Akibat tidak tahan menanggung sakit, isteri kepada selebriti chef terkenal Dato’ Fazley Yaakob bersyukur telah selamat menjalani pembedahan membuang cyst yang dikesan membesar di bahagian belakang badannya. Tak disangka, rupa-rupanya kesakitan yang mula dirasai pada hujung minggu adalah cyst.
Kongsi Datin Azrene Ahmad di laman media sosialnya, “Satu pengalaman mengerikan pada hujung minggu lalu apabila satu benjolan membesar di belakang badan dalam tempoh 48 jam. Sakitnya sukar digambarkan! Pada pagi Isnin, saya tak dapat menahan daripada kesakitan walau lima minit sehingga menggigil,” coret wanita yang gemar tersenyum ini.
Walau bagaimanapun Datin Azrene telah membuat keputusan yang tepat, tidak berlengah membiarkan kesakitan menghantui dirinya. “Sekarang saya dah lega selepas menjalani pembedahan kecil. 10 hari tanpa hiking atau aktiviti berat, 10 hari tanpa perlu hadap tekanan kerja. Badan saya memerlukan tempoh berehat yang cukup untuk baik-pulih sepenuhnya, doakan saya,” kata Datin Azrene yang mengharapkan doa agar segera sembuh.
Sebelum ini Datin Azrene pernah berkongsi kisahnya yang mengalami 10 kali keguguran sebelum mendapat puteri bongsunya. “Alayna Selma merupakan puteri sulung dan anak bongsu kami kerana saya mengalami keguguran sebanyak 10 kali. Kelahiran kali ini juga melalui kaedah pembedahan demi usaha mendapatkan cahaya mata perempuan.
Ini bermakna keempat-empat anak saya dilahirkan melalui pembedahan dan dinasihatkan oleh doktor pakar untuk tidak hamil lagi. Bagi saya kehadiran empat orang cahaya mata ini sudah cukup untuk melengkapkan kebahagiaan kami suami isteri. Bukan serik untuk mengandung lagi tetapi boleh dikatakan setiap kali saya mengandung saya mengalami pengalaman pahit yang berbeza-beza.
Sebelum mengandungkan anak pertama, saya mengalami keguguran sebanyak empat kali. Fariedz, anak sulung kami sepatutnya mempunyai adik kembar tetapi kembarnya tidak dapat diselamatkan. Fieradz pula terpaksa dilahirkan pada usia 34 minggu dan akibatnya mengalami laryngomalacia kronik dan alahan.
Fierudz pula saya mengalami alahan teruk di trimester pertama dan pada usia kandungan 28 minggu terpaksa ulang alik ke hospital kerana hampir bersalin awal. Di bilik pembedahan pula saya mengalami penumpahan darah yang teruk dan hampir meninggalkan suami dan anak-anak buat selama-lamanya.
Di antara Fierudz dan Alayna saya gugur sebanyak 10 kali dan paling teruk adalah keguguran anak kembar pada usia kandungan 20 minggu dan terpaksa bersalin secara normal,” jelas Datin Azrene yang mendirikan rumahtangga pada tahun 2007.