Tak sangka pelakon kesayangan ramai ini sudah 36 tahun menceburi bidang lakonan di Bollywood. Madhuri Dixit mula mempertaruhkan kerjaya seni saat pertama kali berlakon dalam filem Abodh pada tahun 1984. Ketika itu usianya baru menjangkau 17 tahun.
Namun, penampilan Madhuri sedikit pun tidak berubah seperti di awal kemunculannya. Malah kelihatan lebih cantik dan menawan. Jika suatu ketika dahulu Kajol telah mencipta fenomena apabila muncul kembali dalam filem Dilwale. Kajol telah berdampingan dengan aktor terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan.
Penampilan Kajol yang kini berusia 46 tahun, dalam filem ini begitu langsing sehingga menjadi buah mulut peminatnya. Malah, menu dietnya menjadi viral dan ramai wanita seluruh dunia cuba meniru menu yang telah diusahakan oleh heroin filem Kuch Kuch Hota Hai ini.
Madhuri Dixit juga bukan calang-calang malah lebih hebat lagi apabila melihat penampilan terbaharu Madhuri Dixit yang sudah mencapai usia 53 tahun pada 15 Mei yang lalu.
Membayangkan usianya dan susuk tubuhnya yang begitu langsing membuat ramai wanita yang makan hati. Harap-harap Madhuri sudi berkongsi menu dietnya kelak.
Menyaksikan foto terbaharu yang dikongsinya melalui laman media sosialnya umpama melihat gadis yang menjadi heroin filem Dil To Pagal Hai.
Wanita yang sering melemparkan senyuman manis ini bukan sahaja berbakat dalam dunia lakonan malah begitu hebat di pentas tarian. Madhuri Dixit juga aktif sebagai juri dalam rancangan pencarian bakat menari Jhalak Dikhhla Jaa selama 4 musim.
Pada tahun 1999, Madhuri Dixit telah mengambul keputusan menamatkan zaman bujangnya dengan berkahwin dengan Dr. Sriram Madhav Nene, seorang doktor pakar bedah kardiovaskular. Pelakon filem Hum Aapke Hain Koun ini juga telah berpindah mengikut suaminya ke Amerika Syarikat dan melahirkan dua orang anak lelaki, Arin pada tahun 2003 dan Ryan pada tahun 2005.
Terima Gelaran Doktor, Ratu Skuasy Negara Kini Bergelar Datuk Dr. Nicol Ann David
Terus melangkah dan menjadi inspirasi generasi muda. Inilah misi ratu skuasy negara, Datuk (Dr.) Nicol Ann David yang menerima penganugerahan Ijazah Kedoktoran Kehormat yang membawa gelaran Doktor.
Berumur 39 tahun, Nicol yang juga merupakan Duta Pelancongan Pulau Pinang 2022 itu telah dianugerahkan gelaran tersebut oleh Heriot-Watt University Malaysia.
Selain faktor sumbangannya dalam sukan Malaysia, sokongan beliau terhadap bidang pendidikan turut memberi impak yang besar terhadap golongan pelajar.
“Sepanjang penglibatan saya dalam sukan skuasy, banyak perkara hebat yang telah saya pelajari. Antara pelajaran yang bermakna adalah hidup ini bukanlah sesuatu yang mudah, banyak rintangan dan halangan.
Tapi di sebalik liku-liku itu, carilah kekuatan diri untuk menempuhinya. Kerja keras akan terbayar dan impian akan selalu tercapai jika kita percaya kepada usaha yang konsisten.
Sentiasa kelilingi hidup kita dengan perkara positif. Jadilah orang yang baik dan bermanfaat kepada orang lain, tak kira seberapa hebatnya kejayaan yang dikecap.” Datuk Dr. Nicol Ann David
Datuk Dr. Nicol Ann David turut merakamkan penghargaan terhadap Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan Prof Mushtak Al-Atabi di atas penganugerahan tersebut.
TERUS BERBAKTI
Jaguh sukan kebanggaan yang kini telah bersara itu merupakan wanita Asia pertama menduduki tangga #1 dunia dalam sukan skuasy wanita selama enam tahun berturut-turut dari tahun 2005 hingga 2010.
