Comelnya Aya! Ramai Hajat Nak Ambil Jadi Anak Angkat, Bayi Ajaib Yang Lahir Bawah Runtuhan Gempa Turkiye-Syria Jadi Perhatian

Tak berkelip mata memandang kecomelan Aya, bayi perempuan yang dilahirkan di bawah runtuhan gempa bumi di bandar Jindires di barat laut Syria. Digelar ‘bayi ajaib’, si kecil ini diselamatkan beberapa jam selepas gempa bumi bermagnitud 7.8 dalam keadaan selamat masih hidup. Aya ditemui masih berhubung dengan tali pusatnya kepada ibunya, Afraa.

Kekuatan 7.8 magnitud itu dikatakan sekuat 32 bom nuklear yang dijatuhkan di Hiroshima. Dahsyatnya kemusnahan muka bumi dan banyaknya jiwa yang terkorban!

Ibunya bersalin sejurus selepas bencana itu melanda dan melahirkan anak sebelum dia meninggal dunia. Bapa Aya, Abdullah, empat adik beradik dan ibu saudaranya meninggal dunia.

Pakar kanak-kanak Hani Maarouf, berkata bayi yatim piatu itu telah dinamakan Aya, dieja sebagai آية yang bermaksud ‘menakjubkan’ atau ‘hebat’ di dalam bahasa Arab. Masya-Allah sememangnya ajaib, si kecil ini melalui proses kelahiran yang tragis.

 

 

Bapa saudara Aya, Khalil Al-Suwadi berkata dia mengorek runtuhan rumah abang iparnya apabila terlihat kaki biras yang sedang sarat hamil.

“Kami mendengar suara semasa menggali, membersihkan habuk dan menemui bayi dengan tali pusat. Jadi kami memotongnya dan sepupu saya membawanya ke hospital.”

 

Lelaki itu terus menggali batu-bata dan logam di kawasan rumah itu dengan harapan ibu bayi itu masih hidup namun sayangnya Afraa mati syahid. Tubuhnya ditemui tidak lagi bernyawa.

Susulan itu Aya selamat dibawa ke hospital di Afrin, wilayah Aleppo.

Rakaman media sosial menunjukkan seorang lelaki berlari dari runtuhan bangunan lima tingkat membawa bayi kecil yang terhimpit habuk itu.

Lelaki kedua berlari ke arahnya sambil membawa selimut untuk memanaskan bayi baru lahir itu dalam suhu rendah beku manakala seorang lagi menjerit meminta bantuan kenderaan tular di laman sosial.

 

Dr Hani berkata Aya tiba di hospital dalam keadaan teruk, dengan lebam dan luka seluruh badan di samping hipotermia susulan kesejukan yang teruk. Beberapa gambar menunjukkan Aya sihat dan masih berada di dalam inkubator dikongsikan.

Aya adalah salah seorang daripada beribu kanak-kanak yang terjejas oleh dua gempa bumi dahsyat yang melanda selatan Turki dan barat laut Syria.

Tengoklah kecomelan Aya ni, patutlah ramai yang simpati dengan nasibnya dan berhajat nak jadikan Aya anak angkat!

 

 

 

Menurut Sinar Plus, angka kematian semakin meningkat setiap jam, kini mangsa terkorban lebih 50,000 orang. Hospital, rumah, kedai dan juga seluruh kawasan kejiranan musnah dalam beberapa saat oleh gempa bumi berukuran 7.8 magnitud pertama, dengan pusat gempa di Gaziantep, Turki.

Gegaran itu diikuti dengan gegaran susulan yang hampir sama besar dirasai melalui negara jiran dengan hampir 650 lagi gegaran dilaporkan selepas itu. Bencana alam itu antara yang paling kuat dalam sejarah serta telah menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka runtuh.

 

***********

Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)

***********

Share
Published by
Norzalina