Makcik Kiah dah upgrade dengan gelaran Sis Kiah sekarang. Baru urban katanya! Ketawa sendiri. Yang penting hati dan keikhlasan dalam dirinya masih sama, tak berubah.
Biar perubahan itu hanya pada perkembangan perniagaan yang semakin maju. Kalau dulu Makcik Kiah jual goreng pisang tepi jalan, sekarang alhamdulillah Sis Kiah sudah ada restoran makan biarpun kecil.
Jika kita punya semangat yang besar, maka usaha akan ditaburkan untuk menaiki tangga tertinggi. Semangat adalah pusat penggerak yang membentuk keperibadian dan mengawasi organ-organ tubuh.
Semangat yang ada pada Sis Kiah juga sangat tinggi, membakar jiwa dengan kekuatan yang ada dalam usaha memburu nilai-nilai kemuliaan. Dan pastinya semangat besar itu datang dengan izin Allah.
Sis Kiah sentiasa menghiasi diri dengan semangat dan cita-cita, maka perbuatan yang tidak berfaedah dan merugikan akan tersingkir dengan sendirinya. Dengan semangat ini, Sis Kiah tidak pernah gentar menghadapi apa sahaja dugaan dan cabaran. Sedangkan orang yang kehilangan semangat akan mudah gentar dan berasa lemah bila diuji.
Sis Kiah selalu ingatkan diri sendiri dan teman sekeliling, jangan campur-adukkan semangat yang besar itu dengan kesombongan. Kedua-duanya tidak harus berada dalam waktu dan masa yang sama.
Semangat yang besar seharusnya menjadi mahkota di dalam hati seseorang yang selalu berusaha untuk menjadi lebih baik dengan keperibadian mulia. Sentiasa mencari peluang untuk berbuat baik, rindu dan haus untuk mencapai tujuan dan sasaran dalam hidupnya.
Bagi Sis Kiah, kesombongan adalah virus yang paling keji kerana dengan kesombongan mampu membawa seseorang itu jatuh ke jurang kehinaan. Sis Kiah berpesan lagi, tanamkan semangat yang besar itu dalam diri anda dan jangan berpaling dari-Nya. Bawalah cita-cita itu bersama dengan sentiasa bertakwa kepada Allah.
Orang yang pandai adalah mereka yang bijak menggembirakan hati dan jiwanya. Dengan cara ini segala cita-cita akan tercapai dengan sempurna. Disamping itu kita sentiasa perlu meningkatkan ilmu dengan membaca dan menulis untuk membuatkan minda sentiasa berfikir.
Salah satu cara terbaik untuk menajam dan mengawal fikiran adalah melakukan pekerjaan yang menyenangkan dan bermanfaat kerana orang yang tidak membuat apa-apa akan terus hidup dalam khayalannya dan mula membuat pelbagai cerita yang tidak jelas dalam kehidupan.
Membiarkan diri dalam kekosongan itu sama keadaannya dengan membunuh diri dan merosakkan tubuh dengan dadah.
Kerana itu, Sis Kiah menyeru untuk bangkit sekarang juga bagi mencapai segala cita-cita biarpun setinggi bintang.. Bunuhlah setiap waktu kosong itu dengan ‘pisau’ kesibukan kerana itu jaminan bahawa anda telah mencapai 50% kebahagiaan. Bangunlah dari hanya bermimipi, bawa cita-cita dan semangat besar anda untuk maju ke hadapan.
This website uses cookies.