
Comelnya Muhammad Jibril! Puas menyembunyikan wajah dan kelahiran zuriat baharu daripada pengetahuan umum, akhirnya Fatin Afeefa dan suami terbuka mendedahkan buah hati kesayangan mereka kepada khalayak baru-baru ini.
Enggan lagi berahsia, pasangan suami isteri berkenaan membuat pendedahan tersebut sempena Majlis Akikah Muhammad Jibril yang berlangsung pada 6 Oktober lalu.
Sebelum majlis meraikan kehadiran Muhammad Jibril, suami Fatin Afeefa iaitu Aliff Awang atau lebih dikenali sebagai Opai terlebih dahulu berkongsi status dirinya yang sudah pun bergelar bapa.
Kenyataan itu dibuat Opai dalam satu sedutan video yang dimuat naik di media sosial.
Memetik kenyataan Opai, sudah tiba masa dia berkongsi tentang kelahiran anak sulungnya kepada umum selepas dimarahi ibu dan isteri. Apatah lagi, bayi comel yang diberi nama Muhammad Jibril mencecah usia tujuh bulan.
Dalam majlis akikah itu, pelakon cantik berusia 30 tahun berkenaan anggun dalam persalinan dres biru muda. Sedondon dengan suami tercinta dan anak tersayang. Majlis bertemakan rona putih dan biru lembut ini turut dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat.
Penampilan Fatin Afeefa atau nama sebenarnya Fatin Nur Afifah Shamsudin dalam majlis itu meraih tumpuan. Bukan hanya tampil lebih berseri-seri, kelembutan dan kematangan ibu ini juga jelas terserlah.
Fatin Afeefa sah bergelar isteri kepada usahawan Aliff Awang pada Disember 2022.
Pelakon filem Tentang Bulan tersebut turut dikurniakan dua orang anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu Adam Aisy Arrian dan Ivy Herra Sophia.
Fatin pernah membintangi filem dan drama popular antaranya Maksimum, Kampung Drift, Red Velvet, Janji-Janji Annisa, Volkswagen Kuning dan Monalisa.
Selain berbakat dalam seni lakonan, bakat nyanyian Afeefa juga mula disedari ramai selepas dia menyertai sebuah program nyanyian.
Selalu Hadap Gajet Punca Muka Jadi Kusam & Nampak Tua, Betul Ke?

Kini setiap orang mempunyai handphone untuk keperluan harian. Bukan sahaja generasi milenium tidak boleh hidup tanpa gajet malah golongan veteran juga tidak ketinggalan.
Gajet sudah menjadi item keperluan yang akan di bawa ke mana-mana saja. Sebelum tidur mesti meneliti Instagram, Facebook, Snapchat atau mengedit gambar. Malah sebaik sahaja bangun tidur terus meneliti notifikasi sebelum mula bersenam.
Tidak ada salahnya gila gajet tetapi tahukah anda kebiasaan terlalu menghadap gajet boleh menyebabkan kulit kusam dan cepat tua. Tidak percaya? Perhatikan apa yang dilakukan secara tidak sengaja bersama gajet dan solusi mengatasi masalah cepat tua dengan gajet.
(a) Terlalu lama menunduk
Ketika melayari Internet atau melihat sosial media di telefon pintar, anda sering menunduk. Jika menunduk terlalu lama dan dilakukan saban hari selama berjam-jam akan membuat kulit leher berkedut dan membentuk lipatan. Jika umur masih terlalu muda tetapi kulit leher sudah berlipat dan berkedut pasti mengundang rasa malu dan hilang keyakinan diri. Bukan itu sahaja tabiat ini mengundang penampilan kurang menarik, otot leher menjadi kaku dan mata cepat penat.
Apa yang boleh dilakukan:
Kerap membuat regangan di bahagian leher, muka dan mata. Jangan biarkan otot di kawasan sekitar ini kaku dan penat. Selain itu, boleh memelihara kecantikan kulit leher dengan menggunakan produk khusus untuk leher. Anda boleh menggunakan topeng atau mask di kawasan leher untuk meningkatkan jumlah sel-sel untuk regenerasi kulit serta meningkatkan kadar lembapan kulit leher. Terdapat juga ekstrak buah-buahan yang boleh merangsang pengeluaran kolagen di bahagian kulit leher.