Paling membanggakan apabila bekas juara dunia sebanyak lapan kali itu merangkul gelaran berprestij iaitu Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia menewaskan 23 atlet hebat lain dari seluruh dunia.
Dalam perkembangan terbaharu, Datuk Dr. Nicol Ann David kini fokus terhadap yayasan yang ditubuhkan iaitu The Nicol David Organisation.
Menyasarkan golongan kanak-kanak, beliau komited untuk memperkasakan si cilik menerusi sukan serta pendidikan. Di bawah program kokurikulum, mereka dapat mengikuti kelas skuasy, Bahasa Inggeris dan kemahiran hidup.
Prihatin terhadap situasi pasca pandemik, wanita pintar ini tekad mahu membantu keluarga B40 dan M40 yang terjejas melalui yayasan yang baru dilancarkan. Semoga segala usaha yang dicurahkan oleh Datuk Dr. Nicol David kepada anak bangsa menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita!
‘BOSS SUSU’ Dulu Jual Susu Di Pasar Malam Kini Jualan Ratusan JUTA Ringgit
Ketua Pegawai Operasi rangkaian produk tenusu Farm Fresh ini semakin glamor sejak menjadi penaja utama program Gegar Vaganza (GV) 6. Ramai yang memuji sikap Azmi Zainal yang lebih popular dengan nama ‘Boss Susu’ ini sewaktu mempromosikan barangan produknya. Lebih terkesan apabila beliau sendiri pergi mencari penyanyi-penyanyi lama untuk segmen Kongsi Rezeki.
Namun, rupanya ‘Boss Susu’ ini mempunyai kisah menarik untuk dikongsikan kala mula bertatih dalam perniagaan sehingga tercetusnya program CSR ini. Kongsinya, “Mungkin tidak ramai yang tahu kisah saya dan Loi memulakan bisnes kecil kami sehingga berjaya ke tahap ini. Kami bermula dengan 60 ekor lembu dan membeli susu dari penternak.
Kami hantar susu-susu tu naik bas ekspres kerana tiada lori yang nak heran pun setakat nak hantar susu 10-20 kotak ke Kuala Lumpur (KL). Saya tunggu bas ekspres di Petronas Sungai Besi. Kami jual di kedai-kedai kecil dahulu sebelum masuk ke supermarket.
Bila petang saya akan jual sendiri di pasar malam dan pasar tani. Kami rasa perit dan susah bukan hanya air mata saja yang mengalir, maruah juga diinjak-injak.
Kami tidak pernah kenal erti tewas dan ramai yang mentertawakan kami. Malah competitor kami kata pada buyer supermarket, “Biarlah itu company kecik, kita tak payah usik. Nanti dia sendiri mati,”.
Kami simpan itu sebagai semangat dan dengan ‘dendam kesumat’. Bila nak cari promoter pulak, ramai promoter yang ketawakan saya. “Betul ke kau boleh bayar gaji ni, kau pun pakai selipar je,”. Kami telan semua itu dan kami terus berusaha dan berdoa. Kami tahu bagaimana perasaannya menjadi orang susah yang memerlukan dan atas dasar keinsafan dan sedar asal-usul kami. Kami tidak pernah lupa dan sentiasa ingat hari-hari kami bermula dulu dan sebab itu lah kami buat GV Farm Fresh CSR ini,” kata Azmi Zainal.
Jenama Farm Fresh yang dikendali ‘Boss Susu’ bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Loi Tuan Ee kini memiliki jualan ratusan juta ringgit setahun dan ada beribu ekar ladang di Malaysia serta Australia. Malah punya kilang tercantik dan tercanggih dalam bidang penternakan lembu. Team ladang terdiri daripada anak-anak lepasan universiti tempatan yang dilatih.
Walaupun kini ‘Boss Susu’ dikenali ramai tetapi tidak mahu mendongak ke langit, “Setiap kali berhenti R&R mesti ada yang tegur ‘Boss Susu’. Tapi saya selalu ingatkan diri sendiri supaya tak hanyut dan ini cumalah kerja tambahan selain daripada tugas utama sebagai ketua dan leader untuk Team Farm Fresh.
