Memegang status sebagai ibu muda ketika cuba menggapai segulung ijazah bukan lah sesuatu yang mudah. Adakalanya terpaksa bersengkang mata untuk menyiapkan tugasan selepas memastikan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri dilaksanakan terlebih dahulu. Namun, usaha dan kerja keras Nur Dhaniyah Mohd Ridzuan, anak sulung kepada pelakon dan pelawak terkenal Didie Alias ini membuahkan hasil apabila akhirnya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Teknologi Multimedia dalam Reka Bentuk Multimedia Interaktif di Putrajaya International Convention Centre (PICC) baru-baru ini. Tidak terhenti setakat itu, Dhaniyah kini menyambung pengajian dalam peringkat master pula!
Ads
“I finished my bachelor degree last year on July 2017. Sejurus lepas itu, Alhamdulillah saya disahkan hamil dan telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada April 2018. Kini saya sedang melanjutkan pelajaran dalam peringkat Ijazah Sarjana atau master bermula september lalu.
Alhamdulillah everything runs smoothly from A to Z. Walaupun hanya baru sebulan, setakat ini saya berjaya menguruskan pengajian dan keluarga saya dalam masa yang sama dengan baik”, jelas Dhaniyah yang baru sahaja berusia 25 tahun ini.
Dhaniyah mengakui agak sukar menjadi ibu dalam masa yang sama seorang pelajar universiti yang perlu fokus ketika sesi pembelajaran. Namun beliau beruntung kerana keluarga mertua boleh membantu dalam urusan penjagaan anak lelakinya yang baru berusia 6 bulan, Muhammad Seth Shahriman. Bahkan, suami tercinta Mohd Razi Shahriman turut memberi sokongan 100% terhadap dirinya untuk mencapai cita-cita.
“Saya berjaya curi-curi masa sewaktu anak sedang tidur untuk melakukan assignment. Bahkan, saya juga sangat bertuah kerana keluarga mertua akan mebantu untuk menjaga anak saya. Saya juga berfikir, kalau semua ibu boleh melakukannya, kenapa tidak saya? Malahan, ada di antara wanita di luar sana juga turut bekerja dan menjaga kebahagiaan rumah tangga mereka. Jadi, kenapa tidak saya?”, tambahnya lagi.
Kejayaan Niya juga memberi 1001 kegembiraan bukan sahaja kepada suami bahkan ibu yang selama ini dengan penat lelah membesarkan dan memberi pendidikan terbaik untuk anak-anak walaupun ketika itu berstatus ibu tunggal selepas bercerai dengan pelakon Ridzuan Hashim pada tahun 2002.
“Saya rasa sangat puas kerana dapat gembirakan dan membuat ibu bangga dengan setiap pencapaian yang telah saya buktikan. Bukan hanya saya, bahkan adik-beradik yang lain juga. Malah, semasa perarakan masuk di majlis konvokesyen di dewan Putrajaya International Convention Centre (PICC) baru-baru ini, saya tidak dapat menahan kesedihan melihat ibu begitu bangga melihat saya dalam persalinan jubah konvokesyen”, jelas anak sulung daripada 5 orang adik-beradik ini.
Ads
“Setelah semua usaha keras dan susah payah ibu untuk membesarkan kami 5 orang adik-beradik dengan status ibu tunggal, akhirnya pengorbanan ibu berbaloi. Mummy tahu selepas bercerai dia tak boleh nak bagi saya dan adik-adik sama macam apa yang anak anak orang lain dapat. So, all she can give is to make sure all of her kids masuk university. Amazingly all of us did. Rezeki Allah beri untuk Mummy”, tambahnya lagi.
Seterusnya, Dhaniyah juga kagum dengan cara didikan yang diterapkan ibunya dalam membesarkan beliau dan adik-beradik yang lain walaupun sibuk bekerja.
Ads
“Cara didikan dia paling simple dan mungkin lain daripada yang lain. Dia tidak pernah ada masa yang banyak untuk semak kerja sekolah kami. Kami semua tahu Mummy sibuk. Jadi kami pun buat homework sendiri. Tapi kalau tak pergi sekolah, dia akan tanya atas alasan apa. Namun begitu, Mummy lebih kepada mendidik anak-anak untuk jadi lebih beradab. Because in the end, attitude comes first. Tidak dinafikan bila berkerja dan berlawak ‘hu ha’ sana sini, tapi dekat rumah dia akan lebih banyak serious”, jelasnya.
