Gaya Hidup

Cita Rasa Unik ‘Iron Man’, Transform Kincir Angin Jadi Kediaman Menyeronokkan!

Macam tak percaya ini adalah kediaman Robert Downey Jr yang melakonkan watak hartawan Tony Stack dalam filem Iron Man. Bersandarkan status pelakon bertaraf dunia yang membintangi filem box office Avengers, pasti ramai yang beranggapan kediaman Robert besar bak istana dan tersergam mewah seperti kebanyakan mahligai selebriti Hollywood lain. Hakikatnya, aktor kacak yang menerima bayaran paling mahal di Hollywood ini lebih selesa mendiami rumah yang santai, jauh dari hiruk-pikuk kota selain dapat memenuhi cita rasa uniknya di sisi keluarga tersayang.

Demi memastikan privasi seisi keluarga terjaga, Robert dan isteri yang merupakan seorang penerbit sepakat memilih Hamptons sebagai lokasi kediaman mereka. Walau kemudahan yang terdapat di sana tidak secanggih di bandar New York yang berada kira-kira 128 kilometer dari rumahnya namun ia menghidangkan panorama pantai yang indah dan persekitaran alam semula jadi mengagumkan. Bahkan rumah agam Robert dan Susan terletak di kawasan persendirian yang lengkap dengan halaman luas dan pemandangan menakjubkan.

Menerusi laporan Architectural Digest (AD) yang berpeluang melawat kediaman Robert pada tiga tahun lalu, difahamkan rumah selebriti ini dahulunya merupakan struktur bangunan kincir angin abad ke-19 yang diubah suai menjadi sebuah rumah yang lengkap dengan ruang tamu, bilik mandi, bilik pejabat dan kamar tidur sama seperti kediaman lain.

Bayangkan, daripada sebuah tempat untuk menjana elektrik, ia kini ditransformasikan menjadi sebuah kediaman sempurna dan selamat diduduki. Lain macam betul taste ‘Iron Man’ ni!

Dalam temu bual bersama pasangan suami isteri terkenal tersebut, mereka menyifatkan mahligai ini sebagai zon selesa bagi mereka sekeluarga dan amat menenangkan. “Kami tidak membina rumah dengan sesuatu yang pelik. Kami hanya mahu menikmati tempat tinggal yang membuatkan kami rasa selesa dan menyeronokkan. Serta tidak membosankan.”

Atas faktor keselamatan dan privasi, alamat rumah mereka tidak didedahkan kepada umum tetapi salah satu ‘landmark’ yang menandakan lokasi rumah tersebut ialah kewujudan sebuah gereja yang terletak berhampiran dan puncak gereja berkenaan dapat dilihat dari pintu masuk rumah mereka. Melangkah ke perkarangan halaman rumah sahaja, anda akan ‘disambut’ dengan beberapa bentuk arca seni.

Memetik laporan AD lagi, tempoh masa yang diperlukan untuk pereka hiasan mencantikkan rumah ini mengikut kehendak Robert ialah dalam lingkungan enam minggu. Manakala proses keseluruhan ubah suai pula memakan masa kurang dua bulan. Selain Robert dan Susan, kediaman ini turut dihuni dua anak comel mereka, Exton dan Avri serta dua ekor kucing peliharaan.

Istimewanya, ruang tamu kediaman ini berada dalam struktur kincir angin yang berbentuk octagon yang mempunyai lapan sisi. Hasil kreativiti pereka hiasan dalaman dan idea
suami isteri ini, mereka berjaya menghiasi sudut tumpuan tersebut dengan menarik.

Lebih-lebih lagi dengan adanya ruang pendiangan api yang diperbuat daripada seramik dan padanan perhiasan rumah yang sarat dengan elemen seni. Ia sekaligus mencerminkan personaliti Robert yang berjiwa seni dan Susan yang menginginkan hiasan praktikal serta berbeza daripada kebiasaan.

Cantikkan ruang kediaman anda di sini.

Share
Published by
Suzi