(b) Kemunculan mata panda
Apa yang sering dilakukan ketika tersekat di jalan raya? Selfie, edit gambar atau bermain candy crush? Jangan tipu diri sendiri, paling tidak anda akan stalk Instagram rakan atau artis pujaan. Apa yang dilakukan tidak baik untuk mata kerana daya tumpu diarah kepada gajet yang kecil itu. Terlalu lama menatap skrin telefon pintar akan membuat ketajaman mata semakin menurun, mata cepat kering, merah dan penat. Tahukah anda apabila mata menjadi kering akan mempengaruhi kelembapan kulit di sekitar mata.
Gelombang biru terpancar melalui telefon pintar atau gajet lain boleh mengganggu ritma tidur tanpa sedar. Berjaga malam sambil memaksa mata memberi tumpuan pada skrin gajet akan mewujudkan mata panda.
Apa yang boleh dilakukan:
Pastikan mata berehat selepas 20 minit menghadap gajet. Anda boleh juga melakukan senaman mata seperti melihat pokok-pokok hijau yang paling jauh di mata. Selain itu jangan lupa menyapu krim mata untuk memberi lembapan di kawasan kulit sekitar mata. Istilah mata panda apabila kawasan kulit sekitar mata menghitam, kulit kering dan berkedut. Hyaluronic acid (HA) boleh membantu memberi lembapan dan mengurangkan kedutan.
(c) Skrin gajet punca jerawat
Kadang-kadang sukar dipercayai bahawa gajet menjadi punca jerawat. Tetapi ini adalah hakikat sebenarnya. Anda menyentuh skrin telefon pintar atau gajet lain ratusan kali sehari dan ia diletakkan di pelbagai tempat malah ada yang menjadi teman setia ketika di dalam tandas. Gajet jarang sekali dibersihkan atau nyahbakteria, setuju kan? Ditambah lagi dengan mulut manusia penyumbang utama bakteria. Kombinasi dua elemen ini memindahkan bakteria ke wajah dan jerawat akan muncul.
Apa yang boleh dilakukan:
Amalkan membersihkan skrin telefon pintar setiap hari. Anda boleh juga menghilangkan jerawat dengan membuat rawatan wajah khusus untuk membuang jerawat. Jika tidak mahu membuat rawatan di spa atau klinik boleh melakukan sendiri dengan membeli krim mengeringkan jerawat. Baca dengan teliti kandungan krim tersebut dan sesuai dengan jenis kulit. boleh juga menggunakan madu dan lemon untuk mengecutkan jerawat secara semula jadi.
JANGAN LUPA TEMU JANJI KITA.
Jangan Keluar Rumah Tanpa SUNBLOCK! 3 Doktor Wanita Ini Beri Tip Capai Impian Cantik

Kecantikan sememangnya agak subjektif untuk diperkatakan. Setiap wanita mahupun lelaki pastinya mahu kelihatan cantik dan bergaya demi meningkatkan keyakinan diri terutamanya ketika berada di khalayak umum. Penjagaan wajah dan tubuh menggunakan bahan semula jadi sememangnya membantu proses kecantikan tetapi umum sedia maklum ia mengambil sedikit masa berbanding penggunaan kaedah rawatan moden yang lebih dikenali sebagai medispa.
Tampil cantik dan memilih kaedah rawatan medispa sebagai gaya hidup, tiga orang doktor kecantikan ini gembira membantu wanita mahupun lelaki mengecap impian mereka terutamanya menjelang Aidilfitri.
PENJAGAAN KULIT SATU KEPERLUAN
Nama: Dr Ismaliza Ismail
Umur: 37 tahun
Pekerjaan: Doktor Kecantikan dan Anti Penuaan
1.Apakah kepentingan penjagaan kecantikan untuk wanita masa kini?