Ternyata ibunya sendiri memberi pengalaman dan tunjuk ajar yang begitu bermakna sehingga menjadikan ibunya sebagai sumber inspirasi dalam hidup. Malahan, Dhaniyah juga percaya, ibunya terlebih dahulu melalui perlbagai ujian dan dugaan sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu.
“I will not be here today if it is not because of my mom. Walaupun sudah mendirikan rumah tangga dan ada keluarga sendiri, saya masih memerlukan beliau untuk mengisi ‘ruang kosong’ dalam hidup saya.
Nasihat saya, sebelum anda rasa putus asa dan merasakan telah melalui pelbagai kesulitan hidup, fikir kembali. Your mom have done more than you know. Let her be your inspiration!”, jelasnya mengakhiri perbualan.
sumber gambar: @niyardzn
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dato’ Rizalman Ibrahim, satu nama yang tidak asing lagi di kalangan para penggemar fesyen. Seorang yang sangat terkenal dengan karya seni rekaan bercita rasa tinggi serta kreatif. Sering menjadi pilihan golongan kenamaan mahupun atasan yang sentiasa percaya dengan kepakarannya. Sejujurnya, bapa kepada dua orang anak lelaki ini sebenarnya seorang yang cukup merendah diri. Dato’ Rizalman selayaknya digelar ‘guru’ dalam industri fesyen tanah air kerana ilmu serta kebolehan luar biasa yang dimiliki.
Berkongsi detik permulaan kariernya, “Kerjaya sebagai pereka fesyen bermula sebaik tamat pengajian di UiTM pada tahun 1993 di salah sebuah butik sekitar Kuala Lumpur. Tugas saya menjahit butang dan cangkuk dengan gaji hanya RM350. Waktu itu kerja hanya enam bulan kerana saya rasa terlalu terkongkong dan tercabar dengan skop kerja.
Saya nekad untuk jadi pereka fesyen berjaya seterusnya berniat mahu membalas jasa ibu bapa. Sebaik berhenti kerja, saya buat freelance. Disebabkan masa itu tiada media sosial sukar untuk saya bertapak dalam industri fesyen.
Pun begitu, saya tidak pernah anggap ia satu halangan. Saya terus berusaha sehinggalah dikenali sebagai pereka fesyen baru yang sering mengetengahkan silhouette daripada kebaya dan kurung yang dimodenkan mengikut cita rasa masyarakat ketika itu.
Saya turut mengeluarkan idea-idea baru seperti baju kurung yang boleh diolah dalam pelbagai bentuk dan sebagainya. Dari situ orang mula mengenali saya sebagai seorang yang suka membuat revolusi terhadap busana-busana tradisional selain menitikberatkan soal kualiti.
Pelanggan pertama saya ialah personaliti televisyen terkenal, Wan Zaleha Radzi yang membeli sepasang kebaya kuning menggunakan fabrik sari. Personaliti lain ialah Fauziah Ahmad Daud, Zarina Zainuddin dan Zakiah Anas. Disebabkan belum ada butik, cara saya menjual ialah dengan meletakkan baju-baju yang sudah dijahit ke dalam beg dan membawanya ke stesen televisyen dengan menaiki bas.
Waktu itu saya masih belum punya kereta sendiri dan tiada pekerja. Semuanya dilakukan sendiri, menjual dari pejabat ke pejabat, pergi ke rumah klien dan sebagainya. Dan bila ada duit sikit saya iklankan hasil rekaan dalam majalah.
Kesimpulannya, agak susahlah dulu kerana perlu bergantung kepada cara pemasaran di samping kualiti produk itu sendiri. Bila sudah ada simpanan barulah saya membuka butik secara kecil-kecilan,” ungkap anak bongsu yang dilahirkan dalam keluarga seni ini. Ibunya seorang tukang jahit manakala bapa merupakan kerani dan jurufoto fesyen. Adik beradiknya pula pandai melukis dan ada yang bergelar pelakon teater serta pelakon radio.
