“Hari ini cukup 14 hari saya sekeluarga self quarantined. Walaupun sebumbung kami tidak berjumpa, hanya lambai dari jauh. Rindu sangat saya kepada anak-anak dan cucu-cucu. 20 orang positive telah membuat Istana Negara standstill, dapur tak berasap dan semua pekerja di quarantine.
Alhamdulillah mereka akan dibenarkan kembali bekerja (tapi kena ikut peraturan dari KKM) dan mereka yang positive kena tunggu negative dan anak self quarantine selama 14 hari lagi sebelum mereka dibenarkan kembali kerja. Alhamdulillah malam ni malam nisfu shaaban, marilah kita semua berdoa ke hadrat Allah SWT hapuskan wabak ini. InshaAllah.”
Itulah coretan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi laman Instagram Air Tangan Tunku Azizah malam tadi. KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Raja Permaisuri Agong, dan kakitangan Istana Negara telah diminta kuarantin diri sejak 27 Mac lalu selepas Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin mengesahkan terdapat staf Istana Negara telah didapati positif Covid-19.
Bermula detik itu, Seri Paduka Baginda berdua dan keluarga terpaksa diasingkan di dalam bilik masing-masing. “Patuh arahan doktor, saya sekeluarga duduk berasingan dalam bilik masing-masing, lambai dari jauh saja. Kami tidak dibenarkan visitors dan juga tidak ada sesiapa dibenarkan naik ke atas istana. Hanya kami sahaja di atas, tidak ada pelayan atau bodyguard.
Tuanku Agong, saya dan anak buat sendiri semua. Cuci dan kemas bilik sendiri kerana kami semua high risk because we were with those yang positive. Alhamdulillah we are ok. Dah buat banyak test dan negative!”
Sebelum ini, Tunku Azizah turut dilihat mengisi masa kuarantin dengan melakukan hobi kesukaan baginda iaitu mengait. Memang cantik dan kemas hasil seni mengait baginda. Lebih mengagumkan, Tunku Azizah hanya belajar seni tersebut melalui video di YouTube. Malah, baginda juga berkongsi aktiviti bertadarus bersama staf istana ketika tempoh kuarantin di bilik masing-masing.
Ketika rakyat diarahkan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan keadaan Covid-19 yang kian meningkat sejak 18 Mac lalu, Raja Permaisuri Agong telah berkenan memberikan sumbangan makanan yang dimasak sendiri oleh baginda untuk disumbangkan kepada para frontliners di hospital terlibat. Antaranya Hospital Sungai Buloh, CPRC, Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya. Bagaimanapun, usaha itu terpaksa dihentikan apabila terdapat kakitangan istana yang telah dijangkiti virus yang berasal dari Wuhan, China tersebut.
Nona mendoakan agar Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta kakitangan istana negara diberi kesihatan yang baik dan berada dalam lindungan Allah SWT.