Dr Ismaliza: Kecantikan dan wanita sememangnya tidak boleh dipisahkan. Wanita kini sudah semakin bijak untuk mendapatkan rawatan kecantikan dari mereka yang bertauliah. Jadi seandainya mereka mempunyai soalan mengenai produk dan kulit, mereka boleh berjumpa dengan orang yang sebetulnya, iaitu doktor yang mempunyai tauliah dalam bidang kecantikan.
2.Apakah definisi cantik bagi diri anda?
Dr Ismaliza: Pada pandangan saya, definisi cantik adalah kesempurnaan dari aspek luaran mahupun dalaman. Kita perlu menjaga kecantikan yang bermula dari dalaman iaitu sihat tubuh badan, barulah kesihatan luaran itu terserlah. Selain itu bukan sahaja kesihatan jasmani tetapi juga dari rohani. Aura positif dan fikiran yang selalu ke arah kebaikan. Itu sebenarnya cantik.
3.Pandangan anda mengenai wanita masa kini? Adakah mereka mengetahui kepentingan penjagaan kulit kepentingan penjagaan kecantikan melalui kaedah medispa terutama menjelang musim perayaan?
Dr Ismaliza: Pada pandangan saya, wanita kini lebih bijak. Mereka tahu apa yang mereka perlu dan apa yang mereka tidak perlu. Dengan kecanggihan teknologi masa sekarang, wanita kini makin bijak untuk mendapatkan produk produk kecantikan untuk diri mereka dan servis kecantikkan untuk kulit mereka terutama menjelang musim perayaan. Wanita masa kini hanya perlu bijak dan mempunyai satu hala tuju dimana mendapat kulit yang sihat adalah satu kecantikan yang terkini. Jadi saya rasa, kecantikan dan wanita pada masa kini lebih sinonim kerana mereka akan mengkaji sesuatu perkara itu terlebih dahulu. Bila ada pertubuhan medispa pada masa sekarang, ia merupakan bonus lagi untuk mereka mendapatkan khidmat kepada mereka yang bertauliah.
4..Pada pandangan anda, bagaimana mahu menggalakkan wanita menjaga penampilan diri terutama di musim perayaan?
Dr Ismaliza: Bagi saya untuk menggalakkan wanita menjaga penampilan diri adalah bermula dari pendidikan bila kita serapkan pendidikan seawal usia kanak-kanak, kerana mereka sudah mempunyai stigma untuk menjaga kecantikan kulit kerana penjagaan kulit ini merupakan satu amalan yang bukan perlu dibuat buat dan bukan mengikut trend. Penjagaan kulit adalah kemestian bagi setiap orang kerana kulit adalah organ dan kulit juga perlu dijaga seperti kulit kulit yang lain. Tanpa kulit kita sebenarnya tak boleh hidup sebab kulit sebenarnya adalah perlindungan kepada tubuh badan kita. Jadi untuk menggalakkan golongan wanita menjaga kecantikkan kulit, kita perlu memberi informasi informasi yang tepat dan betul dan semua ini patut bermula dari awal lagi.
5. Pada pandangan anda, apakah produk penjagaan wajah yang perlu ada dalam rutin seharian wanita?
Dr Ismaliza:Untuk penjagaan rutin, bagi pendapat saya ada lima perkara yang perlu kita tahu. Yang pertama, untuk penjagaan dalaman pastikan cukup vitamin cukup air. Kedua, penjagaan luaran pastikan mengunakan pencuci muka yang betul mengikut keadaan kulit dan seterusnya adalah pelembab muka ataupun serum dan yang terakhir adalah sunblock .
KECANTIKAN DAN KESIHATAN SEIRING
Nama: Dr Nurfitri Putrianti
Umur: 32 tahun
Pekerjaan: Pegawai Perubatan Estetik
1.Apakah kepentingan penjagaan kecantikan untuk wanita masa kini?
Dr Nurfitri:Wanita masa kini lebih prihatin soal penjagaan kulit. Mereka lebih memahami jenis kulit dan mencari jalan terbaik untuk rawatan yang selamat bagi mereka. Mereka bijak mencari maklumat mengenai proses yang terjadi pada kulit mereka selama rawatan berlangsung. Pengetahuan tentang rawatan kulit perlu diberi perhatian bagi memahami lebih lagi mengenai permasalah kulit.