“Saya bersyukur kerana dijadikan siapa diri saya sekarang untuk berkongsi ilmu yang dianugerahkan oleh Yang Maha Esa. Saya hanyalah sebagai medium serta watak di pentas dunia ini yang telah berjaya saya sampaikan dengan sempurna. Kelebihan yang saya miliki ini adalah satu tanggungjawab. Ilmu itu satu amanah. Saya juga memandang risiko serta kritikan sebagai satu fasa kehidupan yang mematangkan.
Sebagai pereka fesyen juga saya perlu tahu siapa pesaing-pesaing untuk menjadi yang lebih baik dan berusaha sampai ke tahap paling atas yang menjadi kunci untuk menjadi pereka fesyen tersohor. Saya juga pakar dalam fesyen dan tahu apa itu fesyen kerana banyak membaca dan mengembara ke negara luar,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang ini yang berusia 49 tahun.
“Harapan saya bila tibanya saat menutup mata, dapatlah pergi dalam keadaan yang tenang tanpa hutang. Sihat tubuh badan serta mampu melakukan ibadah dengan sempurna seterusnya memiliki anak-anak yang soleh. Tidak kisahlah mereka mahu meneruskan legasi saya mahupun tidak. Semoga mereka diberikan jodoh yang solehah dan keturunan yang soleh.
Seterusnya nasihat saya buat generasi muda yang mahu berjaya pertamanya ialah kenal dahulu siapa Pencipta, kenal siapa diri kita dan kenal segala benda yang ada di sekeliling kita. Bila kita tahu semua itu maka kita akan tahu bagaimana formula untuk menjadikan diri kita berguna dan bagus kepada orang lain,” akhiri Dato’ Rizalman.
Pertabalan Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah suatu momen yang sangat dinanti-nantikan oleh rakyat jelata.
Istiadat yang bakal berlangsung esok turut menyaksikan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bakal menemani Yang di-Pertuan Agong duduk di atas singgahsana.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyifatkan pertabalan tersebut seolah-olah bersanding balik selepas 33 tahun. Pasangan diraja ini juga sering mendapat perhatian rakyat dan menyifatkan baginda berdua sebagai pasangan romantik.
“Dalam mana-mana perkahwinan, kita kena jadi kawan yang baik. Mesti boleh berkomunikasi. Itulah Tuanku dan saya,” titahnya.
Mengimbas kembali perkahwinannya yang disifatkan separa diatur, Tuanku Azizah bertitah pertemuan pertama berlaku di padang polo di Johor ketika usianya 12 tahun dan Sultan Abdullah pula berusia 13 tahun.
Selama 13 tahun berkawan dan bercinta, hanya surat, aerogram dan telefon yang menjadi penghubung setiap minggu. Istimewanya, semua surat itu masih tersimpan rapi sebagai kenangan berharga percintaan jarak jauh baginda berdua.
“Ayahanda saya dulu sangat tegas, betul-betul ikut cara Islam, mana boleh keluar bersama, pergi tengok wayang atau minum kopi. Ya, kami tidak pernah. Apatah lagi pegang tangan. Setiap kali Tuanku nak jumpa saya, kena buat temujanji dan makan tengah hari bersama ayahanda saya.
Nenda saya dan nenda Tuanku mahukan perkahwinan ini. Melihat ayahanda saya yang begitu tegas, nenda saya selalu ajak Tuanku datang Johor untuk bermain polo. Jadi dapatlah kami berjumpa di padang polo, itu pun dengan semua orang keliling.
Saya ingat ketika umur saya 23 tahun, Tuanku pernah tanya adakah saya mahu menjadi isterinya satu hari nanti. Saya jawab, adakah Tuanku anggap saya ni cukup baik untuk menjadi ibu kepada anak-anaknya.
Tapi Tuanku tidak ajak saya kahwin. Tuanku beritahu ayahandanya supaya mengumumkan dia akan mendirikan rumah tangga dia akan mendirikan rumah tangga pada hari keputeraan baginda pada Oktober 1985, tetapi tidak cakap dengan siapa.
