Pesona kerabat diraja Yang Mulia (YM) Tengku Asra Jehan Juzaila tiada tandingan. Personalitinya yang mesra dan penuh kelembutan membuatkan Tengku Asra disenangi ramai. Berdarah keturunan diraja namun Tengku Asra cukup merendah diri dan enggan menggunakan status diri untuk kepentingan peribadi. Jauh sekali meraih layanan istimewa daripada masyarakat.
Sejak belasan tahun lagi Tengku Asra sudah merantau ke luar negara demi mengejar impian untuk menyambung pelajaran. Berpuluh-puluh tahun menimba ilmu di negara asing, ia sedikit pun tidak melunturkan jati dirinya sebagai wanita Melayu yang sarat dengan nilai ketimuran.
Tengku Asra yang mempunyai darah keturunan diraja Pahang dan Negeri Sembilan ini merupakan puteri sulung daripada tiga beradik. Ayahanda dan bonda Tengku Asra berkahwin pada tahun 1974.
“Ayahanda saya ialah Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Azlan Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah iaitu anakanda kepada Almarhum Sultan Pahang Sultan Abu Bakar.
Manakala bonda saya Yang Amat Mulia Tunku Puteri Tunku Dato’ Seri Jawahir pula ialah anakanda kepada Almarhum Tuanku Jaafar yang merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-10.
Hasil perkongsian hidup, ayahanda dan bonda dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu seorang perempuan dan dua lelaki. Saya ialah puteri sulung dan ada dua orang adik lelaki,” ulas jelitawan ini yang meniti usia 46 tahun.
Tatkala ditanya sama ada keluarganya masih berpegang kuat kepada adat dan bahasa istana, ini jawapan Tengku Asra.
“Ya, kami masih amalkan adab dan adat istana sehingga hari ini. Misalnya apabila berbual dengan ayah atau ibu saudara, saya bahasakan diri sebagai patik.
Atau saya gunakan gelaran anakanda ketika bercakap dengan ayahanda dan bonda, gelaran adinda dan kekanda pula bila bersama adik-beradik dan sanak saudara.
Kalau tulis surat atau kad hari lahir pun sama. Tetap dengan gelaran seumpama itu. Bagi saya bahasa istana ini sangat istimewa kerana ia ‘halus’ dan perlu dikekalkan.”
Sebut sahaja keluarga diraja pasti ramai yang membayangkan gaya hidup mewah. Ke mana sahaja pergi golongan ini akan ditemani pembantu dan mendapat layanan khas. Hakikatnya, Tengku Asra menjalani kehidupan sama seperti insan lain.
“Dari kecil saya dididik oleh ayahanda, bonda dan nenda supaya selalu jaga nama baik keluarga. Ayahanda dan bonda sentiasa ajar kami tentang perikemanusiaan dan sikap merendah diri. Masa belajar di luar negara, saya jalani hidup macam pelajar lain yang naik bas atau berjalan kaki ke sekolah.
Kebanyakan rakan-rakan juga tidak tahu latar belakang keluarga diraja saya. Bersandarkan status yang saya bawa ini, saya perlu bijak pilih pergaulan dan juga aktiviti sosial supaya tidak mengundang persepsi negatif.
Kami adik-beradik sudah dilatih untuk jadi teladan baik kepada masyarakat demi menjaga imej dan nama keluarga. Dalam usia yang makin meningkat kini, saya jadi seorang yang sangat private person dan selektif bukan saja dengan siapa saya berkawan tetapi juga majlis-majlis yang saya perlu hadiri.
Dalam masa sama, saya turut ajar anak-anak dengan cara didikan yang sama seperti ayahanda dan bonda saya terapkan iaitu merendah diri kerana saya percaya ia mampu membentuk peribadi seseorang menjadi lebih baik,” bicara isteri kepada Tariq Ismail Mustafa dan ibu kepada dua cahaya mata ini mengakhiri perbualan.
Atas kecintaannya terhadap dunia kraftangan dan warisan, Tengku Asra mengusahakan bisnes tekstil tenunan dikenali sebagai Royal Sembilan bersama ibunda tersayang YAM Tengku Puteri Dato’ Seri Jawahir pada tahun 2019. Sehingga kini, Royal Sembilan mempunyai rangkaian koleksi kain tenun, kaftan, selendang dan aksesori kediaman.