Jangan bila ada kerja lain kita tinggalkan kerja utama kita, itu tak akan menambah apa-apa dalam bisnes kita jangan jadi ‘Nakhoda buluh kasap dapat hujung pangkal lesap’,” coret Azmi Zainal di laman Facebooknya.
Kredit: Facebook Azmi Zainal
“Luluh Hati Saya Bila Melihat Anak Kecil Disahkan POSITIF COVID-19 Serta ‘Perpisahan Abadi’ Antara Pesakit & Keluarga” DR HUDA
Sekitar empat tahun lalu penulis pernah menemu bual Dr Nurul Huda Mohd Zainol atau Dr Huda ini tentang pengalamannya sebagai rakyat Malaysia yang tinggal di bumi Islam yang sedang bergolak. Ketika itu satu dunia mengetahui kisah pergolakan di Mesir di mana krisis politiknya hangat diperdebatkan.
Memandangkan ketika itu Dr Huda sedang menuntut di Universiti Al-Azhar Mesir sebagai pelajar perubatan, penulis hanya dapat menghubunginya menerusi email. Kali ini penulis kembali menjejaki Dr Huda yang kini sedang berjuang sebagai salah seorang petugas barisan hadapan.
Dr Huda antara yang dipilih Allah SWT sebagai pejuang barisan hadapan bagi memerangi wabak COVID-19. Bergelar seorang doktor besar cabarannya namun besar jugalah pahala dan hikmahnya!
Sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermacam pengalaman pahit getir dilalui oleh ibu kepada seorang anak yang berasal dari Pulau Pinang ini. Bukan hanya merawat pesakit selama 12 jam sehari bahkan Dr Huda juga perlu merawat hatinya yang sedang ‘sakit’ merindui insan tersayang yang jauh di kampung. Namun kerana tugas Dr Huda tabahkan hati.
PERMULAAN SEBAGAI FRONTLINER
“Takbir! With Allah SWT Grace and Mercy, acceptance to my duty and pathway that be chosen since 2009. After a tear and sought of comfortless, I know this is what destined for me.
Saya merupakan MO (Pegawai Perubatan) kontrak yang mendapat surat penempatan di Selangor untuk pasukan COVID-19 di salah sebuah hospital. Surat diterima pada 18 Mac 2020 dan perlu melapor diri pada 23 Mac 2020. Terpaksa berpisah dengan keluarga dan anak kecil adalah cabaran utama saya. Ini termasuklah terpaksa berpindah dari Pulau Pinang ke Selangor dalam masa singkat.
Empat hari berbaki amat bermakna buat saya. Itulah saja masa yang saya ada untuk siapkan barang-barang termasuk menghabiskan masa bersama keluarga. Sempatlah saya menikmati masakan ibu sepuasnya, melihat wajah adik beradik, suami dan bermain dengan anak kecil saya.
Biarpun sedih tetapi ketika melapor diri saya melihat beratus doktor dari semua negeri turun untuk melawan pandemik COVID-19 bersama KKM. Ternyata saya tak keseorangan.
Kali pertama bertugas di wad pesakit COVID-19 saya bertanya kepada jururawat. Selalunya pesakit buat apa? Sebab lama juga mereka dikuarantin sampai berbelas-belas hari di sini. Jururawat menjawab, mereka berzikir. Ternyata benar, ketika melangkah ke wad pada pukul 9.30 malam saya lihat pesakit sedang solat sebelum tidur.
Pukul 5.30 pagi saya dengar mereka mengaji dan bersiap sedia untuk solat Subuh. Terdengar sayup-sayup suara mereka mengaji di balik tirai katil. Ada kala mereka melaungkan azan di dalam wad dan solat berjemaah. Hati terpalu. Dalam keadaan begitu mereka cukup tenang dan bersedia ‘menyiapkan diri’. Kita yang tak sakit masih alpa.