Ayahanda saya pula tidak tahu mengenai pengumuman itu. Apabila rombongan Pahang sampai, ayahanda saya tanya, adakah dia nak atau ini perkahwinan yang diatur? Jika diatur oleh ibu bapa, saya tidak terima. Kalau dia sendiri mahu, saya terima.
Selepas tiga hari, barulah ayahanda kata “Bah lupa nak tanya Azizah nak ke tak nak, tapi Bah dah terima,”. Saya bernikah pada Mac dan bersanding pada 19 Julai (1986). Antara Mac dan Julai, walaupun sudah jadi suami isteri yang sah, tetap tak boleh keluar. Saya di Johor, Tuanku di Pahang.
Majlis perkahwinan diadakan di Johor dengan penuh istiadat kerana anak Agong berkahwin dengan Tengku Mahkota Pahang. Titiek Soeharto selalu kata, itulah satu-satunya majlis perkahwinan yang berlarutan sampai jam 5 pagi. Pada hujung Julai ni, kami nak bersanding lagi,” titahnya.
“Saya tidak rasa kami ni romantik sangat. Media selalu rakam momen yang tidak kami perasan macam masa suapkan lauk. Bagi saya ia adalah perkara natural (melayan suami) seperti letakkan lauk untuk suami.
Kami tak adalah panggil Sayang, atau sebab kami dah kenal 13 tahun sebelum berkahwin, Tuanku panggil saya Ji (Zizi) dan saya pangil Tuanku ‘Alam’ atau ‘Lam’. Tapi saya rasa Tuanku suka bila saya panggil ‘Bah’ (Babah),” titah Raja Permaisuri Agong.
Pasangan diraja ini telah berkahwin pada 6 Mac 1986. Baginda telah dikurniakan dengan empat orang putera dan dua orang puteri;
Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah, SIMP.
Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah, SSAP.
Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah.
Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah.
Raja Permaisuri Agong bersyukur dikurniakan suami yang baik hati, sentiasa bercakap dengan lemah lembut dan sepanjang 46 tahun mengenali Tuanku Abdullah, tidak pernah didengar baginda meninggikan suara.
“Tuanku ni baik. Hatinya cukup baik, tidak pernah gosip, ‘membawang’, tak pernah cakap orang jahat, tidak pernah komen, sentiasa bercakap lemah-lembut dan tidak kasar. Tuanku juga baik dengan semua orang dan layan orang tidak kira siapa pun mereka, terutama yang susah,” titah Raja Permaisuri Agong.
Sumber: Harian Metro & www.dirajapahang.my
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, ikon pendakwah wanita yang amat dikagumi. Agak lama Ustazah Nor Bahyah menyepikan diri daripada dunia media sosial. Walaupun begitu Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah masih terus ‘menyengat’ dalam dunia dakwah sama ada melalui dunia maya dan juga pentas ceramah. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah aktif di Facebook beliau yang mempunyai pengikut lebih daripada 2 juta.
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah yang sering membahasakan dirinya dengan panggilan Ustazah mengakui bahawa beliau memang kurang melibatkan diri dalam program-program di layar kaca dan juga radio. Beliau kini lebih selesa bersama cucu-cucu berumur antara 1 hingga 9 tahun.
“Masa saya banyak dengan cucu-cucu lebih-lebih lagi cucu saya yang kembar. Jadi biarlah saya beri peluang kepada generasi muda pula untuk berdakwah melalui medium media sosial agar mereka dapat bersama-sama menyumbangkan ilmu anugerah Allah dan mendidik ummah.
“Seperti biasa saya menerima undangan ceramah di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta Singapura. Selain itu saya juga akan mengadakan seminar atau kem motivasi pada musim cuti sekolah November dan Disember ini. Jika tiada jemputan atau undangan untuk menyampaikan ceramah, saya akan meluangkan masa bersama keluarga memandangkan sekarang ini saya mempunyai lima orang cucu yang tinggal bersama,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah membuka bicara kata.
Tidak dapat dinafikan kelibat Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah dan imamnya, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid dalam rancangan Semanis Kurma amat dirindui. Rancangan yang berlangsung selama lapan tahun berturut-turut sejak 2008 itu benar-benar meninggalkan impak yang berkesan dan berpanjangan kepada penonton.
