“Cita-Cita Dia Dalami Ilmu Islam Dari Bercinta Lagi,” SHAFEEQA Kagum Peribadi Suami, ATU ZERO!

Tersentuh dengan kesederhanaan pasangan suami isteri ini. Mana tidaknya, walau suami berstatus pelawak terkenal tanah air namun cukup merendah diri. Malah mereka juga berjiwa prihatin dan ‘sarat’ dengan impian untuk membantu golongan susah. Alhamdulillah!

Lebih lima tahun melayari alam rumah tangga bersama Atu Zero membuatkan Shafeeqa Johari lebih matang sebagai wanita dan isteri. Selamat bernikah dengan selebriti berasal dari Sabah itu pada Februari 2016, Shafeeqa yang merupakan bekas pereka fesyen meluahkan rasa syukur kerana sepanjang berkahwin suami tercinta telah banyak mengajarnya erti sebuah kehidupan.

Perkara tersebut didedahkan Shafeeqa di Instagram miliknya. Kongsi ibu berusia 34 tahun ini, “Saya kan, suka dengar apa yang suami saya cerita. Setiap apa yang dia ceritakan itu adalah cita-cita dia. Tak pernahlah dia cakap teringin nak pakai kereta mewah itu, baju branded ini, kasut mahal itu ini.

Kadang-kadang apa yang dia pakai mahal tu saya yang belikan dia untuk dia kerja. Tak adalah mahal sampai tak masuk akal tapi reward

untuk dia yang penat bekerja.

Cita-cita anak nelayan, arwah bapa dia gaji awal bulan RM150, akhir bulan RM150. Kadang-kadang minta advance dengan bos, beras untuk 7 orang anak. Ikan kadang-kadang Atu pegi jual dari rumah ke rumah. Berbeza sangat hidup dia dan life saya.”

Jelas Shafeeqa lagi, “Bukan mereka tak pandai tapi peluang tu tak ada. Nak sambung belajar kan banyak pakai duit. Dia lepas SPM terus nak bekerja. Berbeza dengan saya, habis SPM ayah suruh ambil kursus perakaunan. Lesen kereta dan motor saya ada sejak umur saya 17 lagi. Atu tak, semua dia usaha sendiri. Kadang-kadang kagum dengan dia.

Dia nak capai tahap tak nak terkesan dengan makhluk tu susah sangat. Tapi macam mana dia boleh sabar, apa orang nak cakap tu cakaplah. Dia akan usaha untuk cita-cita dia.”

Sejak menyertai pertandingan Raja Lawak, latar belakang hidup susah Atu atau nama penuhnya Sharid Kunal Doli Sharif dari kumpulan Zero ini bukan lagi rahsia. Tak pernah malu mengaku status anak kepada nelayan, kegigihan figura ini untuk berjaya memang patut dijadikan teladan.

Sebagai isteri, Shafeeqa yang merupakan usahawan kek lapis dan dessert

ini rasa sangat kagum dengan semangat suami yang berusaha mengejar ‘saham’ akhirat saban hari. “Jadi artis bukan cita-cita Atu ya. Dia pun tak terjangka yang rezekinya di pentas seni. Tapi cita-cita dia untuk mendalami ilmu Islam itu memang dari saya bercinta lagi dengan dia. Jadi saya tunjuklah apa yang saya tahu.

Ya!! Sayalah yang ajar dia alif, ba, ta.. sampai satu tahap saya minta dia berguru dengan ustaz yang betul-betul. Sebab saya isteri, nak betulkan suami tentang sebutan tu saya sendiri segan. Baik berguru kan. Kang nanti saya mengajar pegang rotan. Sekarang? Duk pulun ajar Sumayyah pulalah, lagi payah rupanya ajar anak ni.

InshaAllah saya happy jika suami saya happy. Dia bukan orang senang tapi dia berusaha untuk kehidupan. Banyak yang saya belajar dari Atu walaupun dia 5 tahun lebih muda dari saya.”

Hasil perkongsian hidup selama lima tahun, Shafeeqa dan Atu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Sumayyah yang lahir pada 9 November 2016 dan Sharif Salahuddin kini berumur dua tahun.

Selain mengusahan bisnes makanan, Shafeeqa dan Atu turut aktif membuat kerja-kerja amal. Sebelum ini kedua-duanya pernah memberi sumbangan kelengkapan PPE kepada petugas barisan hadapan dan terbaharu mereka mengagihkan set kelengkapan jenazah khas buat golongan tidak berkemampuan dan fakir miskin.

Difahamkan misi Atu untuk menyediakan van jenazah juga telah dimakbulkan baru-baru ini. Semoga kebaikan yang ditunjukkan pasangan selebriti ini menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk bersama-sama melakukan kebaikan.

 

Kredit foto: Instagram Atu Zero & Shafeeqa Johari

Share
Published by
Suzi