Menguruskan pesakit dari kluster tabligh alhamdulillah senang. Sampai kini saya masih tersentuh dengan akhlak mereka. Lihat wajah mereka pun sejuk. Berbeza dengan pesakit dari kluster ‘kelas-kelas’ hari pertama dah minta western food. Apa pun kluster anda marilah kita bekerjasama dengan terhadnya fasiliti hospital awam ini.
Terdetik di hati, Allah SWT memanggil ku ke sini bukan saja dapat belajar tentang hikmah COVID-19 tetapi untuk melihat sifat manusia dan kebesaranNya. Moga kita menjadi golongan yang tidak dimurkai Allah SWT.
Antara detik yang meruntun jiwa saya sepanjang bertugas adalah melihat anak kecil yang disahkan positif COVID-19 dan terpaksa berpisah dengan keluarga. Sudah tentu ia mengusik naluri keibuan saya. Satu lagi detik ialah perpisahan abadi antara pesakit COVID-19 dengan ahli keluarganya. Pesakit yang meninggal dunia tak boleh ditatapi dan disembahyangkan oleh ahli keluarga. Jiwa saya tersentuh!
Walaupun ada pesakit sekadar ucapkan terima kasih, saya akan mudah menangis walaupun terlindung di balik face shield dan PPE. Pernah seorang pakcik berkata “Saya doakan doktor sihat sejahtera, diampuni dosa” Terus berderai air mata lalu saya membalas “Saya doakan pakcik dan semua pesakit saya negative COVID-19.” Itu saja harapan saya.
TINGGAL DI ASRAMA
Saya ada terbaca sharing post mengenai rakyat Malaysia yang dikuarantin membahas tentang fasiliti yang kerajaan sediakan daif, makanan tak sedap dan sebagainya. Di kala pandemik, KKM amat sibuk memerangi COVID-19, sibuk menguruskan pesakit tenat. Berlapang dadalah menerima fasiliti itu. Beri peluang kepada KKM menguruskan hal yang lebih mustahak.
Sebagai petugas kesihatan saya sendiri hanya diberikan asrama sebagai tempat tinggal sementara. Makan dua kali sepanjang lima hari pertama saja. Tiada aircond, water heater, tiada wifi percuma, tiada kelengkapan kebersihan diri dan tiada tilam bantal.
Tidur malam pun berpeluh sampai lencun baju. Sudahlah di hospital baju basah pakai PPE, di asrama pun begitu juga. Makanan perlu dicari sendiri. Kafe buka pukul 7 pagi sampai 5.30 petang saja. Lambat cari makan maka tiadalah makan malam. Memasak tak dibenarkan di dalam asrama. Maka makanlah roti yang ada walaupun dah tamat tempoh!
Apa pun saya bersyukur, asalkan ada tempat letak kepala dan boleh lelapkan mata setelah penat bekerja. Terima kasih kepada pihak hospital atas fasiliti yang diberi. Bukan mudah menguruskan ratusan petugas kesihatan melapor diri dalam masa singkat. You guys done a great job!
NASIHAT BUAT RAKYAT MALAYSIA
Patuhi arahan KKM agar kita berjaya putuskan rangkaian wabak COVID-19 segera. Terima kasih bagi yang patuh arahan. Seluruh warga KKM sedang berusaha melakukan yang terbaik. InsyaAllah usaha kita pada hari ini untuk 2-4 minggu akan datang. Jika ada kaitan dengan kontak rapat sila bersikap jujur demi keselamatan semua. Semoga PKP ini membuahkan hasil agar kita dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri kelak.
Buat rakan seperjuangan this is our war, together we fight! Wear your PPE properly, jaga diri, rehat dan menangislah sepuasnya jika perlu. Teruslah berdoa agar rantaian COVID-19 segera diputuskan seterusnya kita dapat berjumpa dengan insan tersayang.
Buat keluarga yang juga ‘berjuang’ melepaskan insan tersayang seperti kami, apa yang berlaku ada sebab walau ia menjarakkan kita. InsyaAllah, perancangan DIA adalah yang terbaik.”
Kredit Foto: Facebook & Instagram Dr Huda Ninol