2.Apakah definisi cantik bagi diri anda?
Dr Nurfitri:Suami saya pernah memetik sebuah ungkapan yang selalu saya ingat sampai sekarang, ‘Beauty is in the eye of the beholder’. Maksudnya persepsi orang terhadap kecantikan ialah berbeza tergantung dari mata siapa yang memandang. Bagi saya semua orang memiliki kecantikan tersendiri, namun tidak semua orang boleh menghargai kecantikan dalam diri masing-masing. Yang penting ialah ‘self content‘ dan sentiasa berfikiran positif.
3.Pandangan anda mengenai wanita masa kini? Adakah mereka mengetahui kepentingan penjagaan kulit kepentingan penjagaan kecantikan melalui kaedah medispa terutama menjelang musim perayaan?
Dr Nurfitri: Saya rasa wanita masa kini semakin mamahami konsep pentingnya penjagaan kesihatan kulit. Mereka tidak tergesa-gesa dan lebih bijak dalam memilih apa yang baik dan apa yang tidak. Mereka tidak hanya menginginkan kecantikan semata-mata, tapi juga kesihatan kulit mereka. Sebab itulah ramai wanita masa kini yang mencari khidmat medispa untuk mendapatkan rawatan yang profesional.
4.Pada pandangan anda, bagaimana mahu menggalakkan wanita menjaga penampilan diri terutama di musim perayaan?
Dr Nurfitri: Penjagaan kesihatan kulit sebaiknya dimulai sejak kecil. Kita mesti memahami bahawa kulit adalah organ terbesar manusia yang mesti dijaga juga sama halnya dengan organ yang lain. Ia yang akan melindungi kita dari radiasi cahaya matahari, pencemaran, dan kuman. Ia juga akan membantu kita untuk mengatur kadar suhu dalam tubuh. Serta memberi kita kecantikan fizikal. Oleh itu, kita semestinya menjaga ia sebaik mungkin kerana ianya amat penting.
5. Pada pandangan anda, apakah produk penjagaan wajah yang perlu ada dalam rutin seharian wanita?
Dr Nurfitri: Sunblock. Jangan sesekali mulakan hari anda tanpa sunblock. Sentiasa terapkan dalam fikiran untuk tampil sihat sebelum tampil cantik.
KEPENTINGAN TAMPIL CANTIK
Nama: Dr. Noor Syazwani Bt Redzwan
Umur: 30 tahun
Pekerjaan: Pakar Kecantikan Estetik
1.Apakah kepentingan penjagaan kecantikan untuk wanita masa kini?
Dr Noor Syazwani: Bagi saya ianya adalah sangat penting bagi seseorang wanita untuk memperkasakan diri. Sesibuk mana pun seseorang itu, dia tidak sepatutnya mengabaikan penampilan dan kesihatan mereka.
2.Apakah definisi cantik bagi diri anda?
Dr Noor Syazwani: Yakin dengan diri sendiri. Bagi saya seseorang yang mempunyai keyakinan diri akan sentiasa kelihatan cantik. Tetapi untuk mendapatkan keyakinan diri itu, kita haruslah menjaga kesihatan badan dan kulit. Masyarakat kita amat taksub untuk menjadikan kulit mereka putih. Proses ‘bleaching’ yang disebabkan oleh bahan kimia seperti hydroquinone dan merkuri akan merosakkan kulit dan boleh menyebabkan kanser kulit dan kegagalan fungsi hati dan buah pinggang. Harus diingat bahawa kecantikan tidak mengenal warna.
3.Pandangan anda mengenai wanita masa kini? Adakah mereka mengetahui kepentingan penjagaan kulit kepentingan penjagaan kecantikan melalui kaedah medispa terutama menjelang musim perayaan?
Dr Noor Syazwani: Ramai yang sudah tahu mengenai kepentingannya, namun kekangan masa dan kewangan menjadi faktor yang menghalang mereka.
4.Pada pandangan anda, bagaimana mahu menggalakkan wanita menjaga penampilan diri terutama di musim perayaan?
