“Dah 2 KALI KEGUGURAN, Tapi Saya Tak Serik Nak Mengandung Lagi” Liza Talib

Melihat pasangan lain yang baru berkahwin dan bakal menimang cahaya mata sedikit sebanyak menyentak hati seorang ibu yang masih menanti kehadiran bayi dalam hidupnya. Tangisan kecil dan tawa si manja menjadi igauan setiap wanita yang sudah bergelar isteri.

Namun bagaimana jika setiap kali disahkan mengandung, mereka diuji dengan keguguran?Menghadapi keguguran adalah suatu perasaan yang sukar diungkap dengan kata-kata. Lebih-lebih lagi kandungan yang dianggap sebagai penyeri itu sudah dinantikan sekian lama. “Saya berkahwin pada bulan Februari 2015. Sebaik sahaja pulang berbulan madu di Mekah selepas 4 bulan berkahwin saya disahkan mengandung. Hati gembira bukan kepalang.

Namun, ketika usia kandungan memasuki 6 minggu saya mula nampak kesan spotting. Tanpa berlengah saya pergi klinik dan doktor sahkan threatened abortion (kandungan terancam).

Kemudian saya pergi scan kat klinik pakar dan tak nampak kantung dalam rahim. Doktor suruh saya buat ujian darah untuk tentukan sama ada ectopic atau tak (7 minggu),” ujar Liza Talib yang bertugas sebagai Pengurus Bank ini.

Tambah Liza, “Doktor minta datang ke hospital sekali lagi untuk melakukan ujian darah selepas 2 hari. Keesokan harinya tiba-tiba lepas subuh sakit sangat kat perut dan bahu sampai tertidur atas sejadah.

Sejam lepas tu bangun terus ajak suami pergi hospital dan dapat keputusan ujian darah memang ectopic (HCG level meningkat tapi scan masih tak nampak kantung).

Di hospital saya buat pembedahan laparoscopy (tebuk 3 lubang di perut dan pusat) dengan bius penuh kerana boleh mengancam nyawa saya jika tiub tersebut meletus. Hasilnya tiub falopian kanan saya telah dibuang dan sekarang saya hidup dengan 1 tiub falopian sahaja.

Peluang saya untuk mengandung tidak secerah macam dahulu lagi. Keluar hospital saya berpantang macam biasa selama 2 minggu,” terang Liza yang mengalami momen sedih dalam hidupnya kehilangan anak pertamanya.

Setelah 3 bulan, doktor membenarkan Liza untuk mengandung lagi. Sudah tertulis rezekinya setelah 4 bulan pembedahan laparoscopy, dia mengandung lagi. “Saya pergi checkup dari minggu ke-5 sehingga minggu ke-9, scan tak nampak janin, hanya kantung. Saya diuji sekali lagi.

Kali ini doktor mengandaikan kemungkinan blighted ovum (kandungan tak jadi/missing) dan diberi tempoh 2 minggu untuk datang semula buat imbasan. Imbasan kali kedua tetap tidak menampakkan janin dan doktor mencadangkan saya buat D&C untuk cuci dan buang kandungan.

Kehilangan kali kedua ini benar-benar memberi kesan yang mendalam dan saya tidak sanggup untuk menghadapi jika berlaku keguguran sekali lagi. Saya sedih dan tidak sanggup menunggu lama kerana faktor usia, berkahwin lewat pada usia 34 tahun. Setelah enam bulan saya masih tidak mengandung dan menjadi risau.

Saya mula belajar dan menyertai kelab TTC (Trying To Conceive) luar negara dan belajar semua kaedah. Saya juga membuka akaun khas di Instagram untuk berkongsi tentang perjalanan untuk mendapatkan zuriat.

Saya cuba OPK (Ovulation Prediction Kit) untuk monitor ovulasi kerana kitaran haid saya tidak normal.

Kadang-kadang lewat beberapa hari dan tempoh paling lama pula hampir 60 hari. Selepas 6 bulan buat OPK saya mencuba pula kaedah BBT charting (Body Basal Termometer) iaitu catit suhu basal kena bangun pagi-pagi setiap hari sepanjang 1 tahun hanya untuk catit suhu dan rekod dalam fertility friend apps.

Kemudian saya membuat keputusan untuk berjumpa dengan Pakar Sakit Puan. Hasil pemeriksaan doktor katanya, mungkin tiada ovulasi (anovulatory cycle). Doktor bagi saya ubat clomid untuk besarkan telur dan merangsang ovulasi.

Dalam pada itu, doktor mengesahkan saya ada PCOS (telur tak matang). 1st cycle failed to conceive as on fertile day pergi scan, telur hanya ada di sebelah kanan (tiub telah dibuang). Saya sedih dan tahu memang harapan sangat tipis untuk mengandung pada bulan itu.

Bulan kedua ambil clomid lagi tetapi dengan dos yang lebih tinggi 150mg selama 7 hari. Masa subur pergi scan dan doktor beritahu clomid tak begitu berjaya ke atas saya kerana hanya ada 1 telur besar. Tetapi kali ini telur besar itu berada di ovari yang ada tiub.

Kitaran hari ke21 saya perlu hadir ke hospital untuk membuat ujian darah bagi melihat progesteron. Tak silap saya bacaannya hanya 41 dan doktor cakap below expectation sepatutnya lebih 100. Tapi saya yakin bakal mengandung pada bulan itu.

Alhamdulillah, akhirnya saya mengandung. Namun, berita tersebut bukan hanya setakat itu sahaja, saya betul-betul all out untuk mengekalkan kandungan kali ini. Saya mengekalkan kecergasan diri dengan jogging dan zumba. Menjaga pemakanan dengan mengambil karbo rendah dan tanpa gula yang diganti dengan stevia. Bulan tersebut saya hilang 3kg.

Saya amalkan telur ayam kampung separuh masak setiap pagi untuk pastikan ovum yang 1 tu membesar dengan sihat dan cepat. Saya tak ambil produk lain selain clomid (cuba banyak produk di pasaran tapi tak ada kesan malah lagi teruk kitaran jadi lagi panjang).

Elak makanan sejuk dan makan banyak sayur hijau serta kacang badam. Lepas ovulasi saya makan nanas selama 1 minggu dan berhenti kerana kandungan bromelain pada nanas dikatakan boleh membantu mengukuhkan janin.

Kepada wanita lain yang masih berusaha untuk mendapat zuriat nasihat saya kena belajar pasal tubuh dan organ reproduktif sendiri, usaha (timed intercourse – sebab i track my ovulation guna OPK, BBT dan monitor cairan vagina).

Rajin membaca dan akhir sekali doa dan tawakal. Alhamdulillah my rainbow baby boy namanya Umar Iskandar dah nak masuk 4 bulan, sihat dan cerdik,” nasihat Liza.

Share
Published by
Hamizatul Maizan