“Comel Semua..Ikut Bapanya!” 36 Tahun Dalam Industri, Dek Awet Muda Ramai Tak Tahu BELL NGASRI Dah Berfamili

Umum mengetahui pelakon dan pelawak Bell Ngasri atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri memulakan kerjaya lakonan sebagai pelakon kanak-kanak bersama dengan abang, Naszeli Ngasri dan dua orang adiknya iaitu Darling Ngasri dan Anne Ngasri. Bapanya, Ngasri Sain pula merupakan penyampai radio.

Berkarya dalam industri seni selama 32 tahun, rezeki Bell dalam bidang lakonan juga tak pernah padam. Meskipun dirinya tidak popular seperti selebriti lain, namun beliau masih diterima dan menjadi perhatian produser televisyen (TV) dan filem.

Dan gara-gara watak Barkoba yang dilakonkannya dalam filem 18 Puasa di Kampong Pisang arahan Mamat Khalid, nama Bell terus jadi perhatian sehinggalah namanya dicalonkan untuk ABP tahun ini.

Justeru, apabila namanya tersenarai sebagai finalis kategori Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, Bell menyifatkan pencalonannya itu sebagai sejarah peribadi buatnya.

Selain bakatnya, apa yang menarik perhatian warganet adalah wajah Bell yang awet muda dan tidak dimamah usia.

Baru-baru ini Bell yang bergambar bersama keluarga menerusi foto dirakam bersempena Hari Raya Aidilfitri di mana Bell kelihatan sebaya dengan anak seakan seperti adik beradik. Wajahnya langsung tidak menggambarkan usianya yang sebenar.

Yang menariknya, padanlah ramai yang tak mengetahui yang Bell Ngasri juga sudah bekeluarga dan dah memiliki tiga orang anak, seorang cahaya mata lelaki dan dua orang cahaya mata perempuan.

Memang kalau dilihat Bell tidak berubah langsung daripada segi rupa dan fizikal. Masih lagi kekal seperti dulu walaupun anak-anak semakin meningkat dewasa. Tengoklah juga adik beradik Bell, Anne dan Darling yang juga kekal awet muda, persis zaman remaja dulu.

Melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hati Nur Farhana “Syasya” binti Muhammad Fauri, pasangan ini dilihat cukup serasi dan bahagia bersama. Untuk pengetahuan, Farhana juga terlibat dalam bidang seni di mana dia merupakan seorang penulis skrip handalan.

Semoga keluarga ini dirahmati tuhan dan bahagia hingga ke akhir hayat!

***

Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

Share
Published by
Wan Firdaus