Barang Kemas, Duit & Beg Tangan Berjenama Dicuri.. Wanita Ini Trauma Ambil PEMBANTU RUMAH!

Sangka Siti Aisyah Kamaruddin, bila ambil pembantu rumah kehidupannya lebih mudah dan teratur. Tetapi.. sebaliknya pula berlaku. Tidak sedikit pun dapat ‘menghidu’ tindak-tanduk pembantu rumah yang digajinya selama ini akan meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya sepanjang hayat, Aisyah tekad untuk tidak lagi mengambil khidmat pembantu rumah warga Indonesia.

Trauma dengan situasi berkenaan, Aisyah yang merupakan Pengasas Ayaq World terbuka berkongsi bicara. “Bibik lari bawa barang kemas.. duit saya semua. Hal ini baru dua ke tiga bulan lepas berlaku dan saya terpaksa cari babysitter untuk jaga anak-anak. Nasib ada adik saudara, sekarang ni dia yang jaga mereka kalau saya pergi kerja. Apa-apa pun, yang penting semua keluarga saya selamat.

Selama saya kenal maid ni, dia memang tak ada masalah dan boleh dikatakan baik orangnya. Tapi mungkin waktu tu Tuhan nak uji dia. Rasanya dia lari dalam pukul 4 pagi.. malangnya kami sekeluarga tak sedar. Bila Subuh, baru saya terjaga dan rasa pelik kenapa bibik tak datang ambil anak sebab biasanya itu yang akan dia buat.

Tanpa fikir sesuatu yang buruk, saya pun pergi jenguk ke bilik dia dan tak ada orang. Saya ingatkan dia pergi buang sampah. Tapi bila pintu rumah tak berkunci, mula terdetik yang bibik dah lari. Saya pun tak tahu nak jelaskan macam mana perasaan waktu itu.

Nak kata terkejut, tak juga. Rasa semuanya berlaku macam dalam mimpi. Kemudian, saya pergi kejutkan suami dan beritahu yang bibik dah lari. Kami cuba berfikiran positif dan sama-sama fikir ‘tak mengapalah, tak ada rezeki’,” telus Aisyah yang baru menggaji pembantu rumah Indonesia itu kurang daripada setahun.

Setelah diasak kawan-kawan, sekitar pukul 10 pagi baru suami isteri ini mengambil tindakan. “Kalau tak sebab asakan kawan-kawan, kami mungkin akan biarkan bibik tu terlepas macam tu saja. Bila ramai yang suruh kami periksa barang-barang, walaupun dalam kepala ni fikir tiada barang bernilai pun dalam rumah kami.. tapi sebenarnya kami tak sedar ada juga simpan barang kemas macam cincin dan gelang.

Bukan barang kemas saya je lesap, semua barang kemas dekat badan anak-anak pun diambil. Itu belum lagi dia ambil duit kami termasuk duit raya anak-anak sebab selama ni dia yang simpan. Dia tahu dekat mana simpan semua duit tu. Kita ni pula tak perasan. Iyalah, selama ni dia memang baik.

Nak dijadikan cerita, abang saya minta kami periksa penerbangan yang mungkin bibik kami ini naik. Memandangkan saya tahu dia selalu balik Jogja, jadi kami pun periksa dan memang ada nama dia dan suami. Ikutkan, suami dia pun kerja dengan kami.

Sebenarnya, saya baru je buatkan dia pasport dan visa. Cadang hendak bawa dia bersama pergi bercuti di Korea. Tiket pun dah beli dan tiap bulan saya akan bagi dia cuti.

Lepas saja dapat tahu, kami terus buat report polis. Masa kami sampai di lapangan terbang, pintu flight dah tutup dan barang penumpang semua dah check in. Tinggal untuk berlepas saja. Rezeki kami, sebaik saja polis dapat report

.. terus minta buka pintu flight dan angkat bawa keluar semua barang-barang bibik dan suami dia sekali.

Bila dah kena tangkap, memang dia ada minta maaf tapi waktu itu saya rasa dah terlambat. Alhamdulillah, semua barang saya dapat balik. Cuma yang buatkan saya terkejut bila buka luggage. Ingatkan dia ambil barang kemas dan duit kami saja. Rupa-rupanya dia angkut sekali beg tangan, kasut, korset dan barang mekap.

Bijak sebenarnya bibik ini. Dia dah ambil sedikit-sedikit sejak dari mula tapi saya yang tak perasan. Betullah, serik hendak ambil pembantu rumah lagi. Masuk yang ni, dah dua kali saya dapat maid yang lari,” cerita ibu kepada tiga orang anak ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

Share
Published by
Suzi