Sudah sekian lama kita ‘terkurung’ di dalam rumah bagi membantu memutuskan rantaian COVID-19, tiba masanya untuk kembali bekerja atau berlibur.
Sinar matahari memang baik untuk kesihatan kulit kerana merangsang tubuh menghasilkan vitamin D. Namun, sisi lain jika terlalu terdedah kepada sinar matahari tanpa perlindungan mampu mengundang kesan buruk kepada kesihatan kulit. Kesan cahaya matahari bukan sahaja menghilangkan lembapan kulit malah merangsang jeragat dan noda hitam.
Justeru, bagi mengekalkan kecantikan dan kelembapan kulit perlu merawat kulit dengan teliti dan jangan sekali diabaikan. Tak perlu melakukan rawatan yang mahal di salon kecantikan cukup dengan ritual yang sederhana dan yang pasti kena konsisten.
KRIM TABIR SURIA
Lindungi kulit dengan krim tabir suria yang betul. Krim tabir suria melindungi kulit yang merangsang produksi melanin iaitu pigmen penentu warna kulit. Pilih tabir suria dengan kadar SPF 15 atau lebih. Kadar tersebut menunjukkan berapa efektif tabir suria mencegah kulit terbakar akibat sinar UVB. Seelok-eloknya pilih krim tabir suria dengan pelembap ekstra.
SERUM
Memang elok tidak pernah tinggal rutin menyapu krim pelembap setiap malam sebelum tidur. Namun, kini sudah tiba masa menukar rutin harian itu. Sapu serum sebelum tidur demi mengunci kelembapan kulit. Serum mempunyai molekul lebih kecil lantas menyalur nutrisi kepada lapisan kulit paling dalam yang tidak dapat ditembusi oleh krim pelembap.
Bukan sahaja boleh mengatasi masalah kulit kering serum juga membantu mengatasi masalah penuaan, pigmentasi dan pori-pori besar. Kelembapan kulit terus terpelihara dengan kuasa semula jadi sebaik bangun daripada tidur. Kulit terasa lebih anjal dan segar dengan berkeyakinan.
CUCI TANGAN
Dalam situasi sekarang kebersihan tangan sangat penting bagi membina benteng kepada tubuh untuk mencegah virus COVID-19. Jangan lalai dan mengabaikan sikap membersihkan tangan walau di mana sahaja berada. Selain membenarkan kuman dan bakteria jahat masuk ke dalam tubuh, tangan yang tidak bersih juga jika disentuh ke kulit wajah boleh menyebabkan jerawat. Gunakan hand sanitizer untuk membantu mengusir kuman dan bakteria. Sebaik-baiknya guna sabun untuk membersihkan tangan.
BEDAK ASAS
Langkah paling penting ketika memilih produk kosmetik adalah memiliki bahan pelembap yang tinggi. Terlalu terdedah kepada cahaya matahari juga menjadi punca kulit mudah terhidrasi dengan cepat. Bedak asas yang datang dalam bentuk krim boleh membantu mengekalkan kelembapan kulit. Sapu bedak asas secara nipis kerana formula pelembap ekstra boleh mencantikkan kulit khususnya wanita asia.
KRIM MATA
Ini merupakan salah satu produk yang wajib ada untuk semua wanita. Kesibukan kerja pejabat ditambah pula dengan urusan rumah tangga membuatkan ramai wanita tidak mempunyai tidur yang cukup apatah lagi mendapatkan tidur yang berkualiti. Lingkaran kulit bawah mata sangat sensitif dan ditambah pula sering terdedah kepada cahaya matahari. Krim mata merupakan magis kepada setiap wanita bagi menyingkirkan lingkaran gelap di bawah dan paling penting mengelakkan kedutan atau garis halus di bawah mata.