Dr Noor Syazwani: Kita harus membuatkan mereka sedar bahawasanya penampilan diri itu bukanlah untuk ditonton oleh orang tetapi untuk kepuasan diri sendiri. Seperti yang saya katakan tadi, kecantikan diri seseorang terletak pada keyakinan dirinya. Jadi, lakukannya untuk diri anda sendiri, bukan untuk orang lain!
5. Pada pandangan anda, apakah produk penjagaan wajah yang perlu ada dalam rutin seharian wanita?
Dr Noor Syazwani: Semestinya sunblock! Ramai yang masih mengambil remeh penggunaan sunblock. Harus diingatkan sinaran UV adalah tidak sihat untuk kulit. Sinaran UV lah yang merosakkan kolagen, menyebabkan pigmentasi dan ini akan membuatkan anda kelihatan tua sebelum usia (premature aging). Antara rahsia kecantikan dikalangan doktor estetik sebenarnya ialah sunblock. Ia adalah perkara yang terbaik yang boleh anda berikan khusus buat kulit anda. Adalah sia-sia jika anda menggunakan seluruh set anti penuaan, tetapi tidak menggunakan sunblock, kerana penyebab utama penuaan kulit adalah matahari. Jadi, lindungilah kulit anda dengan menggunakan physical sunblock dan oral sunblock
KRIS DAYANTI Dedah Guna DNA SALMON Untuk Cantik, Tapi Ini Pula Penjelasan Pakar Nutrisi!

Pendedahan Kris Dayanti tentang amalan petua cantiknya beberapa hari lepas nyata mendapat reaksi netizen. Ada yang mengagumi kulit gebu dan awet muda yang dimiliki penyanyi ternama Indonesia ini dan tidak kurang juga yang mempertikaikan tip cantik berkenaan. Kris Dayanti atau lebih mesra di sapa KD yang ditemui dalam program online Indonesia, Ngopi Dara akhirnya terbuka berkongsi salah satu rahsia kecantikan beliau.
Memetik laporan Kompas.com selebriti berusia 44 tahun itu menyatakan dia ada melakukan rawatan kecantikan menggunakan DNA ikan salmon. Wow, pertama kali dengar ni!
“Jadi itukan memang untuk brightening. Pakai DNA dari ikan salmon,” ujar KD yang turut menyatakan selain karbohidrat, tubuh manusia juga memerlukan lemak omega 3 dan salah satu ikan yang kaya dengan manfaat itu ialah salmon.
“Kerana tubuh kita kan selain karbohidrat, kita juga perlu lemak dari omega itu. Makanya pakai DNA salmon.”
Difahamkan rawatan berkenaan dilakukan secara suntikan. Kata pakar kecantikan yang merawat KD, melihat keadaan kulit isteri Raul Lemos itu hanya setahun sekali sahaja rawatan berkenaan dilakukan. Kongsinya lagi, “Kami lakukan rejuvenation (peremajaan) dengan DNA ikan salmon. Di Korea dan Singapura banyak memakai DNA ikan salmon. Makannya kulit orang Korea itu bagus, bersih dan bersinar.”
Mengetahui pendedahan KD itu, Dr Tan Shot Yen yang merupakan pakar nutrisi di Indonesia secara terang-terangan menyangkal kenyataan tersebut. Dia menegaskan omega 3 diperoleh dengan cara dikonsumi dagingnya bukan dengan dioleskan ke wajah apatah lagi suntik DNA ikan.
Untuk pengetahuan, omega 3 memiliki 17 fungsi yang baik untuk tubuh. Namun perlu diingat, omega 3 hanya didapati dengan cara dimakan. Antara manfaat omega 3 untuk kesihatan tubuh badan manusia adalah seperti berikut.
- Pertumbuhan otak & mata sejak dalam kandungan (sesuai untuk ibu hamil)
- Menangani panik dan depresi
- Membantu kesihatan mata
- Menurunkan risiko penyakit jantung dan pembuluh darah
- Menurunkan gejala ADHD
- Memperbaiki kualiti tidur
- Membantu kesihatan kulit
- Mencegah gejala keradangan
- Mengawal lemak pada hati
- Meningkatkan kesihatan tulang dan sendi
Sumber: Kompas.com