Kawasan kejiranan di sekitar Bangsar sememangnya dibanjiri dengan pelbagai restoran yang menyajikan pelbagai hidangan untuk dinikmati. Antara tarikan terbaharu lokasi menjamu selera di Kawasan yang popular itu ialah Adu Sugar, milik seorang chef yang pernah memenangi pengiktirafan di peringkat internasional. Namanya sememangnya popular bagi penggemar rancangan masakan realiti yang menampilkan peserta memasak dan diadili oleh chef yang berkelayakan.
Chef Adu Amran, membuka restoran terbaharunya bertempat di Jalan Ara Kiri, Bangsar sejak dua bulan yang lalu. Walaupun masih baharu, namun menu yang ditawarkan memikat selera masyarakat Malaysia yang sememangnya teliti dalam soal pemilihan makanan yang enak dan penuh citarasa.
Sudah menjadi trend kebanyakan kafe atau restoran kini terletak di tingkat atas bangunan rumah kedai. Sekaligus, ia memberi dimensi baharu terhadap persekitaran tatkala menjamu selera selain kepuasan menikmati hidangan yang enak dalam suasana yang berbeza. Restoran yang menyajikan hidangan klasik dari negeri Johor, negeri kelahiran Chef Adu Amran untuk hidangan makan tengahari manakala Chef Adu mengetengahkan konsep Creative Malaysia Cooking
untuk hidangan makan malam.Sebagai anak jati negeri Johor, para pengunjung usah lepaskan peluang untuk menikmati hidangan autentik Johor hasil air tangan chef terkemuka ini. Antara menu yang terdapat di sini termasuklah Laksa Johor, Asam Pedas dan penggunaan bahan masakan kegemarannya iaitu pisang salai di dalam kebanyakan menu yang disediakan.
Menurut Chef Adu, sebagai seorang chef yang mementingkan kualiti makanan yang disajikan kepada para pelanggan, dia lebih gemar mengambil inisiatif menyediakan sendiri bahan-bahan utama untuk setiap hidangan yang bakal disajikan.
“Saya amat mementingkan kualiti makanan yang dihasilkan di dapur Adu Sugar. Oleh itu, saya menitikberatkan soal penyediaan bahan rempah ratus yang bakal digunakan di dalam setiap sajian. Sebagai contoh, saya memasak sendiri kerisik untuk kegunaan dalam hidangan selain menyediakan sendiri cili kisar yang digunakan dalam hidangan. Saya amat cerewet dalam soal penyediaan makanan. Jadi, apabila menyediakan sendiri rempah ratus ini, saya tahu kualiti makanan dapat dikawal dan rasa yang enak,” ujar Chef Adu yang menyediakan sendiri menu yang bakal dinikmati oleh para pelanggan.
Seakan dapat mengagak pertanyaan penulis mengenai nama Adu Sugar, rupanya Chef Adu mempunyai cerita menarik di sebalik penggunaan nama Adu Sugar untuk restoran miliknya.
“Sugar atau gula merupakan nama timangan ayah saya selepas insiden di mana satu periuk gula yang sedang dimasak tumpah di atas badannya semasa dia masih kecil. Kesan parut inisiden tersebut masih ada sehingga kini. Sejak itu, penduduk kampung menggunakan nama tersebut sebagai nama timangannya,” ujar Chef Adu yang mengambil inisiatif mengekalkan nama tersebut sebagai simbolik untuk bapa tersayang.
Mungkin ramai yang belum tahu, Chef Adu sebelum ini pernah membuka sebuah restoran diberi nama Champor-champor yang dibuka di Langkawi pada tahun 1994 ketika usianya baharu mencecah 24 tahun. Namun, pada 1997, Chef Adu mengambil keputusan untuk berpindah ke London dengan harapan untuk mengetengahkan konsep makanan seperti Champor-champor di London. Berkat usaha selama tiga tahun, impian tersebut telah direalisasikan. Namun begitu, pada tahun 2011, Chef Adu mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air dan mula melibatkan diri dalam program reality Master Chef Malaysia pada tahun 2015.
Rasa rindu untuk menguruskan restoran membawa Chef Adu membuka “The Canteen by Chef Adu’ di mana ia membuka ruang untuk dirinya dalam bidang masakan yang digemarinya. Tidak hairanlah mengapa Adu Sugar menjadi kesayangan dirinya yang mementingkan kualiti makanan bagi menjamin rasa yang enak untuk kepuasan pelanggan.
Menyentuh mengenai dekorasi yang diterapkan di Adu Sugar, dapat dilihat Chef Adu menggunakan sisi kreatif yang ada dalam dirinya untuk menata segenap ruang di Adu Sugar. Sebaik sahaja pelanggan melangkah menaiki deretan anak tangga menuju ke restoran, terdapat sebuah bingkai pintu dari Asia yang diletakkan di ruang masuk ke restoran.
Selain itu, beberapa lukisan termasuklah lukisan mural yang menggunakan elemen China dan Baba Nyonya hasil kerja tangan Chef Adu menjadi tarikan utama di dalam restoran. Selain itu, beberapa lagi barangan antic yang terdapat di segenap ruang restoran termasuklah sebuah kerusi lama untuk mencabut gigi yang digunakan pada abad ke 14. Selain itu, koleksi kipas antik yang masih elok digunakan juga menjadi pilihan sebagai dekorasi dalaman di sini. Mata pasti tertarik dengan pelbagai koleksi antik milik Chef Adu yang dikumpul sejak 20 tahun yang lalu. Malah setiap barangan antik ini mempunyai keistimewaan dan kesan estetika tersendiri buat Chef Adu Amran.
Bagi penggemar hidangan autentik Johor, jangan lupa singgah untuk menikmati hidangan makan tengah hari di sini. Bagi anda yang tertanya-tanya apakah menu yang dikategorikan sebagai Creative Malaysian Cooking, jangan lupa untuk mencuba sendiri hidangan yang istimewa ini!
This website uses cookies.