BODY BUTTER
Kita sering mendengar perkataan body butter tetapi tidak tahu apakah fungsi sebenarnya. Body butter adalah pelembap yang tidak mengandungi air dan jadi item cantik wajib dibawa dalam beg tangan . Pelembap jenis ini diadun antara minyak, butter (lemak padat) atau lilin. Oleh kerana tidak mengandungi air, body butter lebih likat dan umpama minyak yang membeku.
Wanita yang mempunyai kulit normal paling sesuai menggunakan body butter ini. Butter memberi sensasi kilau kepada kulit. Butter bukan solusi terbaik buat mereka yang mempunyai kulit kering kerana tiada kandungan air yang boleh membantu melembapkan kulit.
TEH HIJAU
Peminat teh pasti tahu ada berbagai jenis teh boleh diminum. Salah satu teh yang dapat membantu menjaga kesihatan dan kelembapan kulit adalah teh hijau. Teh hijau bukan sahaja baik untuk detoks tetapi juga mampu meningkatkan kadar lembapan kulit. Kandungan antioksida tinggi pada teh hijau mampu membuat kulit tetap lembap, segar, bebas masalah jerawat serta bintik hitam. Paling istimewa apabila teh hijau berupaya mengekalkan keremajaan kulit.
EKSFOLIASI KULIT
Regenerasi kulit berlaku 14 hingga 28 hari sekali namun apabila kulit terlalu terdedah kepada cahaya matahari, cuaca tidak menentu dan berbagai bahan kimia, proses regenerasi menjadi tidak optimal dan perlu dirangsang dengan eksfoliasi. Eksfoliasi berfungsi untuk membuang sel-sel kulit mati yang tertinggal lantas menghasilkan kulit wajah lebih cerah dan lembut.
Penjagaan lebih mudah kini kerana terdapat produk yang membantu eksfoliasi. Pilih gel khusus untuk eksfoliasi agar selesa dan bersesuaian dengan kulit. Gosok lembut ke wajah dan bilas dengan air bersih sehingga sempurna. Boleh juga menggunakan bahan yang terdapat di dapur seperti kombinasi gula pasir dan madu. Campur satu sudu gula pasir dengan dua sudu madu. Sapu ke seluruh wajah dan setelah rata urut secara perlahan-lahan. Bilas dengan air bersih.
PELEMBAP BIBIR
Jika bibir kering dan pecah-pecah pasti mengganggu mood seharian. Kurang minum air dan cuaca sejuk melampau menjadikan bibir kering dan mengelupas. Cara paling mudah untuk memelihara bibir kering adalah pelembap bibir. Jika memilih pelembap bibir yang mengandungi perlindungan terhadap sinar UVA dan UVB adalah suatu bonus.
MINUM AIR SECUKUPNYA
Bila kulit wajah dan kulit bibir sudah mula mengering, cuba periksa minuman yang sering diambil. Adakah anda melebihkan kafein, air bergula atau minuman karbonat setiap hari berbanding air kosong? Jika minuman ini menjadi pilihan sukar untuk membantu mengatasi masalah kulit kering dan mengelupas. Apa yang perlu dilakukan adalah minum air sekurang-kurangnya 2.5 liter air sehari.
KRIM CC
Color Correcting atau Complexion Corrector, lebih dikenali sebagai krim CC berfungsi untuk menyamarkan tona kulit wajah, melindungi kemerahan kulit dan menutup pigmentasi. Krim CC ini lebih sesuai digunakan oleh wanita matang kerana ia berupaya menutup permasalahan kulit wajah seperti tona kulit tidak sekata, garis-garis halus, kedut dan iritasi. Sifat krim CC yang kalis air dengan struktur rangkaian kukuh iaitu dibentuk oleh molekul yang tinggi membolehkan solekan bertahan sehingga 12 jam tanpa memerlukan sentuhan walaupun dalam cuaca yang panas.
Keistimewaan krim CC ini tidak menimbulkan kesan terlalu tebal, amat sekata pada kulit dan mudah menyerap ke liang sebum. Pada masa yang sama ia meresap pantulan daripada cahaya matahari untuk tona kulit semula jadi tanpa kesan minyak.