abd Jalil Ali.
This website uses cookies.