Perasaan amarah memang ada dalam diri setiap individu. Dengan pelbagai tekanan hidup yang dihadapi membuat perasaan marah mudah meluap-luap.
Tambahan bagi mereka yang berkerjaya dan memikul tanggungjawab yang berat di pejabat, ditambah dengan masalah lain sudah cukup untuk menjadikan kita seorang yang mudah marah. Namun, perlu diingat bahawa sikap pemarah yang melampau bisa memusnahkan kerjaya anda.
Oleh itu adalah penting bagi anda belajar mengawal kemarahan untuk menjadi orang yang berjaya. Apakah kesan amarah terhadap kerjaya anda?
- Sikap marah yang tidak dikawal akan menjejaskan hubungan sesama rakan pejabat. Tugasan kumpulan sukar berjalan lancar akibat masalah komunikasi yang timbul daripada sifat pemarah yang kurang menyenangkan rakan sekerja yang lain. Akibatnya, tugas yang dipertanggungjawabkan tidak mendapat hasil yang sempurna.
- Untuk menjadi ketua yang berjaya, anda memerlukan sokongan dan kerjasama daripada pekerja bawahan. Namun sekiranya lagak anda bak singa lapar, anda hanya mencipta rasa takut staf terhadap anda, bukan rasa hormat kepada seorang ketua. Kerja yang dilakukan oleh pekerja anda mungkin bukan dengan perasaan ikhlas. Malah yang lebih teruk, mereka hanya bekerja seperti “melepas batuk di tangga”.
- Urusan dengan pihak ketiga, misalannya pelabur ataupun pelanggan boleh terjejas dengan sikap panas baran anda. Anda mungkin akan hilang peluang perniagaan.
- Sebagus mana pun kerja anda, ketua anda mungkin berfikir berkali-kali sebelum menaikkan pangkat anda. Pasti mereka khuatir dengan sikap pemarah anda yang akhirnya mengundang masalah dalam menguruskan tugas atau jabatan yang di ketuai.
- Orang yang pemarah, mudah mengalami kemurungan. Jiwa yang tidak tenteram ini boleh membawa pelbagai masalah kesihatan dan akhirnya menjejaskan prestasi kerja anda.
Petua Mengendali Marah
(a) Pernafasan
Apabila berada dalam keadaan marah, tarik nafas dalam-dalam selama 10 saat dan hela sekuat hati. Lakukan untuk beberapa kali sehingga rasa marah anda reda. Walaupun kelihatan mudah namun tetap berkesan. Anda akan rasa lebih lega dan minda lebih rasional dalam membuat setiap keputusan.
(b) Kira 1 hingga 10
Ketika marah anda sedang meluap-luap, cubalah mengira 1 hingga 10. Percayalah, kaedah ini pasti akan dapat meredakan tekanan dan mengurangkan kemarahan anda.
Walaupun ia tidak dapat memadamkan keseluruhan perasaan marah, sekurang-kurangnya 10 saat ini sempat memberi peluang anda berfikiran dan bertenang. Oleh itu, setiap tindakan yang dibuat tidak dikuasai oleh perasaan.
(c) Luahkan kemarahan anda
Sekiranya seseorang itu telah membuat anda marah, larikan diri anda daripada situasi tersebut untuk seketika. Bercakap dan luahkanlah apa yang terbuku dengan orang yang rapat dengan anda. Sekiranya tiada sesiapa yang boleh pendengar luahan hati anda, cari kawasan yang tiada orang di sekeliling, bercakaplah dengan diri sendiri.
Katakan atau menjeritlah apa yang ingin anda luahkan. Ambil masa tenangkan diri sebelum kembali semula kepada situasi tadi.
(d) Mulakan dengan ‘saya’ dan bukannya ‘awak’
Apabila berlaku pertengkaran, pastikan setiap pernyataan yang anda buat terhadap pihak kedua bermula dengan perkataan “saya” dan bukannya “awak”. Misalnya, “Saya berasa amat kecewa dan hampa!”, bunyinya lebih baik berbanding “Awak mengecewakan saya!”.
Kata-kata yang dibuat ini tidak bersifat menyalahkan dan pihak kedua juga tidak akan bersifat defensive. Sikap finger point to each other dapat dielakkan dan seterusnya api kemarahan dapat dikurangkan mahu pun dielakkan.
(e) Salurkan tenaga kemarahan anda
Dalam keadaan marah, tenaga yang dikeluarkan adalah berlipat ganda tinggi. Daripada anda bertindak menumbuk dinding, meja, mahupun orang yang anda marah, ada baiknya tenaga itu disalurkan ke tempat yang lebih berfaedah.
Berlarilah sekuat hati, pumping, kick boxing, atau apa sahaja riadah sekiranya anda dalam keadaan marah. Lakukan sesungguh hati sehingga anda berasa puas dan letih. Percayalah, ia dapat membantu. Perasaan marah anda akan hilang. Oleh itu, simpanlah tali skipping atau kasut joging di pejabat. Anda pasti memerlukannya nanti.
(f) Menerawang fikiran
Ketika marah, pejamkan mata anda seketika. Bayangkan wajah orang yang tersayang, ataupun tempat yang indah. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan untuk anda memejamkan mata, cukup dengan menerawang fikiran sebentar.
Kaedah ini dapat melarikan fikiran anda daripada perkara yang menimbulkan kemarahan. Anda akan kembali tenang untuk menghadapi situasi tegang. KR