“Terima kasih kepada pihak TV9 kerana memberi kepercayaan kepada saya dan Ustaz untuk mengacarakan rancangan Semanis Kurma. Rancangan semanis kurma di TV9 habis kontraknya pada 2016. Memang menjadi cita-cita saya dan Ustaz untuk menghidupkan kembali rancangan Semanis Kurma kerana rancangan ini menjadi sumber inspirasi dan juga menjadi pedoman dalam membina keluarga bahagia. Alhamdulillah ke mana-mana saya pergi, orang akan memanggil saya dan Ustaz dengan panggilan Semanis Kurma. Semoga ada penaja untuk rancangan ini diteruskan,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Jadual beliau agak padat dengan undangan ceramah-ceramah agama. Kebiasaannya dalam seminggu tiga hingga empat kali. Ada ceramah pada waktu siang hari dan ada juga pada malam hari.
“Kebanyakan ceramah di luar kawasan terutamanya di Terengganu. Setiap bulan saya akan ke sana bagi menyampaikan ceramah atas undangan dari Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu sejak tahun 2000. Saya juga kerap pergi ke Singapura, Sabah dan Sarawak serta Brunei. Ada juga undangan daripada pelajar dari luar negara seperti Jepun, Korea, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Saya juga banyak turun padang ke kawasan pendalaman seperti kampung-kampung dan Felda-Felda,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
CABARAN BERDAKWAH
Dicungkil tentang cabaran sepanjang berkecimpung dalam dunia kerjaya sebagai seorang penceramah, jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, cabaran datang dalam dua bentuk iaitu luaran dan dalaman.
“Antara cabaran biasa ialah tempat ceramah yang agak jauh sehingga terpaksa memandu antara dua hingga empat jam. Begitu juga cabaran yang agak berat bagi saya iaitu apabila terpaksa meninggalkan anak-anak serta cucu-cucu tiga hingga empat hari dalam sebulan.
“Namun begitu cabaran paling utama ialah Iblis dan syaitan serta manusia yang bersifat mazmumah. Ia merupakan penghalang utama seorang pendakwah selain cabaran daripada fahaman sekularisme yang telah tersebar. Fahaman ini yang dibawa oleh barat sedang melanda umat Islam dan menjadi wabak yang menghakis komitmen kepada nilai-nilai agama,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Fitrah seorang wanita bergelar isteri dan ibu, amat penting mengagihkan masa antara kerjaya dan juga keluarga. Bagi diri Ustazah Nor Bahyah jika sekiranya tiada aktiviti di luar, waktu pagi sehingga tengahari beliau akan memperuntukkan masa menguruskan rumah seperti menyediakan sarapan untuk keluarga, mengemas rumah dan memasak.
“Di sebelah petang saya akan memberi tumpuan dalam kerjaya seperti menjawab persoalan daripada facebook dan e-mel, persediaan untuk ceramah dan juga menulis untuk majalah dan buku. Pada sebelah malam akan bersama keluarga tercinta.
“Hobi saya sejak dari kecil sampai sekarang ialah membaca. Masa kecil-kecil dahulu saya sanggup berada berjam-jam di perpustakaan awam semata-mata untuk membaca. Alhamdulillah setakat ini tidak ada hari yang berlalu tanpa saya membaca. Saya tidak dapat tidur tanpa membaca terlebih dahulu. Pada masa lapang saya akan menggubah bunga, bercuti, memasak dan membawa keluarga membeli belah,”jelas Ustazah Nor Bahyah yang gemar memasak tomyam, nasi daging, daging masak kicap, kari ikan merah dan sambal belacan kegemaran keluarganya.
RAHSIA KELUARGA BAHAGIA
Keakraban dan kemesraan beliau bersama keluarga agak dicemburui. Sebenarnya banyak aktiviti yang dilakukan oleh Datuk Ustazah Nor Bahyah bersama keluarga bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Sekiranya saya tidak berceramah di luar kawasan, kami akan solat berjemaah setiap hari terutama sekali waktu maghrib. Selain itu aktiviti membaca Al-Quran terutama membaca surah Yaasin pada hari Khamis malam Jumaat turut diamalkan. Ia dilanjutkan dengan mengadakan usrah keluarga yang mana saya dan Ustaz akan memberikan nasihat dan panduan kepada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu.
