Dah Dua Malam Tak Tidur, Afgan Pesan Bunga Citra Lestari Perlu Jumpa Doktor

Pemergian Ashraf Sinclair benar-benar memberi kesan mendalam terhadap keluarga, teman rapat dan seluruh peminatnya sama ada di Malaysia dan Indonesia. Namun, sudah pasti Bunga Citra Lestari adalah insan yang paling terkesan dengan pemergian suami tercinta.

Sudah dua malam berlalu, Ashraf Sinclair meninggalkan kehidupan ini, Bunga Citra Lestari atau lebih mesra disapa BCL dikhabarkan tidak mampu melelapkan kelopak matanya. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Khabar ini telah disampaikan oleh teman baik BCL sendiri iaitu penyanyi, Afgan.

Penyanyi lagu Jodoh Pasti Bertemu ini telah bertemu dengan BCL di kediaman selebriti berkenaan di Jakarta Selatan pada malam Rabu lalu selepas mengikuti majlis tahlil arwah Ashraf Sinclair.

“Tadi Unge (nama jolokan BCL) lebih baik, sudah mahu berbual, namun dia berkata, badannya letih akibat belum tidur. Jadi, perlu pastikan BCL diperiksa doktor dan makan,” kata Afgan, memetik portal berita Kompas.

Menurut Afgan lagi, anak tungal kepada pasangan ini juga sudah sedikit ceria. Pelakon kelahiran Malaysia Ashraf Sinclair telah meninggal dunia pada Selasa lalu (18 Februari 2020). Ashraf meninggalkan isterinya yang juga penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari dan seorang anak lelaki, Noah Aiden Sinclair.

Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohammed Sinclair meninggal dunia akibat serangan jantung. Pelakon yang berusia 41 tahun ini merupakan abang ipar kepada penyanyi, Yuna.

Ternyata cinta pandang pertama pasangan ini kekal sehingga ke hujung nyawa. Mengimbau perkenalan pasangan yang sudah 11 tahun berkahwin ini, segala-galanya terjadi tanpa dirancang.

Ashraf dikatakan bertemu dengan BCL ketika penyanyi itu berkunjung ke Malaysia untuk mempromosikan albumnya sekitar tahun 2007. Benarlah jodoh tidak pernah salah alamat, pertemuan mereka telah diaturkan oleh Yang Maha Esa.

Sepatutnya pengacara lain yang menemu bual BCL untuk sebuah program hiburan tersebut tetapi bertukar di saat akhir dan akhirnya tercetus perasaan cinta di antara pasangan ini.

Lebih mencipta suasana apabila Ashraf telah lewat selama 1 jam di lokasi yang diaturkan itu dan telah tersalah menyebut nama BCL sebagai ‘Bunga Cinta Lestari’. Ekoran insiden tersebut hubungan mereka semakin rapat dan menjalinkan hubungan jarak jauh antara Kuala Lumpur dan Jakarta.

Setahun menyulam cinta jarak jauh pasangan ini telah sepakat menoktahkan ikatan cinta dengan hubungan yang sah sebagai suami isteri pada November 2008 di Masjid Al Bina, Senayan, Indonesia. Ashraf dan BCL telah menimang cahaya mata pada 22 November 2010 dan menamakan anak tunggal mereka, Noah Aidan Sinclair. Ini lah yang dikatakan cinta sehingga ke hujung nyawa.

IKLAN
Share