Ketibaan Aidilfitri sememangnya di sambut penuh meriah dan warna-warni. Seperti individu lain, Yana Najib tidak ketinggalan sambut raya tahun ini di samping keluarga tersayang. Tampil anggun dalam persalinan tradisi baju kurung bercorak bunga rona merah jambu, kelihatan suami dan anak-anak lelaki Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai ini sedondon berbaju Melayu warna merah.
Dalam perkongsian Yana atau nama sebenarnya Nooryana Najwa Najib Razak di media sosial, momen 1 Syawal anak kepada bekas Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak tersebut disambut serba sederhana namun meriah bersama keluarga tersayang.
Menerusi foto yang dimuat naik itu, Datin Seri Rosmah Mansor tampil berseri-seri mengenakan baju kurung merah lengkap berselendang.
Begitu juga anak lelaki Datuk Seri Najib, Norashman yang segak berbaju Melayu biru sambil ditemani isteri jelitanya, Nikola Mulyadi yang memakai baju kurung kuning bercorak bunga biru serta diserikan dengan aksesori rantai mutiara.
Pasangan ini sah bergelar suami isteri pada 16 Disember 2023.
Walau Yana Najib sambut raya tidak semeriah dan bermakna seperti dulu kerana ketiadaan bapa tersayang di sisi namun keluarga ini merayakan Aidilfitri dengan rasa syukur, gembira dan seadanya.
Lebih istimewa, keluarga ini turut menerima kehadiran ahli baharu yang juga cucu sulung perempuan buat Datin Seri Rosmah dan Datuk Seri Najib.
Puteri kesayangan Yana ini selamat dilahirkan pada 23 Ogos 2023. Bayi comel yang diberi nama Amelia Rahah Daniyar bakal mencecah usia lapan bulan.
Awal pagi Syawal, mereka sekeluarga turut meluangkan masa menziarahi pusara datuk dan nenek Yana iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarhamah Tun Rahah.
Yana mendirikan rumah tangga dengan Daniyar Kessikbayev berasal dari Kazakhstan pada 19 Mac 2015. Mereka kini menetap di Singapura.
Hasil perkongsian hidup, Yana dan Daniyar dikurniakan tiga orang anak iaitu Adam Razak, Aidan Najib Daniyar dan Amelia Rahah Daniyar.
This website uses cookies.