“Kami juga akan luangkan masa untuk bercuti bersama. Dalam setahun antara dua hingga empat kali. Di samping itu juga sentiasa makan bersama lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Resipi keluarga bahagia bagi saya ialah suami isteri dan anak anak mestilah menjadi seorang yang beriman dan bertakwa dan mempunyai sifat kasih sayang sesama ahli keluarga.
“Sifat kasih sayang itu terbentuk melalui lima perkara iaitu sentiasa mengeluarkan perkataan yang baik-baik dan positif, sentiasa memberi hadiah terutama pada tarikh hari kelahiran, melalui sentuhan seperti bersalam salaman, ciuman dan pelukan, sentiasa mengadakan aktiviti bersama seperti solat berjemaah, makan berjemaah dan bercuti berjemaah dan sedia berkhidmat seperti tolong-menolong antara suami isteri, ibu bapa dan anak anak,”kongsi Datuk Ustazah Nor Bahyah yang amat menekankan solat lima waktu dalam mendidik anak-anak dan cucu-cucunya.
Melihatkan kesibukan jadual harian beliau nescaya pasti terdetik dibenak fikiran, bagaimana pendakwah wanita yang wajahnya sentiasa dibungai dengan senyuman ini mengekalkan stamina. Tidak lokek berkongsi rahsia, antara elemen penting ialah mendapatkan tidur yang mencukupi enam hingga lapan jam sehari.
“Saya juga menjaga makan dan minum supaya berat badan tidak bertambah. Di samping itu juga saya sentiasa melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh seperti menyapu sampah, berjalan-jalan dan bersenam,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Sebelum menutup kalam, sempat ditanya pendapat beliau tentang peranan wanita sebagai nadi pembangunan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, wanita perlu sentiasa menjadikan dirinya teladan yang boleh dicontohi anak-anak dalam segala hal yang dilakukan di dalam urusan rumah tangga.
“Wanita juga berperanan sebagai penolong dan teman hidup pasangannya di kala suka dan duka. Melayani suami merupakan kewajipan sebagai seorang isteri. Isteri juga adalah teman untuk berbincang sebelum sesuatu keputusan diambil oleh suami sebagai ketua rumahtangga. Sebagai isteri mungkin pendapat kadang-kala berbeza tetapi apabila keputusan sudah dibuat oleh suami, isteri harus menyokong keputusan tersebut. Ini kerana di dalam sebuah kapal hanya ada seorang nakhoda dan begitu juga di dalam sebuah rumahtangga hanya ada satu ketua keluarga.
“Pujangga Arab ada mengatakan wanita itu adalah tiang negara. Seandainya wanita itu baik, majulah negara, seandainya wanita itu rosak akhlak maka mundurlah negara. Demikian juga kata penyair Arab, Ahmad Syauqi, ibu itu adalah umpama sebuah sekolah. Jika anda memberikan peluang kepadanya nescaya ia akan memberikan kepada anda satu bangsa yang berakar umbi baik. Jadilah wanita yang hebat dan bijaksana. Cantikkan diri dengan akhlak, bijak menambat hati suami serta mendidik anak-anak dengan iman dan takwa kepada Allah,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah mengakhiri bicara.
TIP KEKALKAN KEMESRAAN DENGAN SUAMI AGAR RUMAH TANGGA BAHAGIA
1. Curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati.
2. Patuhlah kepada suami dengan apa adanya
3. Mendengar kata-kata suami dengan baik disertai ketaatan.
4. Sentiasalah isteri mempertahankan pandangan mata suami dengan memakai pakaian yang baik-baik
5. Sentiasa menjaga ‘hidung’ suami dengan memakai bau-bauan yang wangi.
6. Sentiasa memperhatikan waktu tidur suami
7. Sentiasa menjaga makan minum suami.
8. Jagalah harta benda suami dengan sebaik-baiknya
9. Isteri perlulah menjaga keluarga dan anak anak dengan baik.
10. Jangan sesekali menyebarkan rahsia suami.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun ...