Bangga dan kagum dengan semangat pelakon, Darling Ngasri atas kejayaan menamatkan pengajian sekaligus menggenggam Diploma baru-baru ini. Meskipun sudah melakar nama dalam industri seni tanah air sejak kecil dan membintangi ratusan drama namun kakak kepada pelakon Datin Anne Ngasri ini tetap meneruskan hasrat untuk melanjutkan pengajian.
Darling atau nama sebenarnya Nasreen Ngasri pada 1 Julai lepas kelihatan ceria meraikan majlis graduasinya di Majlis Konvokesyen Meatech Creative Academy ke-6. Dia yang anggun dalam persalinan kurung biru turut ditemani suami tercinta, Nur Azlin Rahmat dan ibu tersayang.
Pada istiadat konvokesyen itu, Darling yang berusia 41 tahun menggenggam Diploma Kemahiran Malaysia. Turut sama menerima diploma ialah rakan artis yang juga pelakon, Fauzi Nawawi.
Darling menerusi media sosial miliknya turut menzahirkan rasa syukur dengan kejayaan berkenaan.
“I officially graduated! Syukur alhamdulillah atas segala nikmatMu, dapat berkongsi pentas bersama rakan-rakan seperjuangan menerima diploma dalam bidang penerbitan.
Semoga dengan pengiktirafan ini akan terus menyuntik semangat kepada semua penggiat industri! Mudah-mudahan kita dapat memberi manfaat kepada insan lain, insyaAllah.
Terima kasih suami, mama, keluarga, rakan-rakan dan kolej Meatech atas sokongan dan peluang ini. Ke arah masa depan industri yang lebih baik. InsyaAllah.”
2 Jun lalu, Darling menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-41. Dia merupakan anak kepada Ngasri Sain and Habibah Jaafar.
Darling juga adik kepada pelakon Naszeli Ngasri, Nasrizal Ngasri atau dikenali sebagai Bell Ngasri dan kakak Naszriah Ngasri atau Datin Anne Ngasri.
View this post on Instagram
Selain itu, figura ini turut mempunyai dua orang adik-beradik lain iaitu Nasliza Ngasri dan Nassuhada Ngasri. Bapa mereka pernah berkhidmat sebagai juruhebah dan pengacara di RTM.
Darling Ngasri menceburi bidang seni pada tahun 1988 dan kini bergelar penerbit serta pemilik NS Star Sdn Bhd.
Dia mendirikan rumah tangga bersama Nur Azlin Rahmat pada 30 Mei 2009 dan hasil perkongsian hidup selama 15 tahun, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Nur Nashrullah.